Halaman

Jumaat, November 29, 2013

SITI Aishah hamba komunis dan novel Anwar Ridhwan

SEKONYONG-konyong ada cerita timbul berkaitan dengan pejuang komunis dari Malaysia di luar negara. Siti Aishah binti Abdul Wahab, 69 tahun dikesan menjadi hamba kepada satu keluarga di Britain.  Lalu dibongkar kisahnya sewaktu muda menjadi komunis dan berhijrah ke luar negara untuk mengamalkan ideologinya serta aktif dalam perjuangan komunisme.  Menurut Ketua Polis Negara, wanita itu memang menjadi buruan polis pada tahun 1970-an.


Sebelumnya saya baru tamat membaca novel Penyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.  Setelah tamat membaca novel berkenaan, seakan mudah saya memahami bagaimana wanita Melayu yang lahir daripada keluarga desa, beragama Islam sampai ke Britain semata-mata kerna perjuangan komunisme.

Dalam Penyeberang Sempadan, Anwar Ridhwan mengemukakan watak lelaki Melayu kelahiran sebuah desa di Perak.  Kuay, lelaki itu terdidik sebagai orang yang beragama sebagaimana anak-anak Melayu yang lain.  Kematian ayahnya di tangan penjajah British menyebabkan dendamnya kepada British membara.  Dendamnya membawa dirinya ke Pahang untuk menyertai perjuangan politik radikal antipenjajah British, API.  Oleh kerna API cenderung kiri atau sosialis, mudah saja anggotanya diresapi fahaman komunis.  Anwar menggunakan seorang watak lelaki dari Jawa untuk mengubah pemikiran kiri Kuay kepada komunisme. 

Kuay menjadi buruan British kerna keaktifannya bersama gerombolan-gerombolan anggota Parti Komunis Malaya.  Kerna diyakini Kuay seorang anak muda yang kuat perjuanga komunisnya, parti telah menghantarnya ke China untuk meggaji komunisme dengan lebih mendalam. Bertahun-tahun di China, kemudian dia behijrah ke Soviet Union juga dalam rangka perjuangan komunisme.

Dari Soviet Union, Kuay menjadi salah seorang delegasi komunis kuasa besar itu untuk satu persidangan komunis antar bangsa di Mesir. Di negara Gamal Abdel Naseer itu dia dicolek oleh ejen Amerika dan di bawa ke negara kepala demokrasi. Tujuan Amerika mencoleknya  dan dibawa ke sana supaya Kuay melihat kejayaan demokrasi-kapitalis.  Inilah kerja Perang Dingin antar Amerika dengan blok Komunis. Lalu Kuay menganut pula demokrasi-kapitalis.  Sehinggalah Kuay diketemukan dengan seorang perempuan Palestin di Amerika. Kedua-duanya pindah pula ke Jordan. Di Jordan, dengan bantuan perempuan Palestin itu, Kuay menemui dirinya yang dahulu hilang, iaitu Islam. Tak lama Kuay menukar ideologinya kepada Islam pula. Di Timur Tengah itulah Kuay ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas kerjasma dengan pihak keselamatan Malaysia.

Oleh kerna Kuay sudah jelas pendiriannya membuang komunisme dan memilih ideologi Islam yang juga menjadi amalan biasa dalam sistem bernegara di Malaysia, maka Kuay dibenarkan pulang ke Malaysia bersama isterinya, perempuan Palestin itu.

Siti Aishah juga penyeberang sempadan, tetapi kita masih tidak jelas apakah ideologinya sekarang. Komunisme sudah ambruk dan manjadi simpanan di museum, dan Siti Aishah pula menjadi hamba.  Sangat ironis kepada seorang pejuang komunis yang berjuang menghapuskan kasta dan kapitalis, akhir hidupnya menjadi hamba pada saat saudara-saudaranya di Malaysia menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup.


Harap-harap Siti Aishah dapat diselamatkan, dibawa pulang untuk mengakhiri hidup sebagai wanita muslimah.  Semoga akhir hayatnya dia menikmati iman, dan dengan itu kepayahan sepanjang hidup dapat Allah ganti dengan yang sebaiknya di akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan