Halaman

Isnin, November 25, 2013

KATAKAN Facebook dan Twitter itu bid'ah!

SEORANG bergelar ustaz, penulis buku agama dan penceramah tetap beberapa buah masjid memberi contoh bid’ah sebagai ‘memakai baju kemeja’ sebab Baginda Nabi s.a.w. tidak memakai baju kemeja.  Sebelumnya dalam catatan di media sosial, dia menyindir orang yang prihatin masalah sunah dan bid’ah dengan meminta pencinta sunah tidak menggunakan komputer sebab alatan ini adalah bid’ah, tidak digunakan oleh  Baginda Nabi s.a.w. Tentulah Facebook dan Twitter juga bid’ah!


Mungkin saja memang itulah pemahaman dia mengenai bid’ah, atau dia sengaja bergurau mengenai contoh-contoh bid’ah.  Dalam beberapa perkara mungkar seperti khurafat dan syirik, mudah saja orang berwatak agama menerimanya.  Lihat saja nasib adat ‘mandi safar’ yang dahulu popular di Melaka dan sedikit kawasan lain. Hari ini Mandi Safar sudah dikuburkan sebab golongan agama memberi maksud perbuatan itu sebagai khurafat.  Lihat juga amalan membawa makanan ke kubur orang berilmu (mungkin ulama atau wali), sudah tiada lagi kerna kritikan ulama.

Bid’ah itu apa?

Dalam satu hadis, daripada Jabir bin Abdullah mengatakan yang Baginda Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya), “Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad (as-Sunah).  Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid’ah) dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, menurut Irbadh bin Sariyah (panjang hadisnya, diambil seperuh bahagian hujung) ….Sesiapa di antara kamu hidup setelah ketiadaanku, dia akan meilhat perselisihan yang banyak.  Oleh itu, berpegang teguhlah kamu dengan sunahku dan sunah khulafa ar-Rasyidun yang mendapat petunjuk.  Gigitlah ia (sunah) dengan geraham (iaitu berpegang dengan kuat). Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang baru atau , kerna setiap perkara baru adalah bid’ah dan bid’ah itu sesat.” (Riwayat al-Bukhari)

 Nampak macam betul baju kemeja dan komputer sebagai bid’ah. Bukan itu saja yang baru,  tak terkira banyaknya.  Sesatkah memakai baju kemeja dan menggunakan komputer? Akan terhukum di neraka pula?

Kata Imam As-Syatibi, “(Bid’ah ialah) jalan yang direka dalam agama yang menyerupai syariah (peraturan agama).  Tujuan mengamalkannya adalah untuk berlebihan dalam mengabdi kepada Allah.” (Kitab al-I’tisom).

Kata Imam Jauhari, “Adapun bid’ah perkara baru dalam agama setelah sempurna agama itu” (Umar Hashim, Apakah Anda Termasuk Golongan Ahlus Sunah Wal Jamaah, 1982)

Mengapa Imam Syatibi dan Jauhari mengkhususkan makna bid’ah dalam perkara agama, bukan hal pakaian, kenderaan dan kelengkapan hidup lain?  Adakah dia bergurau dalam memberikan maksud bid’ah? Tidak!  Baginda Nabi s.a.w. memberi maksud bid’ah begitu sebab membandingkan maksud hadis nabi s.a.w. “Kamu lebih tahu hal-ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim) dan “Jika sesuatu perkara itu termasuk urusan keduniaan kamu maka uruslah.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah).

Keduniaan seperti pakaian dan alat komunikasi sentiasa berubah-ubah.  Perkara ini termasuk keduniaan yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘…termasuk urusan keduniaan kamu maka uruslah.”  Pemikiran kreatif dan inovatif menyebabkan berlakunya rekaan dalam 1001 barangan. Ini kepandaian manusia di semua zaman dan tempat. Uruslah hal dunia ini. Ini bukan hal agama.  Kalau hal agama, rujuk kepada Baginda Nabi s.a.w. maksudnya lihatlah sunah Baginda Nabi s.a.w.

Oleh kerna bid’ah itu melingkari urusan agama (akidah dan ibadah khusus), maka sangat susah hendak menghilangkannya. Bukan mudah menukar sikap para pengamal bid’ah sedangkan selama ini cara itulah mereka bertaqarub (mendekatkan diri) kepada Allah.  Ketua-ketua mereka orang berserban, berjanggut dan mulutnya senantiasa menyebut kalimah mulia.  Katakan saja mereka solat Subuh empat rakaat, penambahan dua rakaat sekalipun mereka mendakwa sangat berhasil mendekat diri kepada Allah pada hari yang dingin, itulah bid’ah dan kesesatan!

Membaca al-Quran masih ibadah khusus dan sunah.  Baginda Nabi s.a.w. menyebut supaya baca al-Quran di rumah, tidak menjadikan rumah sepi seperti kuburan. Namun jika menentapkan ayat atau surahnya pada waktu-waktu yang dikhaskan sedangkan tidak ada contoh daripada sunah Nabi s.a.w., itulah bid’ah.  Mengapa begitu?  Kita solat wajib membaca surah al-Fatihah.  Al-Fatihah adalah satu surah dalam al-Quran, dan Sunah Nabi memberi petunjuk sebagai bacaan wajib dalam setiap rakaat solat.  Itulah sunah Nabi sebab ada contoh daripada Nabi s.a.w.

Yang kita pilih beberapa surah, dengan beberapa ayat  al-Quran tertentu lalu dijadikan satu modul (misalnya Tahlil Arwah) dan modul ini ditetapkan waktu penggunaannya (penetapan waktu, seperti waktu solat), ini bermakna modul Tahlil ini sudah menjadi satu ibadah khusus.  Ini rekaan atau perkara baru yang muncul setelah kewafatan Baginda Nabi s.a.w.   Oleh kerna kelihatan seperti ibadah yang benar, dan dilaksanakan dalam suasana yang masih emosional (maksudnya masa sedih hari kematian), maka mudahlah berakar sehingga hal itu disangka amal ibadah yang pernah ditunjukkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Mudahkah meninggalkan Tahlilan ini? Tidak!  Orang akan berhujah semula, “ingat jenazah itu bangkai kambing, dah tanam tak ada majlis apa-apa?” Atau, “Selama ini ustaz yang memimpin kenduri-kenduri arwah ini, tak mungkin mereka yang berilmu menyalahi sunah.”  Lagi pula, setiap majlis itu kemudian ada jamuan yang enak.  Bukan mudah meninggalkan keenakan hidup yang dirasakan sudah berada di atas jalan agama.  ….walaupun sebenarnya tidak menuruti sunah Nabi s.a.w.


w.a. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan