Halaman

Sabtu, Mac 21, 2015

KEKASIH alam pencinta kelulut


TERNAK kelulut untuk madu!  Itulah yang unik di Min House Camp, Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan.  Mungkin ada yang sukar percaya kelulut yang begitu kecil dan membuat sarang di lubang-lubang kecil dapat menghasilkan ‘penawar’ seperti yang disebut dalam surah An-Nahl.  Terima kasih kepada Kak Yah selaku pengurus Min House Camp yang memberi ‘kuliah’ khas kepada saya berkenaan kelulut. Daripada kuliah itu, saya simpulkan bahwa penternakan kelulut bukan sahaja untuk penghasilan madu malah ada beberapa karenah (petanda) lain yang jarang diperhatikan.

Pertama: Orang yang menternak kelulut merupakan pencinta alam dan sangat menghargai kelestarian alam dan isinya sebagai anugerah Tuhan.  Nampak mudah untuk mengambil satu sarang kelulut dengan kuasaa kita sebagai manusia. Oh tidak rupanya. Satu kesalahan menebang pokok yang di batangnya ada sarang kelulut semata-mata untuk dibawa ke pusat penternakan. Lalu, dipastikan hanya pokok atau dahan yang dinilai sebagai sudah mati atau dalam proses pembuangan, jika ada sarang kelulutnya barulah boleh dipotong.

Tidak boleh dipotong dan terus dibawa ke tempat baru. Kita wajib menunggu semua kelulut masuk ke sarangnya supaya semua satu keluarga kelulut dapat dibawa pindah ke tempat yang kita inginkan. Jika sarang dipindahkan pada waktu siang, pasti ada ahli-ahli keluarga kelulut yang terpisah kerna belum pulang ke sarangnya. Tidak berperikemanusiaan jika kita membawa anak-anak kelulut dalam sarang sewaktu ibu-ibunya berpergian mencarikan makan untuk anak-anaknya. Maka kita mesti membawa pindah mereka pada waktu malam!

sarang kelulut dalam kotak papan yang tebal

Kedua: Tempat penternakan kelulut  pula mestilah sangat bersih daripada sebarang pencemaran. Kawasan itu mestilah terdapat cukup makanan kelulut seperti bunga-bungaan atau apa juga tumbuhan yang menghasilkan bunga.  Daripada bunga-bunga itulah kelulut mendapat madu sebagai makanan anak-anaknya.  Untuk memastikan udara bersih pastikan tempat itu bukan kawasan yang disembur racun serangga seperti ‘fogging’ semburan untuk membunuh nyamuk.  Juga bukan kawasan yang terdedah dengan pengapungan karbon monoksida daripada kenderaan bermotor.

Ketiga: Menternak kelulut adalah untuk manusia yang penyabar.  Mungkin ada yang mendakwa pengusaha kelulut mudah menjadi jutawan sebab madu seberat 230 gram dijual pada harga RM80.00.  Namun untuk mendapatkan madu seberat itu bukanlah mudah kerna ‘setor’ madu dalam sarang kelulut kecil, jauh lebih sedikit dibandingkan dengan setor madu lebah tualang misalnya.  Setiap sarang, selalunya akan diambil madunya tiga bulan sekali. Pengambil madu pula tidak boleh merosakkan sarangnya, jika mahu keluarga kelulut itu terus tinggal dalam kawasan yang disediakan.  Terlalu seni untuk melakukan kerja-kerja ini.

madu kelulut tulen yang dibotolkan seberat 230 gram

Keempat: Kita sebagai manusia sebenarnya ‘mencuri’ hak anak-anak kelulut. Seperti manusia mencuri susu pada lembu yang Tuhan sediakan untuk anak lembu, kita juga mencuri madu yang ibu-ibu kelulut sediakan untuk anak-anaknya. Oleh itu kita wajib tahu hak atau bahagian wajib madu untuk anak-anak kelulut berkenaan, dan mana yang kita sebagai manusia mahu mengambilnya.


Begitulah sebagaian yang dapat saya sampaikan. Rasa beruntung saya mengembara satu hari sejauh 460 kilometer dan sampai ke Min House Camp, menikmati penginapan dalam ‘hutan’ dan berguru hal yang sangat mengasyikkan.

Selain penernakan kelulut, Min House Camp merupakan tempat penginapan dan perkhemahan yang lengkap. Pembaca boleh menghubungi Pengurusnya, Kak Yah di talian 0139225440.

bengkel rumah kelulut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan