Halaman

Ahad, Jun 02, 2013

TIDAK upaya Hudud, laksana Qisas

SATU berita yang sampai ialah kerajaan Iran membenarkan hakim-hakim mahkamah menukar hukuman rejam sampai mati kepada penzina dengan hukuman lain, kerana memenuhi desakan kuat masyarakat antara bangsa. Lupakan seketika Iran sebagai negara Syiah untuk membicarakan hukum rejam ini.  Di negara kita juga telah lama debat politik sama ada hudud hendak dilaksanakan atau tidak. Hudud kerap diberi contoh hukuman sebat 100 kali kepada penzina atau rejam sampai mati!  Satu lagi ialah memotong tangan pencuri.

hukum rejam di Mali

Di banding dengan Malaysia, Iran dikira lebih kuat dalam penentangannya terhadap dunia Barat sejak tahun 1979.  Sebutlah siri konfrontasi Iran dengan Amerika Syarikat atau Eropah, Malaysia tidak berpengalaman seperti Iran. Dari sudut politik dengan Barat, banyak umat Islam menjadikan Iran sebagai harapan untuk memberi ‘pengajaran’ kepada Barat khasnya Amerika Syarikat.

Begitu tinggi darjat penentangan Iran terhadap Barat pun, nampaknya dalam pelaksanaan hukum Hudud para pemimpinnya mula akur kehendak Barat yang menentang hukum Hudud. Adakah Malaysia bersedia menghadapi tekanan Barat apabila Hudud dilaksanakan seperti di Iran dan Arab Saudi. Orang bertanya, mengapa Amerika tidak menekan Arab Saudi? Jawabnya, Arab Saudi ada minyak untuk menutup mulut Amerika, dan Malaysia ada apa? 

Janganlah mudah untuk mengatakan kerajaan-kerajaan negeri yang tidak menggubal Hudud sebagai Enakmen dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai menolak Islam. Pihak yang dahulu kelihatan ‘berani mati’ melaksanakan Hudud juga ‘mati kutu’ sekarang kerana memenuhi desakan atau kehendak orang bukan Islam yang menjadi sekutunya. Kuasa orang bukan Islam ini baru dalam bentuk kuasa undi, belum kuasa Barat dalam pola yang lebih besar seperti sekatan ekonomi dan politik.

Ada perkara dalam syariah Islam yang jelas lebih adil dibanding dengan undang-undang Barat tetapi tidak dilaksanakan.  Jika Barat menghujah mengenai keadilan, maka tampilkan hukum Qisas yang masih diabaikan.

Apa itu Qisas? Maksud firman Allah dalam ayat 178 surah al-Baqarah “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan orang yang dibunuh.  Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan.  Namun sesiapa mendapat kemaafan daripada saudaranya hendaklah dia mengikutinya dengan baik, dan membayar diat (tebusan) kepadanya dengan baik (pula).  Yang demikian itu adalah keringanan dan rahmat daripada Tuhanmu.  Sesiapa melampaui batas selepas itu, maka dia akan mendapat azab yang pedih (kuat).”

Ambil contoh kes-kes bunuh yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.  Seseorang yang dihukum mati, berhak membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.  Jika gagal, dia berhak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Jika gagal lagi, dia berhak merayu kepada Raja.  Jika gagal juga, tidak ada peluangnya untuk hidup selepas itu.  Soalnya, mengapa rayuan kepada individu yang akhir itu ialah Ketua Negeri atau Ketua Negara.  Jika Encik X bersalah membunuh Encik Y, Encik X bersalah kepada keluarga Encik Y bukan Ketua Kampung, Penghulu atau Raja. Mengapa pula orang yang tidak ada kaitan dengan Encik Y diberi hak menerima atau menolak permohonan maaf Encik X?

Jika merejam pesalah sampai mati dianggap tidak bertamadun dan kejam oleh masyarakat Barat, adakah memberi hak menerima atau menolak rayuan ampun oleh waris mangsa sebagai ‘kejam’ juga?  Tidak pernah terdengar orang yang berakal dari wilayah mana pun berkata demikian.

Mengapa ahli-ahli politik Islam kita yang prihatin dengan keadilan tidak berusaha untuk menjadikan qisas sebagai salah satu aspek undang-undang?  Cuba fikir, mana lebih adil antara dua perkara berikut:

Satu: Raja yang tidak ada apa-apa hubungan dengan mangsa diberi hak menolak atau menerima rayuan maaf si pembunuh.


Dua:  Ahli keluarga mangsa bunuh berhak menolak rayuan si pembunuh atau menerima rayuannya dengan menerima ‘diat’ atau tebusan wang sebagai ganti kehilangan orang yang dikasihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan