RAMADAN 1434 kian berakhir, bermakna tawaran pahala
berganda dalam sebulan untuk ibadah kian berakhir. Untuk secara rasmi banyak masjid dan sekolah
telah membuat majlis khatam al-Quran khasnya pada malam 27 Ramadan. Sebenarnya khatam 114 surah atau 30 juzuk al-Quran
hanya sebagai tanda aras pembacaan al-Quran yang berterusan sepanjang bulan
Ramadan yang penuh barkah. Pada
bulan-bulan lain, disiplin pembacaan al-Quran kita tidak sebaik pada bulan
Ramadan.
datang ziarah setelah lebih 25 tahun berlalu |
Walaupun tidak ada hasil kajian mengenai peratusan
umat yang tamat bacaan 30 juzuk dalam tempoh sebulan, cukuplah dengan kaedah
kajian ringkas. Misalnya daripada tujuh
orang ahli keluarga, berapakah yang telah tamat bacaan 30 juzuk? Di sebuah
sekolah, misalnya ada 100 guru muslim, berapakah antara mereka yang tamat
bacaan 30 juzuk? Daripada kajian ringkas
ini mudah saja membuat kesimpulan peratusan yang berjaya menamatkan bacaan
al-Quran.
Kepada orang awam, membaca al-Quran yang tidak
diketahui maknanya dalam bahasa Melayu tidaklah seperti membaca sebuah novel
yang dramatik dan penuh unsur suspen. Untuk membaca selama 30 minit dirasakan
begitu lama walhal membaca akhbar atau menonton TV tidak cukup dengan masa
setengah jam itu.
Kategori pembaca al-Quran bagi ajam atau orang
bukan Arab juga pelbagai. Umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu
yang lancar, sederhana dan ‘merangkak-rangkak’.
Tidak ada masalah kepada yang bacaannya lancar, tetapi perlukan motivasi
dan kesabaran kepada tahap kedua dan ketiga.
Oleh kerana budaya Melayu kita membaca al-Quran bukanlah bacaan utama
seperti membaca akhbar harian, maka banyaklah antara kita yang bacaannya
kategori sederhana dan ‘merangkak-rangkak’.
Ini pengalaman saya. Sehingga usia saya 20 tahun
bacaan al-Quran saya yang terbaik pun kategori sederhana. Oleh itu yang tertanam dalam minda saya ialah
‘tidak mungkin’ menamatkan semua ayat al-Quran dalam sebulan. Maka sejak khatam al-Quran pada usia
kanak-kanak, tidak ada jadual masa menamatkan bacaan dalam tempoh
tertentu. Orang tua hanya memantau
setiap malam mesti membaca al-Quran, namun apabila usia menjadi remaja kawalan
orang tua semakin longgar. Akibatnya pun buruk!
Dengan takdir Tuhan saya menerima pelawaan seorang
rakan untuk belajar terjemahan al-Quran secara harfiah di Maahad Ittiba
us-Sunah (MIS) di Kuala Pilah tahun 1986.
Oleh kerna MIS pusat kajian al-Quran maka murid-muridnya (pelbagai
peringkar umur) sentiasa membaca al-Quran. Dan apabila tiba Ramadan, semua
membaca al-Quran siang dan malam. Oleh
itu saya pun memaksa diri membudayakan membaca al-Quran bersama mereka. Dengan dibantu murid-murid lain (yang lebih
muda usianya) mengenai pembacaan saya, dan pembacaan yang lama setiap masa
lama-kelamaan bacaan saya semakin baik dan dapat menghabiskan 30 juzuk sebelum
tamat Ramadan! Barulah pecah ‘persepsi bodoh’
yang memerangkap saya selama ini, bahawa saya tidak boleh menghabiskan 30 juzuk
dalam sebulan.
Memang saya sangat berterima kasih kepada keluarga
Haji Ahmad bin Abdullah di Kuala Pilah, guru harfiah almarhum Ustaz Hashim A
Ghani, Ustaz Khairuddin, Ustaz Azhar dan semua sahabat MIS waktu saya di sana
seperti Rahmat (Singapura), Abdul Nasir (Johor, sekarang di Indonesia), Suhaimi
(Pahang) dan lain-lain.
Sebenarnya budaya sekitar dan kemampuan yang kita
ada menjadi perangkap untuk kita merasa sentiasa kalah. Apabila kita dikurung dalam budaya baru, kita
terpaksa mengubah sikap dan kemampuan kepada sebaik yang boleh.
Kita mungkin bertekad mahu berjaya menjadi pembaca
al-Quran yang baik, namun cabarannya ialah budaya sekitar yang tidak memberi
bantuan. Itulah sebabnya banyak mana pun
tazkirah dan nasihat ustaz (termasuk
membebel) masih gagal menghasilkan anasir-anasir baru yang punya kesungguhan
besar sebagai pembaca al-Quran yang tegar.
Kalau tanya saya bagaimana caranya, saya jawab sebagaimana yang saya
lalui: Kurung dalam budaya para pembaca al-Quran!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan