Halaman

Khamis, Jun 06, 2013

BAGAIMANA polis siasat tahanan, lemah-lembut?

TUGAS polis ialah menjaga keamanan dan keselamatan awam, supaya kehidupan masyarakat atau rakyat sentiasa terjamin.  Jika ada individu yang melanggar undang-undang, maka polis akan membuat tindakan menahan dan membuat siasatan.  Tidak ada sesiapa yang menafikan tugas mulia semua anggota polis.

Keratan akhbar Utusan Malaysia 6 Jun 2013

Lagi anggota polis didakwa membunuh orang dalam siasatan apabila seorang mati dalam lokap. Kali ini tiga anggota polis didakwa dibawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.  Kita serahkan kepada pihak polis penyiasat dan mahkamah menyelesaikan kes ini.

Saya melahirkan rasa simpati kepada ketiga-tiga anggota berkenaan dan keluarga mereka.  Sebenarnya dalam melaksanakan tanggung jawab, tidak ada anggota polis yang berniat untuk menganiaya orang lain.  Kalau mungkin berlaku begitu, tentulah di luar kawalan atau jangkaan.  Saya teringat kata-kata seorang anggota polis lebih 10 tahun dahulu menceritakan mengenai tugasnya. Katanya, “Kalau ketua sudah panggil untuk operasi, dia pesan supaya pulang ke rumah dahulu dan wasiat apa yang patut kepada ahli keluarga.”  Maksudnya, mungkin saja anggota polis akan terbunuh dalam operasi!  Sebab itu saya merasakan tekanan emosi ahli keluarga tiga anggota yang didakwa membunuh sebab selama ini mereka turut merasa bimbang keselamatan nyawa suami dalam menjalankan tugas menjaga keamanan, kini suami pula didakwa membunuh orang dan berdepan hukuman mati!

Tidak pasti masyarakat faham atau tidak bagaimana susahnya mendapatkan kerjasama daripada orang yang ditahan sebab melakukan kesalahan jenayah. Orang yang dituduh melakukan jenayah bukan berwatak lemah-lembut macam imam masjid dan ikhlas dalam memberikan maklumat.  Oleh kerana semua maklumat akan diguna pihak polis dalam pendakwaan, tentulah kemungkinan menipu atau tidak memberi kerjasama kepada polis penyiasat sangat besar.

Di sekolah-sekolah pun ada Guru Disiplin yang membuat siasatan kepada murid-murid yang melanggar peraturan sekolah.  Sebenarnya murid-murid yang cenderung melanggar peraturan sekolah pun ‘pandai’ membuat helah dalam siasatan walaupun tampak karenah kesalahan mereka.  Misalnya, sekalipun jari-jemari dan mulut berbau rokok, dia masih tidak mengaku perbuatan merokok dalam kawasan sekolah.  Dia akan memberi helah, merokok sebelum masuk ke sekolah atau hanya menolong nyalakan api rokok kawan.  Helah seperti ini untuk mengelak dirinya disabit kesalahan berat, merokok di kawasan sekolah.

Tidak dinafikan ada murid yang digertak oleh Guru Disiplin akhirnya mengakui perbuatan salahnya. Namun perlu diingat bahawa sebenarnya semua guru termasuk Guru Disiplin tidak boleh meninggikan suara apa lagi mengertak murid, walaupun dalam siasatan masalah disiplin.  Jika Guru Disiplin bertanya itu dan ini seperti melayan anak-anak yatim, jangan haraplah murid yang siasat akan terus mengakui kesalahannya. 

Itu baru perangai murid sekolah, yang masih dalam kawalan.  Jadi boleh bayangkan apa reaksi orang yang sudah dewasa, memang sudah bertahun-tahun terlibat dalam jenayah dan kemudian tahu jika disabit kesalahan akan menerima hukuman penjara bertahun-tahun atau hukuman mati. 

Dilema pasukan polis ialah: Jika tertuduh dilepaskan oleh mahkamah kerana kekurangan bukti, maka polis dikatakan tidak cekap membuat siasatan.  Jika berkeras dalam membuat siasatan, tertuduh akan mendakwa polis pula yang melanggar peraturan siasatan (SOP).


Itulah sebabnya ada Hari Akhirat sebagai hari perbicaraan sebenar kepada semua manusia. Beriman kepada adanya hari pembalasan di akhirat menjadi penawar kepada ‘perasaan merasa tidak mendapat keadilan yang sepenuhnya’ di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan