BERAPA banyak manusia yang teruja dengan tanggal 01
Januari saban tahun, sebab dikatakan adalah hari istimewa iaitu hari pertama
tahun baru. Maka banyak yang membuat
azam baru untuk dicapai pada tahun berkenaan.
Berganti tahun bermakna bertambahlah usia atau
semakin berkuranglah usia yang ada. Arti
lain, semakin dekat menghampiri kematian, sekalipun mendapat ucapan kata-kata
manis, “semoga dipanjangkan usia”.
Menyedari hakikat ini, antara kita ada yang berazam untuk menambah
amalan atau memperbanyakan ibadah sebagai bekalan hari akhirat.
Bukan kita tidak melakukan amal ibadah atau amal
salih, sebaik-baiknya perbaikilah amal salih kita dahulu. Perhatikan adakah amal salih yang selama ini
kita lakukan tinggi kualitinya, iaitu menepati sunah nabi atau ‘kehendak hati dan orang ramai’.
Melakukan banyak amalan semata-mata mengejar pahala sedangkan tidak menuruti
sunah nabi, telah berlaku pada zaman kehidupan nabi dahulu. Dan ini menjadi panduan kita agar melakukan
amal ibadah atau amal salih menepati peraturan sunah.
Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul
membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan solat malam dan tidak
tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga
berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada
Rasulullah s.a.w. Maka baginda berkata,
kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku solat malam tapi juga
tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang
membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Bagaimana amalan solat selama ini? Jika hanya berjamaah dalam Solat Jumaat, maka
tambahkan kualiti solat dengan berjamaah untuk solat fardu yang lain. Bagaimana dengan yang sudah berjamaah untuk
semua solat fardunya? Perhatikan
bagaimana kedudukan kita dalam saf, adakah sentiasa merapat antara ahli jamaah
atau masih merenggangkan diri? Maka
perbaikilah kualiti solat jamaah dengan merapati antara satu sama lain. Bukan luar biasa jika kita cuba merapati ahli
jamaah lain sehingga menyentuh bahu atau kakinya, maka ada yang bergerak
merengangkan diri.
Bagaimana menjaga solat agar tidak terputus
(seperti putus puasa)? Selama ini ada
yang tidak berapa menghiraukan amalan meletakkan sutrah atau penghadang. Bahawa baginda nabi telah menjelaskan solat bias
terputus apabila dilintasi orang di hadapannya.
Perbaikilah kualiti solat itu dengan kita bersolat yang mempunyai
penghadang di hadapannya atau sutrah.
Solatlah dengan merapati dinding, tiang atau apa saja yang bias dijadikan
penghadang. Bukankah selama ini orang
tidak begitu menghiraukan amaran nabi mengenai ‘solat yang terputus’?
Kemudian, kita mahu memperbaiki kualiti akhlak atau
peribadi. Tidak ada contoh lain kecuali
akhlak Rasulullah atau nabi s.a.w.. Apa
akhlak nabi untuk diteliti dan diamalkan.
Jawabnya, ajaran al-Quran adalah akhlak baginda nabi. Oleh itu dengan mengamalkan ajaran al-Quran,
maka kita mengikuti akhlak nabi yang kita cintai.
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah r.a
tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Aisyah
menjawab, "Akhlak Nabi s.a.w adalah al-quran." (HR Muslim).
Maaf merupakan perbuatan yang sukar dilakukan kerna
berlawanan dengan hawa nafsu manusia.
Lawan maaf adalah dendam, sedangkan ajaran al-Quran adalah menyuruh
memaafkan kesalahan orang lain. Perhatikan maksud
firman Allah ayat 37 surah as-Syura: “…..dan apabila mereka marah
segera memberi maaf….” Ayat 40 surah yang sama pula bermaksud:
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa
yang memaafkan dan berbuat baik (kepada yang berbuat jahat) maka pahalanya
daripada Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang yang zalim.”
Selamat Tahun 2013, semoga benar kita berazam untuk lebih dekat
kepada taqwa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan