Halaman

Isnin, Jun 24, 2013

KERJA dan beribadah pun dibuat bermusim

KATA mantan Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid bahawa orang Melayu suka kepada aktiviti bermusim bukannya yang hari-hari dilakukan.  Beliau memberi contoh orang Melayu cenderung menjadi nelayan sebab ada waktu rehatnya yang panjang apabila tiba musim laut berombak besar.  Menjadi petani juga, selepas menanam padi, petani berehat sementara menunggu musim menuai. 

foto hanya biasan

Sebaliknya orang Melayu kurang berminat membuka kedai perniagaan sebab wajib membuka kedai hari-hari, maknanya wajib bekerja hari-hari.  Kalau mahu berniaga juga pilihannya ialah di pasar minggu atau pasar tani yang dilakukan bukan hari-hari.  Ada kecenderungan besar orang Melayu perlukan masa rehat yang agak panjang kalau membuat pilihan bekerja. 

Ada sahabat kaget dengan kedatangan lebih banyak orang di masjid pada suatu malam. Rupa-rupanya ada majlis Nisfu Syaaban.  Pada malam berkenaan ada program ibadah membaca surah yasin tiga kali, dan doa khas yang panjang.  Yang menambah bilangan ialah yang mereka yang hadir ke masjid disebabkan ada majlis agama setahun sekali itu.  Itu bermusim namanya.

Tidak lama akan datang bulan Ramadan yang malamnya bersolat tarawikh.  Pengalaman tahun-tahun yang lalu, masjid dipenuhi orang untuk ibadah berkenaan.  Mengapa penuh? Sebabnya yang selama ini tidak menjadikan masjid sebagai tempat solat berjamaah telah berbondong-bondong ke masjid.  Keadaan ini pun biasanya tidak lama, ada kira-kira dua minggu sahaja.  Selepas tamat Ramadan, masjid hanya dikunjungi oleh yang ‘tidak perduli’ musim-musim beribadah.

Solat Jumaat pun boleh dilihat sebagai satu musim beribadah setiap minggu.  Berjumaat memang wajib kepada lelaki, tetapi mengapa penerimaan wajib (atau sunat yang sangat dituntut syarak) berjamaah pada setiap waktu solat tidak sehebat solat Jumaat?  Itulah satu lagi bukti budaya ibadah yang bermusim.

Hanya untuk berdoa kepada Allah agar arwah-arwah ahli keluarga juga diampunkan Allah, itu pun orang Melayu membuatnya dalam bentuk bermusim.  Ditetapkan hari-hari berkumpul beramai-ramai di rumah pada hari ketiga kematian, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan seribu.  Jika tidak membuat majlis doa secara bermusim, dirasakan tidak menghampiri kedudukan ‘anak salih’ kepada arwah ibu bapa.

Rupa-rupanya budaya bermusim dalam ekonomi lebih ketara dalam beribadah.  Apa puncanya? Mungkin sahaja faktor geografi dan iklim menyebabkan budaya pemikiran orang Melayu menjadi begitu. Budaya itu lanjutan zaman dulu. Dahulu, orang menanam padi dan menjadi nelayan betul-betul bergantung pada kesesuaian iklim.  Begitu juga dengan sungai sebagai jalan utama, masa untuk sampai ke masjid mengambil masa.  ‘Kewajiban’ kerja dan ibadah di masjid tidak dapat dilakukan hari-hari.  Namun hari ini halangan iklim dan perhubungan sudah diatasi dengan teknologi moden, tetapi budaya lama terus berjalan.


Kesimpulannya, budaya perlu diurus dengan ilmu dan tanggung jawab,  bukan lagi dengan dalil nenek-moyang. Ada sentuhan dalam al-Quran mengenai kecintaan terhadap budaya nenek-moyang.  Ayat 170 surah al-Baqarah (artinya), “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘ikutilah apa yang ditunjukkan oleh Allah’ mereka menjawab, ‘(Tidak), kami mengikut apa yang kami dapati pada nenek-moyang kami. Padahal nenek-moyang mereka tidak mengetahui apa pun, dan tidak mendapat petunjuk.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan