Halaman

Sabtu, Julai 27, 2013

SELAWAT NABI: Arab tidak buat, Melayu buat

SECARA santai, tercerita mengenai solat Tarawih di Makkah dan tanah air.  Bersoal-jawab pula, mengapa orang Nusantara membuat bacaan selawat ke atas nabi serta pujian kepada empat orang khalifah di celah-celah solat Tarawih, sedangkan di masjid Makkah dan Madinah tidak ada? Ada beberapa macam jawaban.  Antaranya, “Arab itu Wahabi”, “Itu cara orang Arab, cara Melayu lain sedikit” dan “perkara baik, bagus dilaksanakan”.

foto hiasan

Memang berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu satu anjuran yang aula.  Bisa dilihat ayat 56 surah al-Ahzab. Maksudnya,  “sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atas nabi dan ucapkanlah salam yang penuh penghormatan kepadanya.”

Oleh itu mengapa di Makkah dan Madinah tidak  melaksanakan seruan supaya berselawat di antara rakaat-rakaat Tarawih?  Orang Arab meninggalkan selawat dan orang Melayu melakukan selawat?

Apabila berselisih begitu, baliklah kepada ajaran yang asal iaitu al-Quran dan sunah Nabi s.a.w.  Lihat bagaimana Nabi s.a.w. dan para sahabat sesudah baginda melaksanakan solat Tarawih.  Oleh kerna di alam Melayu ini terkenal dengan jumlah 20 rakaat Tarawihnya yang menuruti solat Tarawih pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, maka lihat adakah Saidina Umar membawakan selawat-selawat seperti yang disebut oleh masyarakat Melayu kita.

Setakat ini tidak ada sesiapa yang mampu memberikan hadis menerangkan Nabi s.a.w. dan Saidina Umar memerintahkan diserukan selawat dicelah-celah solat Tarawih.  Sekalipun Saidina Umar itu sahabat Nabi yang terkenal cintanya kepada baginda Nabi s.a.w. tidak pula ada cerita beliau memulakan seruan-seruan selawat sebagaimana kita.  Jangan pula ada yang menuduh Saidina Umar tidak cinta nabi!  Jangan.

Ulama-ulama Arab memahami agama berdasarkan apa yang tertera dalam al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w.  Jika ada contoh atau perintah, maka mereka laksanakan bersama masyarakat.  Mereka tidak memberi hujah atau alasan ‘perkara baik bagus dilaksanakan’.  Misalnya mereka menuruti dasar dalam hadis di bawah.

Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan shalat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu? Aku shalat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis tersebut jelas sahabat Nabi s.a.w. melaksanakan solat pada waktu  yang tidak menepati seperti yang Nabi s.a.w. tunjukkan.  Maka Nabi s.a.w. tidak menyukainya.  Orang yang patuh sunah Nabi s.a.w., mudah memahaminya.  Mereka tidak mengubah syariat untuk disesuaikan dengan kehendak manusia.

Ulama-ulama Melayu (khasnya yang menyandang jawatan di pelbagai institusi Islam) pula agak inovatif iaitu membuat sedikit sebanyak perubahan atas alasan untuk disesuaikan dengan masyarakat.  Maka hasilnya seruan selawat dilaksanakan di celah-celah setiap dua rakaat Tarawih.  Ini boleh diertikan sebagai ‘syariat disesuaikan dengan masyarakat’.  Kita biasa mendengar ustaz atau ulama ini beralasan, “apa salahnya ruang yang ada diserukan kepada Jemaah untuk berselawat”.


Begitulah adanya…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan