Halaman

Rabu, Disember 03, 2014

MELAYU dan Pas mesti dilemah-pecahkan

PADA hemat saya, negara dan bangsa kita tidak pernah terlepas daripada konspirasi Barat yang bertujuan melemahkan apa juga kekuatan yang ada.  Tujuan Barat hanyalah untuk menguntungkan negara yang terbabit dan dunia Barat amnya. Semua dilakukan demi kepentingannya  untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.  Jika telah tahu agenda Yahudi dan Nasrani (Barat), apa yang berlaku sepanjang sejarah bukan kebetulan.  Oleh itu kita boleh menduga  kemungkinan besar yang berlaku pada masa depan.

Sewaktu Parameswara membuka kota Melaka tahun 1400, Eropah sedang berubah menuju zaman Renaissance atau kebangkitan semula. Selama 100 tahun dalam zaman Melaka, selama itu juga bangsa-bangsa Eropah sangat tekun membuat kajian mengenai masa depan bangsanya dan keadaan dunia. Perkembangan ilmu di Melaka masih dalam hal tasauf agama, tetapi Eropah sedang maju dalam sains dan teknologi. Semua ilmu yang ada dalam dunia Islam dibawa ke Eropah untuk dijadikan kajian dan perancangan.

Portugal dan Sepanyol jelas mendapat manfaat warisan tamadun Islam Andalusia. Dendam terhadap Islam menyebabkan Melaka dijajah tahun 1511, manakala hampir seluruh kepulauan Filipina dikristiankan. Barat tahu pentingnya Selat Melaka pada setiap zaman dan masa depan. Sejarah zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor dan Acheh jelas memberi petunjuk bahawa Selat Melaka menjadi laluan ekonomi dan politik dunia. Selat Melaka umpama satu terusan anugerah Tuhan.  

Untuk menguasai lautan Atlantik dan Pasifik Amerika terpaksa membuat Terusan Panama. Begitu juga untuk menguasai Laut Mediteranean dan Lautan Hindi, British terpaksa membuat Terusan Suez (1868) di Mesir. Oleh itu Selat Melaka wajib dipegang oleh Barat! Selat Melaka anugerah Tuhan, siapa dapat dia juara dunia.

Kemudian pakar mereka melihat siapa dan apa tasawur penduduk Tanah Melayu.  Ini penting untuk menguasai Selat Melaka, jalan ekonomi dan politik Timur-Barat. Barat ada fakulti kajian Timur, dan lahirlah banyak orientalis yang mahir semua hal Nusantara. Orang Melayu pun tidak sebijak R.O. Winsted, Frank Swettenham, Stamford Raffles dan Snouck Huroundje dalam dunia Melayu Nusantara.

Strategiknya, bukan Sumatera yang utama tetapi Tanah Melayu!  Sebab itu dalam pertikaian British-Belanda berkaitan pengambilan Singapura, British sudah nekad akan berperang dengan Belanda jika gagal menguasai Singapura.

Barat berpakat memecahkan Melayu kepada dua wilayah: Pengaruh British-Belanda tahun 1824.  Maka akhirnya Melayu terpecah dua negara, Malaysia-Indonesia.  Dua negara mesti akan menjaga kepentingan masing-masing, dan tentulah akan berlaku konflik antara kedua-duanya.

Zaman penjajahan British menguasai Tanah Melayu yang penduduknya Melayu 100 peratus beragama Islam. British sudah faham budaya dan sejarah Islam di Asia Barat, dan pengalaman Perang Salib. Membiarkan wujud sebuah negara yang penduduknya 100 peratus muslim sangat bahaya. Islam dan Kristian-Barat tidak pernah berkompromi.  Maka British memasukkan ratusan ribu warga asing bukan Islam dari India dan China atas nama keperluan ekonomi.  British tahu tidak semua pekerja asing itu akan kembali ke negara asal, maka pastilah penduduk Islam di Tanah Melayu tidak lagi 100 peratus! Hari ini Melayu-Islam sebanyak 70 peratus penduduk Malaysia.

Setelah Melayu dan Islam disusutkan peratusannya, cara untuk melemahkan baki kuasa Melayu-Islam ialah dengan cara memasukkan ajaran demokrasi liberal.  Bukanlah kebetulan apabila British meluluskan sebuah parti atas nama Islam (1951), Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas) sebab British telah faham masalah dalam Malayan Union (1946) dengan bangsa Melayu yang bersatu. Tambahan pula Islam sangat sensitif kepada bangsa Melayu. British melihat masa depan Pas cerah untuk berkembang meraih sokongan bangsa Melayu atas nama kesucian agama. Pengaruh kuasa Melayu-Islam yang 70 peratus pun dipecah dua.  Bukanlah kebetulan apabila Umno dan Pas terus bertelagah dan masing-masing pula berebut sokongan kaum bukan Melayu (wakil tamadun Barat) untuk berkuasa.

Apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR ditubuhkan pada tahun 1999) mula berkembang, sebagian ahli politik bukan Melayu daripada MCA, Gerakan dan MIC memasukinya. Mengapa mereka tidak memilih DAP? Jawabnya mudah, iaitu kaum bukan Melayu tidak mahu PKR dikuasai sepenuhnya oleh Melayu-Islam. Dan kaum bukan Melayu yang berfikir ala-Barat juga tidak mahu menjadikan Pakatan Rakyat (PR menggabungkan PKR, DAP dan Pas)  seperti Barisan Nasional (BN) yang didominasi Melayu-Islam.  Sebab itulah suara dan kerja untuk meletakkan Pas menjadi dominan dalam PR pasti disekat.  Ini bukan kebetulan, melainkan satu strategi hebat.

Sekarang berlaku perpecahan dalam Pas. Separuh ahli Pas kekal setia dalam PR dan separuh lagi akan mengasingkan diri. Tidak dalam PR, tidak dalam BN! Apakah ini kebetulan? Tidak, selagi ada baki kekuatan Melayu-Islam semua akan dirongrong. Matlamat akhirnya ialah PR akan memerintah Malaysia dengan tidak menjadikan Pas (Melayu-Islam) satu parti dominan seperti Umno dalam BN.


PR menjadi parti politik yang distrategikan untuk menyamai kepentingan Barat disebabkan BN sentiasa dalam status-quo kaum Melayu-Islamnya yang dianggap usang. Lagi pula masa depan politik dan kuasa dunia bukan seperti acuan BN, tetapi PR yang sangat liberal-demokratik. BN sudah lama memerintah Malaysia, maka dunia Barat melihat PR sebagai pilihan baru. Oleh itu tasawur PR dipastikan tidak menyamai BN.  Ini bukan kebetulan, tapi satu strategi kuasa Barat dalam neokononialisme!

Selamat berjaya bangsaku, muslimku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan