Halaman

Isnin, Februari 23, 2015

AKHIRNYA Perdana Menteri seorang bukan Islam yang sangat baik

DAHULU tidak kedengaran konsep kepemimpinan seperti ini, “Pemimpin bukan muslim yang adil lebih baik daripda pemimpin muslim yang zalim”.  Ayat itu memberi maksud, jika terdapat dua pemimpin untuk dipilih salah satunya, yang diutamakan ialah keadilannya, bukan akidahnya.

Maksud keadilan mungkin berdasarkan pemahaman masyarakat semasa. Pemimpin yang tidak menindas mana-mana golongan, tidak melakukan penipuan atau penyelewengan dan sangat telus sehingga sukar menemukan kesalahan tadbir urusnya.  Yang sebalik daripada itu adalah amalan pemimpin yang zalim.

foto hiasan

Urusan pemerintahan selalunya bersifat subjektif. Nilaian setiap orang berbeda. Yang nyata ialah orang awam tidak mengetahui hal sebenar pentadbiran negara berbanding si pemimpin itu sendiri. Orang awam, misalnya seorang peniaga ayam dan tinggal di sebuah pekan kecil hanya melihat keadilan pemerintahan dari sudut dunia pekerjaan dan kehidupannya. Sedangkan pemimpin mestilah membuat keputusan tadbir urus untuk semua lapisan masyarakat bagi seluruh negara.  Oleh itu mudah saja si peniaga ayam tadi melihat dasar dan tindakan si pemimpin sebagai tidak adil atau zalim apabila mendapati terdapat kenaikan kos perniagaannya.

Bagi mana-mana golongan atau personal yang kehendaknya tertunai dengan dasar dan tindakan pemimpin, maka mereka membuat kesimpulan pemimpin itu adil.  Namun bolehkah kehendak seluruh masyarakat yang tidak terbatas dipenuhi? Jawabnya, tidak sama sekali.  Seorang ayah yang mempunyai lima orang anak pun tidak dapat memenuhi semua keperluan dan permintaan kelima-lima orang anaknya.  Oleh itu mendakwa ‘seorang pemimpin bukan Islam yang adil lebih baik berbanding pemimpin Islam yang zalim’ adalah satu falasi.

Apabila disebut antara yang Islam dan bukan Islam, tidak lain ini persoalan akidah. Akidah adalah hal utama di sisi Allah.  Jujurlah untuk menilai pemimpin (adil?) bukan Islam itu dari sudut akidahnya. Apakah kedudukan ‘amal salihnya’ di sisi Allah?  Dan bagaimana kedudukan ‘dosa’ si pemimpin Islam yang sedang dibencinya.

Orang yang tidak beriman kepada Allah, sebaik dan sehebat mana ‘amal salihnya’ tidak ada nilai di sisi Allah.  Kedudukan dia yang tidak beriman kepada Allah, dalam ayat 55 surah al-Anfal: “Sesungguhnya makhluk bergerak yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerna mereka tidak beriman (tidak percayakan Allah dan rasul-Nya).”

Bagaimana ‘amal-amal salihnya’?  Ayat 103-106 surah Al-Kahfi: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘apakah perlu Kami beritahu kepada kamu tentang orang yang paling rugi amalannya? (iaitu) orang yang sia-sia amalannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka menduga telah berbuat sebaik-baiknya’.  Mereka itulah orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) terhadap pertemuan dengan-Nya.  Maka sia-sialah amal mereka, dan Kami tidak memberi penimbangan terhadap (amal) mereka pada hari kiamat.  Demikianlah, balasan mereka itu di neraka Jahanam, kerna kekafiran mereka, dan kerna mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasuk-Ku sebagai bahan olok-olok.”

Bagaimana pemimpin muslim yang dikatakan berdosa atau zalim itu? Sejahat-jahat pemimpin (jika benar pun dia jahat) selagi dia masih bersolat, beliau mesti diterima oleh umah.  Ini berdasarkan hadis yang sahih.

Daripada Auf bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w sabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”.

Kata para sahabat: “wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?”

Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan daripada  mentaatinya (dalam hal makruf)”. (HR Muslim dan Ahmad)

Dan satu lagi hadis Nabi s.a.w. Sabda Nabi maksudnya: “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerna amalannya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. (HR Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad).

Menurut sunah nabi, sejahat-jahat pemimpin tidak boleh dilawan (tentulah tidak boleh diganti dengan pemimpin bukan Islam) dengan syarat pemimpin itu terbukti masih menunaikan solat. Solat merupakan hubungan paling kuat antar seorang hamba kepada Tuhannya.

Dan pemimpin muslim yang didakwa jahat itu tetap punya peluang cerah di sisi Allah. Ayat 110 surah An-Nisa’: “Dan sesiapa yang membuat kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”


Wallahu ‘aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan