Halaman

Khamis, Ogos 01, 2013

DOSA warisan Kristian, pahala warisan Islam? Perghhh....

AKIDAH besar dalam agama Kristian adalah dosa warisan.  Dosa warisan ini merupakan dosa yang telah dilakukan oleh Nabi Adam dan Hawa ketika dalam syurga Allah.  Versi Bible pun seperti yang terdapat dalam al-Quran, bahawa Nabi Adam dan Hawa telah termakan hasutan syaitan  sehingga melakukan larangan Allah.  Akhirnya Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan daripada syurga, dan dihantar ke dunia ini. Daripada Nabi Adam dan Hawa inilah berkembang biaknya manusia, yang kini kira-kira enam billion jiwa!

Kepada Kristian, dosa Nabi Adam tidak diampunkan Allah dan setiap keturunannya (semua manusia) menanggung dosa dua manusia pertama itu. Ini yang dinamakan dosa warisan. Kerna dosa warisan inilah umat Kristian percaya Allah telah menjelma sebagai manusia bernama Jesus (Isa putra Maryam) untuk menerima hukuman Salib.  Hukuman salib yang diterima oleh Jesus inilah sebagai penebus dosa warisan yang asalnya daripada Nabi Adam!  Maka sesiapa yang menjadi Kristian atau beriman bahawa Jesus itu adalah Allah yang merelakan disalib kerna menebus dosa Nabi Adam, maka dia terlepas daripada bebanan dosa warisan itu. Jadi, itulah faedahnya jika masuk Kristian.

Dalam Islam dosa Nabi Adam dan Hawa tidak diwariskan kepada sesiapa pun.  Malah al-Quran telah menjelaskan bahawa Allah mengampuni dosa Nabi Adam itu. Rujuk ayat 37 surah al-Baqarah (maksudnya), “Kemudian Adam menerima beberapa kalimat daripada Tuhannya, lalu Dia (Allah) pun menerima taubatnya.  Sungguh Allah Maha penerima taubat, Maha Penyayang.” Ustaz dan Pak Kiyai mana pun tidak ada yang berani mengatakan dosa Nabi Adam masih belum diampun disebabkan sangat jelas ayat al-Quran mengesahkan keampunan Allah kepada Nabi Adam!  Maka ustaz dan Pak-pak Kiyai mengatakan ‘tidak ada dosa warisan dalam Islam’ sebagai membedakan antara Islam dan Kristian.

Bagaimana dengan pahala warisan?

Islam itu telus dan jujur, dibuktikan dengan ayat-ayatnya yang sangat jelas mengenai tidak ada dosa dan pahala yang bisa diwaris atau dipusakakan kepada keturunan atau sanak keluarga.   Antara ayat yang paling jelas ialah ayat 46 surah al-Fusilat (maksudnya), “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk diri sendiri, dan barang siapa mengerjakan kejahatan maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba(-Nya).”

Dalam hidup saya di Sabak Bernam, sering solat di dua masjid dan satu surau.  Pada bulan Ramadan ini, imam-imam (bersama ahli jamaah solat) di masjid dan surau berkenaan punya agenda tetap setiap hari membuat bacaan al-Quran daripada surah dan ayat pilihan untuk dihadiahkan atau diwariskan kepada arwah-arwah yang ditentukan.  Nama khasnya ialah Tahlil Arwah. Tentulah bacaan ayat-ayat al-Quran ini diyakini memberi manfaat kepada si mati, atau dengan kata lain pahala bacaan al-Quran orang hidup yang dipindahkan kepada si arwah, maka si arwah itu mendapat faedah.  Faedah apa? Tentulah bertambah koleksi atau himpuan pahalanya yang membolehkan dirinya terlepas daripada ancaman siksa Allah.  Maksud lain bacaan al-Quran yang diwarisi daripada ahli keluarga yang masih hidup dapat menebus dosanya!  Inilah yang dinamakan pahala warisan!

Aneh, ketika ustaz atau Pak Kiyai menolak adanya dosa warisan Kristian dengan membawakan ayat al-Quran bahawa dosa Nabi Adam sudah diampuni Allah, mereka tidak pula menggunakan ayat al-Quran untuk menafikan adanya pahala warisan.

Apakah kerna jumlah wang dan sejumlah makanan yang lazat maka orang yang berserban pun meninggalkan prinsip Islam yang sangat jelas dalam al-Quran?

Bagi saya: Malu jika mahu berhujah dengan umat Kristian bahawa Islam tidak ada dosa dan pahala warisan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan