Halaman

Ahad, Disember 01, 2013

PARTI Islam setelah konsert rock metal...

PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) menarik untuk disorot, dijadikan objek bualan.  Bukanlah sejarah kehebatannya dalam politik, tetapi jenama dan perjuangannya yang meletakkan Islam.  Opps, bukan sahaja Islam dijadikan subjek, malah secara jelas dalam perlembagaan parti dinyatakan parti bepandukan al-Quran dan Hadis (Sunah).  Parti lawan Pas, Umno juga mendakwa parti Islam kerna dalam perlembagaannya dinyatakan ‘parti memperjuangkan Islam’.


Oleh itu orang yang berjiwa Islam atau bercita-cita melihat Islam dilaksana dalam semua ruang lingkup kehidupan, pastilah melihat Pas sebagai wadahnya.  Tambahan pula sepanjang perjuangan politiknya, Pas begitu vokal dalam membuktikan Umno hanya sebuah parti yang dianggotai orang Melayu. Bagi Pas Melayu jauh untuk dikaitkan dengan Islam.  Tidak hairan Pas berjaya menarik sejumlah orang yang berjiwa Islam, maksudnya yang keberatan melakukan kemaksiatan dan menyukai amalan agama.

Sebab itulah kerap sekali ahli, pendukung dan penyokong Pas meletakkan dasar dan ucapan para pemimpin parti sama seperti penetapan hukum agama. Pada tahun 1980-an dahulu, biasa saja apa yang dikatakan oleh pemimpin Pas sebagai satu hukum agama.  Mudahnya dengan konsep kepemimpinan ulama, peranan Dewan Ulamanya, Majlis Syuranya serta kewujudan jawatan Mursyidul Am sangat berjaya membentuk pemikiran orang bahawa apa yang dibawa oleh Pas adalah hukum agama.

Jika Haji Hadi Awang (waktu itu Naib Presiden Pas) berkata Pas mahu menghapuskan Hak-hak Istimewa Orang Melayu dalam Perlembagaan (1983) dengan alasan Islam tidak boleh membeda-bedakan antara Melayu dan bukan Melayu, tidak ada ahli Pas yang hampir semuanya Melayu membantahnya.  Kemudian apabila keluar ‘Amanat Haji Hadi’ yang menolak Perlembagaan Persekutuan (dikatakan perlembagaan penjajah), semua patuh.  Sampai ke tahap kalau berlawan dengan Umno yang didakwa mempertahankan Perlembagaan penjajah kafir, ditakdir mati, maka matinya mati Islam, anak muda Pas mana yang sanggup melepaskan ‘mati syahid’ (maksudnya mereka melawan Umno bermati-matian).  Kalau para pemimpin Pas memberi fatwa musik, konsert, hiburan dan sekutunya sebagai kerja ‘lagha’ atau maksiat kepada Allah telah dihazam dengan baik.  Sehingga ada pengulas pun memuji mudahnya perjuangan pas menanam kesetiaan kepada parti sebab apa yang menjadi hukum dalam agama juga menjadi hukum dalam Pas.

Kiranya Muktamar tahun 2013 yang baru boleh dijadikan satu titik tolak besar kepada Pas dan perjuangannya. Atas dasar Pas Untuk Semua dan mahu parti diterima semua golongan masyarakat khasnya anak muda, dalam Muktamar tahun ini diadakan satu konsert kumpulan rock.  Musiknya keras dan gayanya tentulah ‘sengit’.  Pelakunya tentulah berpakaian ketat seluar jeans lusuh dan berambut panjang.  Walhal sebelumnya pada bulan Ogos 2013 Pemuda Pas membuat bantahan keras Konsert Metalica kumpulan rock dari Amerika. Alasannya ialah music rock bukan budaya hiburan yang sesuai.  Kalaulah tidak kerana Pemuda Pas menerima hukum bahawa musik dan hiburan itu melalaikan umat daripada mengabdi kepada Allah, tentulah mereka ‘tak hingin’ membantah 100 paratus.

Maka November 2013 titik tolak baru.  Selepas ini Pas tidak akan membantah apa-apa jenis hiburan.  Dahulu zaman Amanat Haji Hadi jadi ‘akidah’ jangan sebutlah bab hiburan rock, musik dalam radio pun haram! Tambahan pula seorang ustaz yang sangat top sekarang sudah menjadi bintang filem pula. Kelak mesti gambarnya akan muncul dalam majalah Mangga dan digosipkan pula dalam ruang hiburan TV3.

Dalam situasi Pas yang sudah boleh mengundi orang bukan Islam sebagai pemimpin, menerima Perlembagaan Malaysia, melupakan Amanat Haji Hadi, menganjurkan pula konsert rock dan hiburan bermusik, Pas masih menuduh parti lawannya ‘menolak Islam’. Cukup menarik sebab pengikut tegarnya masih melihat ahli-ahli Umno sebagai menolak Islam atau munafik.

Pas berhak mengubah dasar atau pendekatannya. Saya pun tak nak salahkan.  Sepanjang perjuangan politiknya Pas senantiasa menekankan perjuangan hukum Islam. Sama ada zaman anti konsert rock/hiburan atau zaman menganjurkan konsert rock/hiburan orang akan melihat itulah sebenarnya hukum halal-haram Islam.  Maksudnya, orang awam akan faham hukum agama berubah-ubah, bukannya kekal seperti dalam kitab fikah.  Jadi orang ramai juga akan mendakwa, pada masa akan datang hukum juga akan berlainan.

1 ulasan:

  1. Dalam filem tu Ustaz Azhar hanya ade 2 babak. Dan babak dia bagi nasihat kenapa kita perlu solat. Sy pasti dia tidak berminat untuk jadi bintang filem.

    BalasPadam