Halaman

Selasa, Disember 02, 2014

BID'AHKAH solat Subuh tiga rakaat?

CATATAN pagi yang dingin. Gara-gara kenduri arwah yang sangat perlu dan popular dikatakan bid’ah atau sesat kerna didakwa tidak ada dalam sunah Nabi s.a.w.  Seorang sahabat memasukkan sebagian ucapan seorang ulama, yang marah-marah dikatakan kenduri arwah sebagai bid’ah. Marah-marah lagi terhadap orang yang menyatakan ha itu jadi sesat.  Beberapa teman menyambut, “hal baik, apa salahnya? Apa sesatnya?”

Saya Cuma mahu menjadikan bahan fikir. 

Kita terima dulu hujahan bahawa kenduri arwah itu kebaikan. Di dalamnya berkumpul orang yang mencari reda Allah. Mereka diketuai oleh yang paling alim dalam agama. Mereka membacakan susunan ayat-ayat al-Quran, bukan jampi serapah!  Mereka berdoa kepada Tuhan dan akhirnya menjamu sedikit rezeki yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya. 

Hukumnya apa? Katanya tidak wajib sebab tidak diperintahkan supaya buat. Memang tidak ada dalam al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w., tetapi semua kandungan kenduri itu penuh kebajikan, maka hukumnya sunat. Catatan si ulama, “jika tidak mahu kenduri arwah jangan menghukum bid’ah dan sesat, bukan perkara wajib pun.”

Banyak memberi ‘like’ terhadap hujah ini.

Yang ini sebagai bahan fikir dan perbandingan. Bahan berfikir untuk menentukan kebenaran hujah. Hmmm, selama ratusan tahun di negeri kita orang solat subuh dua rakaat.  Katakan kita bertualangan ke negeri lain dan menemui masyarakat muslimnya solat subuh tiga rakaat. Kerna tak tahan di hati, maka dikatakan “tidak boleh menambah satu rakat lagi dalam subuh, tetap dua.  Jangan bikin bid’ah.”

Masyarakat muslim negeri itu pun memberitahu bahawa penambahan satu rakaat dalam subuh adalah baik, semua bacaannya sama seperti rakaat lain dalam solat.  Tujuannya pun untuk mencari reda Allah. Menambah satu rakaat untuk lebih dekat kepada Allah pada saat pagi yang hening!  Apa salahkah, bid’ahkah atau sesatkah?

Sepatutnya, apabila orang menerima hujah kenduri arwah itu bagus dan sunat sebab hal baik di sisi agama, orang yang sama mestilah menerima tambahan satu rakaat dalam solat subuh sebagai baik dan sunat.  Jika orang meminta jangan marah dengan kenduri arwah itu, maka orang pun jangan marah dengan tambahan satu rakaat dalam solat subuh!

Rupa-rupanya urusan ibadah dalam agama bukan memenuhi kehendak akal pikiran, perasaan dan adat resam masyarakat. Bukan sekadar mewarisi ibadah daripada nenek-moyang, namun kerna ada prinsipnya.

Urusan ibadah perlukan dalil daripada al-Quran dan hadis sahih.  Suka tak suka, jika sudah terang ada suruhan, buatlah. Suka tak suka jika tidak ada suruhan atau contoh, tak perlu buatlah.  Ibadah bukan memenuhi kehendak akal, perasaan dan adat resam.

Sebagai contoh, dalam bab berwuduk ada babnya yang dianjurkan menyapu bahagian atas kasut atau sarung kaki sebagai ganti membasuh kaki. Menyapu atas kasut, bukannya membasuh tapak kasut!  Itulah yang Rasulullah tunjukkan kepada umatnya. Suka tak suka, kita terima, walaupun kehendak akal, perasaan dan adat resam…. yang wajib dibasuh ialah tapak kasut. Semua sedia maklum hal tapak kasut.

Kata Saidina Ali r.a. “Apabila agama hanya berlandaskan akal belaka, tentu bagian bawah khuf (kasut) lebih berhak untuk diusap daripada atasnya.  Sesungguhnya aku melihat Rasulullah mengusap khuf pada  bagian atasnya.” (HR Abu Dawud dengan sanad yang hasan/baik)

(Untuk rekod, ada sebilangan umat Islam di China yang menunakan solat Jumaat tidak sebagaimana cara di Makkah, Madinah dan Nusantara. Dan telah ada orang kita yang sampai ke sana dan terperangkap dalam cara mereka!)


Wallahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan