Halaman

Ahad, Mac 29, 2015

BUKAN takut hudud, tapi takut kesatuan Melayu-Islam

SUKA atau tidak politiklah yang mendomonasi pemikiran dan wacana dari simpang jalan, warung kopi hingga ke ruang lobi hotel.  Apabila kerajaan negeri Kelantan membawa Kanun Jenayah Syariah II 1993 ke Dewan Undangan Negeri untuk dipinda (2015) dan diperkenan oleh  Ketua Negeri (Tuanku Sultan Kelantan), maka satu dimensi baru dalam politik negara.


Persaingan tentulah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pas-DAP-PKR).  Biarlah berterus-terang mengenai BN dan PR, walaupun daripada kedua-duanya semua indah dan manis.  Sejak pilihan raya 1955 dahulu memang BN (dulu Perikatan) didominasi oleh Umno untuk meletakkan apa saja institusi Melayu dalam negara.  Sebutlah apa saja berkaitan bangsa Melayu: Raja Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam, Kebudayaan Nasional-berteraskan kebudayaan Melayu, penubuhan MARA, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Felda, Felcra, Pernas, UDA dan pelbagai kouta yang meletakkan orang Melayu ke tempat yang utama.  Hujahnya ialah negara ini berasaskan ketamadunan Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) yang berterusan sehingga masuk zaman penjajahan. Oleh itu apabila negara merdeka, kelangsungan institusi Melayu merupakan sebagian penerusan warisan atau ketamadunan Melayu.

Orang Cina asalnya menerima semua konsep Ketuanan Melayu, sehinggalah konsep ini dipertikaikan oleh pemimpin Cina dari Singapura.  Apabila Singapura dikeluarkan (1965), maka gagasan Malaysian-Malaysia yang mahukan kesama-rataan rakyat tanpa rujukan kaum diteruskan oleh DAP.  Itu bukan rahsia.  Berpuluh-pupuh tahun Umno bekerja keras meyakinkan orang bukan Melayu dalam semua institusi khasnya pendidikan mengenai ketuanan Melayu dan penerimaan kaum bukan Melayu dalam negara Malaysia.

Pilihan raya tahun 2008 telah membuka paradigma baru pemikiran politik antara BN yang mahukan pengekalan ketuanan Melayu atau PR yang mahu membina konsep baru negara (seperti Malayan Union 1946) tanpa garis pemisah keturunan, agama dan sebagainya.

Kejayaan DAP mendapat sokongan hampir 90 peratus kaum Cina disebabkan faktor ‘tolakan’ dalam BN dan ‘tarikan’ dalam PR.  Tapi faktor tarikan dalam PR untuk membentuk Malaysia Baru ala-Malayan Union 1946 (MU1946) sangat kuat dengan sokongan parti Melayu seperti Pas dan politikus Melayu dalam PKR.  Oleh itu sangat jelas matlamat PR adalah Malaysia Baru ala-MU1946. Lihat kejelasan dalam PR seperti: Tidak ada parti yang mendominasi PR (sedangkan Umno-Melayu mendominasi BN).  Bagaimana jika Pas cuba mendominasi PR? Jawabnya mudah dan bukan rahsia iaitu DAP dan PKR tidak akan membiarkan keadaan itu berlaku. Jika Pas mendominasi PR, maka apa bedanya PR dengan BN?  Tidak sama sekali.

Oleh itu mudah difahami mengapa DAP-PKR tidak memberi ruang dan peluang Pas menjadi dominan dalam PR sebagaimana MCA-MIC dan parti-parti di Sabah-Sarawak membenarkan Umno mendominasi BN.  Kritikan DAP terhadap Pas dan Presidennya, bukan suatu yang tidak disengajakan (hanya timbul disebabkan Hudud), tetapi merupakan perancangan rapi untuk mempertahankan cita-cita Malaysia Baru ala-MU1946.

Bukanlah sangat Hudud ditentang oleh DAP kerana berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. DAP pun ada agenda melawan perlembagaan negara apabila mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan.  Bukanlah sangat Hudud akan menyebabkan bisnes orang Cina kehilangan pelanggan Melayu, sebab mereka tahu Hudud masih jauh perjalanannya (itu pun hanya di Kelantan).  Namun DAP (termasuk MCA dan Gerakan) sudah melihat Hudud sebagai jambatan baru yang menyebabkan orang Melayu-Islam bersatu dan bakal mendominasi politik negara.  Mudah untuk difahami, jika Umno-Pas berkesatuan, maka tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia seperti yang dilalui sejak tahun 1957 akan berterusan dan semakin kukuh.  Ruang untuk membina Malaysia Baru ala-MU1946 tertutup terus sebab orang Melayu dalam Umno-Pas memang kekal sama pendirian negara Malaysia berasaskan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka yang berpaksikan Melayu dan Islam.

Peluang melaksanakan Malaysia Baru ala-MU1946 hanya berjaya jika Umno dan Pas dipisahkan. Seterusnya Pas dikekalkan dalam gagasan Malaysia Baru ala-MU1946 tetapi Pas bukan dominan dalam PR. Penulis yakin dalam PR tidak akan ada suara dominan Melayu-Islam sekalipun Pas parti yang sangat jelas berdasarkan Islam.

Lihat saja Lim Kit Siang terus mencadangkan gabungan semua ahli parlimen BN-PR agar menolak hudud dan membentuk Malaysia Baru. Prinsip yang ditawarkan ialah mempertahankan perlembagaan (tidak membenarkan hudud) dan Perdana Menteri baru. Ini satu lagi cara DAP mahu membendung kesatuan Umno-Pas (yang dimulakan atas jambatan hudud) dan mahu kerajaan baru (Perdana Menteri baru, bukan daripada Umno dan bukan DS Hadi Awang!).

Bola di kaki Umno dan Pas. Umno begitu lama berkuasa, memungkinkan terbiasa dengan kesalahan memerintah dan percaya tidak bakal kalah. Akhirnya sebagian orang Melayu sudah tidak peduli apa ketuanan Melayu. Lantaklah, nak jadi apa pun jadilah.  Ke mana arah sepakan bola politik Umno sekarang?

Pas mahukan Islam tetapi pengalamannya sangat pahit dalam PR.  Pas sedar dasar dan cita-cita PR untuk Malaysia Baru ala-MU1946 tidak memungkinkan dasar Islam yang dibawa akan dilaksanakan oleh PR. Pas pun sedar partinya tidak akan mengemudi PR sebagaimana Umno mengemudi BN puluhan tahun. Ke mana arah sepakan bola politik Pas sekarang?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan