Halaman

Jumaat, Jun 14, 2013

PERTEMUAN perpaduan Umno-Pas-PKR senyap-senyap terdedah sudah

TUAN-tuan pemimpin Melayu-Islam dalam Umno, Pas dan PKR.  Kalian memilih partai politik yang berbeda atas sebab berlainan pendapat, dan di belakang kalian ada berjuta-juta rakyat Melayu-Islam yang mengikut jejak langkah kalian itu.  Di permukaan, kalian bertelingkah tak menemukan persamaan walaupun kalian beragama yang satu, menyembah Tuhan yang satu, berbahasa yang satu, dan tinggal dalam satu negara.  Oleh kerna tuan-tuan bertelingkah mendakwa diri masing-masing benar dan yang tidak dalam partai kalian adalah salah, maka ada berjuta-juta rakyat Melayu-Islam juga bertelingkah mendakwa dirinya benar dan orang lain salah. 

Pas-Umno-PKR

Tuan-tuan para pemimpin sebenarnya berpura-pura atau menafikan naluri sebagai manusia Islam berbangsa Melayu.  Bahawa dalam diri tuan-tuan kuat mengatakan antara rakyat Melayu-Islam sebenarnya tidak ada perbedaan yang besar sehingga perlu berpecah antara satu sama lain.  Tuan-tuan sedar bahawa rakyat Melayu-Islam tidak boleh berpecah belah, sebab bahayanya besar.  Tuan-tuan tahu saat  rakyat Melayu-Islam berpecah atas sebab politik, orang bukan Melayu-bukan Islam pula terang-terang bersatu dalam semua perkara dengan satu matlamat.  Tuan-tuan juga tahu jika masalah perpecahan ini terus berlaku, maka bahaya besar rakyat Melayu-Islam pasti datang menimpa diri.

Maka, tuan-tuan para pemimpin Umno, Pas dan PKR rupa-rupanya telah bertemu sesama kalian secara diam-diam.  Sejujurnya, tuan-tuan tidak mahu perpecahan dan bahaya menimpa rakyat Melayu-Islam.  Hari ini telah terbuka hijab berkenaan.  Di permukaan tuan-tuan bertelingkah tak setuju antara satu sama lain dan setiap satu parti berpakat dengan pihak bukan Melayu-Islam untuk saling memperkuat permusuhan, di bawah permukaan tuan-tuan mencari jalan damai.  Malangnya, semua rakyat Melayu-Islam yang menjadi pengikut tuan-tuan tidak faham cara tuan-tuan berpolitik, lalu di bawah sana pertelingkahan sesama rakyat Melayu-Islam tak ada hujungnya.  Senang-senang mereka saling tuduh-menuduh hingga mempertikai akidah Islamnya sebab tidak dalam satu partainya.

Tuan-tuan para pemimpin Umno, Pas da PKR berterus-teranglah apa yang selama ini disembunyikan.  Kalau tuan-tuan memang sedar persatuan rakyat Melayu-Islam itu penting dan tidak boleh dielak, sebagaimana rakyat bukan-Islam yang bersatu padu, maka apa perlunya dilengah-lengahkan.  Malulah kita semua mengaku beragama Islam yang suci dan berbangsa Melayu yang bersopan santun, tetapi bencikan perpaduan dan perdamaian.

Tuan-tuan semua, sebenarnya banyak perkara yang selama ini disembunyikan semata-mata hendak menjaga hati kawan-kawan terutama yang bukan Islam, tetapi apakah untungnya kita sekarang?  Hari ini mereka bersatu dan mula ‘mengancam’ kedudukan kita.  Perpaduan dan tuntutan mereka sudah jelas terbuka, mengapa kita yang majoriti masih bersembunyi-sembunyi?

Dahulu tidak ada orang kita yang terbuka bercakap supaya sekolah bahasa ibunda dimansuhkan, hari ini lebih 150 NGO secara terbuka berkata demikian.  Ini bermakna rakyat Melayu-Islam mahu ketelusan dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan budaya.

Jadi, eloklah tuan-tuan sebagai pemimpin berkata-kata yang terang supaya orang bawahan tidak salah faham.  Tuan-tuan sekalian memang mahu perpaduan, maka berkatalah yang sebenarnya secara terbuka. Insya Allah semua rakyat Melayu-Islam akan bersetuju dan yang bukan Melayu-Islam akan menghormatinya.  Kita rakyat Melayu-Islam merupakan penduduk yang paling besar, penduduk asal dan telah berkurun-kurun membina negara dan kedaulatan, mengapa tuan-tuan sebagai pemimpin di negara Melayu-Islam ini masih malu-malu untuk menyatakan pepaduan rakyat Melayu-Islam.


Wahai para pemimpin, ayuhlah nyatakan perpaduan dengan jelas, dan tidak lagi berkias-kias.  Rakyat dahagakan perpaduan bukan pertelingkahan yang merugikan negara.  Juga rakyat Melayu-Islam sudah bosan dengan dendam sana-sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan