Halaman

Ahad, November 30, 2014

SOLAT berjamah? Kami tahu tapi tidak yakin!


TERFIKIR juga selama ini: Mengapa orang yang rumahnya dekat dengan masjid kerap mendengar azan namun tidak solat jamaah di masjid walhal dia pun sudah tahu kuatnya tuntutan solat berjamaah.  Dan berapa banyak lagi antara kita sebagai muslim membaca dan mendengar seruan Allah dalam al-Quran  serta hadis Nabi s.a.w. berkenaan solat berjamaah.

Maksud firman Allah ayat 43 surah al-Baqarah, “Dan dirikan solat serta keluarkan zakat, dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk.”  Ayat ini seruan atau perintah daripada Tuhan yang memberi kita makan dan nyawa!

Maksud hadis Nabi s.a.w. “Sungguh aku mahu menyuruh dan mengumpulkan kayu-kayu api, kemudian aku menyuruh diserukan solat, lalu dilaungkan azan untuknya.  Kemudian aku menyuruh seseorang menjadi imam.  Sesudah itu aku pergi kepada mereka yang tidak menghadiri jamaah, lalu aku bakar rumahnya bersama-sama dengan mereka yang ada di dalamnya.” (HSR Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis Nabi s.a.w. di atas merupakan ancaman kepada yang sengaja meninggalkan solat berjamaah.  Selain itu ada beberapa lagi hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan ‘wajibnya’ keluar dari rumah ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah.  Saban kali ada ceramah solat jamaah, hadis-hadis nabi akan dikumandangkan.  Namun mengapa ada yang sampai sudah umur 40 tahun, kulit berkedut dan beruban, masih diam-diam sahaja tidak mahu ke masjid. 

Persoalannya, adakah mereka atau antara kita tidak percaya al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.? “Oh kami semua percaya kitab Allah dan hadis Nabi s.a.w..”

Adakah mereka atau antara kita tidak percaya janji Nabi s.a.w. kepada yang melakukan solat berjamaah? “Oh kami percaya janji Nabi, kerna Nabi adalah utusan Allah dan semua tahu apa yang Nabi bicarakan adalah benar.”

Oleh itu mengapa mereka atau antara kita tidak melakukan seruan Allah dan rasul-Nya, berjamaah di masjid?  ……. Tiada jawaban!

Seseorang muslim tahu apa maksud solat berjamaah. Mereka atau antara kita tahu seruan daripada Allah dan rasul-Nya. Mereka  dan antara kita faham semua berkaitan dengan solat berjamaah. Hakikatnya, mereka atau antara kita tidak yakin apa yang diketahui dan difahami!

Tanpa keyakinan orang tidak akan bertindak melakukan kerja.  Ambil contoh, seorang graduan di Tawau, Sabah mendapat tawaran kerja di Johor Bahru dengan gaji RM5,000.00 sebulan. Dia harus bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat antara bangsa. Sekalipun dia tidak pernah menjejak Johor Bahru, namun kerna yakin semua tawaran itu betul, dia pergi meninggalkan Tawau untuk ke Johor Bahru!  Dia yakin maklumatnya benar. Untuk itu, dia boleh saja mengeluarkan kos tambang kapal terbang, sewa rumah dan pengangukutan selama belum mendapat gaji pertamanya. 

Begitulah, keyakinan menyebabkan seseorang sanggup bertindak sama ada dalam batas normal atau yang ekstrim.  Ibu atau bapa pergi ke sekolah untuk mengambilkan bantuan sekolah RM100.00 untuk anaknya. Dia yakin beritanya betul dan pasti mendapatkan RM100.00 tunai!  Peminat sepak bola yakin masih boleh membeli tiket meyaksikan perlawanan sepak bola final Piala Malaysia walaupun dia di barisan belakang, sedangkan di hadapannya manusia lain sudah berasak-asak mahu membeli tiket.  Dia di belakang yakin dapat membeli tiket itu, maka dia pun menyertai orang berasak-asak dalam keadaan ekstrim.


Begitulah, kerna tidak yakin jaminan kebajikan dan pahala kepada orang berjamaah, banyak yang tahu tetapi mengabaikannya. Serulah dengan azan di cuping telinganya, berilah tazkirah oleh ulama terhebat, jika dia memang tidak yakin….. dia tidak akan melakukannya. Hanya yang tahu, faham dan yakin…. dia akan ke masjid. Malah dia sanggup pula berjaga-jaga, tidak mahu tertidur hingga terlepas. Atau dia berjaga-jaga waktu-waktu setiap solat supaya dia boleh bersiap siaga sekalipun tidak mendengar azan. Malah dia akan menyediakan kelengkapan pakaian bersih untuk solat kerna dia dalam pekerjaan yang bergelumang dengan tanah atau kotoran.  Semua disebabkan dia yakin janji dan jaminan Allah dan rasul-Nya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan