Halaman

Isnin, Mei 20, 2013

BOLEHKAH TG Hadi Awang mencontohi Saidina Hassan bin Ali?

Presiden Pas, TG Haji Hadi Awang

PARTI-parti politik zaman sekarang sama seperti kewujudan  kabilah-kabilah Arab pada zaman pra-Islam dan Rasulullah dahulu.  Berpecah dan bertelingkah antara sesama parti dan kabilah, tetap sama.  Oleh kerna pada masa ini umat Islam berpecah berdasarkan parti politik, ada yang sanggup memberi hujah perpecahan ini ‘sah’ sebab para Sahabat Rasulullah juga berpecah dan berperang antara satu sama lain! Begitulah kuatnya fahaman sekular dalam demokrasi, yang membutakan manusia muslim terhadap ajaran dalam al-Quran. 

Hanya untuk mengesahkan perpecahan dalam masyarakat muslim, ada pemimpin yang ‘berkerat rotan’ atau ‘berpatah arang’.  Tidak ada persefahaman dalam politik jika demokrasi membenarkan pemisahan antara dua parti yang dianggotai  oleh orang Islam.

Benar berlaku perpecahan sehingga peperangan pada zaman para Sahabat Nabi. Sewaktu Saidina Ali bin Abi Talib menjadi Khalifah, telah berlaku dua peperangan antara umat Islam iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin.  Walaupun Khalifah Ali terpaksa berperang dengan dua pihak lain yang dipimpin oleh Sahabat-sahabat Nabi, namun perhatikan juga sikap Khalifah Ali ketika melayan penentangan itu.  Sebenarnya dalam kedua-dua peperangan itu, Khalifah Ali berpeluang mengalahkan (baca membunuh dan memusnahkan) lawannya, namun kerna keimanannya terhadap perintah Allah supaya tidak berpecah (bertelingkah) maka kesempatan itu dibiarkan dan mengutamakan keamanan  dan keselamatan jiwa rakyat.

Kemudian apabila Khalifah Ali wafat Tahun (661M), umat Islam masih berpecah dua akibat politik.  Satu berpihak kepada Muawiyah bin Abi Sufyan yang berpusat di Syam (Syiria) dan Saidina Hassan bin Ali bin Abi Talib di Kufah, Iraq.  Dari sudut politik, Saidina Hassan bin Ali lebih utama menjadi khalifah kepada semua umat Islam kerana putera kepada Khalifah Ali, serta cucu Rasulullah s.a.w.  Saidina Hassan bin Ali boleh saja menggunakan kedudukan ini untuk menjadi Khalifah seterusnya mengalahkan Muawiyah bin Abi Sufyan, walaupun beliau juga seorang Sahabat Nabi.

Namun Saidina Hassan bin Ali lebih mengutamakan perpaduan politik umat Islam.  Pilihannya beliau tidak menerima jawatan Khalifah, lantas membaiah pula Muawiyah sebagai Khalifah untuk semua muslim.  Apabila orang yang mempunyai reputasi tinggi dan banyak pengikut seperrti Saidina Hassan bin Ali membaiah ‘musuh’ ayahnya, maka tidak ada lagi permusuhan sesama muslim akibat politik.  Walaupun Saidina Hassan bin Ali tidak menjadi Khalifah umat Islam, tetapi sumbangannya sangat besar kepada umah iaitu menyatupadukan umah, menyelamatkan umah dalam bencana fitnah (peperangan) dan perbalahan yang besar!

Apa yang Saidina Hassan bin Ali dapat dengan membaiah ‘musuh’ ayahnya?  Tidak ada apa-apa pangkat dan kurniaan gelar daripada Khalifah Muawiah bin Abi Sufyan pun.  Cukuplah dia percaya apa yang dilakukannya sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai orang yang diberi pengaruh dalam masyarakat Islam.  Dengan pengaruhnya, keamanan dan perpaduan yang wajib diamalkan oleh semua muslim dapat diamalkan. 

Situasi itu patut dijadikan iktibar kepada para pemimpin Islam di negara ini.  Indah apabila  Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang merendah diri, tidak mahu mengiklan diri sebagai calon Perdana Menteri Malaysia malah lebih senang menjadi nelayan!  Oleh itu sepatutnya beliau mencontohi sikap cucu Rasulullah yang membawa umah dalam perpaduan dalam situasi janji dirinya pun bukan mahu menjadi seorang Perdana Menteri (mahu menjadi nelayan saja!)

Harap seorang pemimpin bergelar Tuan Guru mencontohi sikap Saidina Hassan bin Ali, insya Allah namanya akan harum sepanjang sejarah negara!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan