Halaman

Jumaat, Jun 21, 2013

NYANYI-nyanyi cinta Nabi....

DEBAT tak sudah berkenaan nyanyian, nasyid dan musik dalam Islam. Perbedaan pendapat dengan hujahan masing-masing tetap ada.  Yang pasti hiburan memang menjadi satu jalan hidup bangsa Melayu kita.   Ustaz-ustaz kita pun banyak kali menasihati, menyindir dan marah-marah kepada orang kita yang mengutamakan hiburan dalam hidup. 


Lihat sahaja di rumah kenduri kahwin, bunyi-bunyian musik tidak henti-henti.  Kuatnya bunyi sehingga orang yang hadir hendak berbual-bual pun jadi tidak betah.  Di rumah pun mesti ada set untuk musik.  Dalam kereta pun disediakan radio atau alat memainan musik dan nyanyian.  Kerna itu jiwa orang kita memang tidak dapat dipisahkan dengan hiburan, tua dan muda.  Akibatnya belajar agama seperti belajar membaca al-Quran pun dilagukan.  Zikir menyebut nama-nama Allah pun ada irama khasnya yang dipelopori oleh kumpulan al-Arqam.  Ceramah agama, ustaz pun terpaksa menyanyi satu dua lagu untuk menarik minat orang datang mendengar ceramahnya.  Nyata sudah penceramah-penceramah yang dapat menghimpunkan beribu-ribu orang dalam ceramahnya telah mempunyai trade marknya: Lawak jenaka atau nyanyian!

Begitulah orang kita, agama sebagai perkara yang bersungguh-sungguh (serius) terpaksa disentuh secara santai-santai dan ketawa riang.  Hendak mengajak orang mencintai Nabi atau Rasulullah s.a.w. pun mengikut kehendak orang yang hidup matinya mesti ada hiburan.  Maka terpaksalah dibuat konsert-konsert bertamakan Islam seperti Cinta Nab, Mahabbah Rasulullah dan sebagainya.

Kelihatannya dalam bab agama pun kita memilih mana yang sesuai.  Sesuai ertinya tidak menyinggung perasaan orang lain.  Kita hanya mahu mendengar ajaran agama yang menyenangkan hati, iaitu tidak mahu membebankan pemikiran.  Saya tidak menghadiri satu konsert yang bertemaan cinta Nabi.  Harap-harap selepas tamat konsert berkenaan, akan ada sekurang-kurangnya satu atau dua orang yang punya kesedaran bahawa cinta nabi bererti mengamalkan sunah nabi dalam agama.  Mengamalkan sunah Nabi bermakna membenci ‘ajaran-ajaran agama’ yang tidak ada suruhan atau contoh daripada Nabi s.a.w.

Apa ertinya mendakwa mencintai nabi jika masih berkira-kira dengan ayat, ‘kalau ikut cara nabi zikir, nanti makmum lari dari masjid sebab mereka sudah biasa berzikir dengan cara berlagu-lagu’.  Nanti orang kata saya asyik kata ‘zikir tak boleh kuat-kuat dengungnya sampai ke angkasa’. Bosan!  Tak ada lainkah jika mahu memberi bukti sunah Nabi s.a.w.?

Ada hadis nabi (sebagai sunah) menyuruh mentaati pemerintah. Malah dalam al-Quran surah an-Nisa ayat 59 pun sudah jelas perintah Allah supaya mentaati pemerintah. Itulah dasar antara rakyat terhadap pemerintah muslim.  Itulah sunah nabi dalam berpolitik.  Adakah itu perkara furu’ atau ranting-ranting agama?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan