Halaman

Sabtu, Januari 05, 2013

BARANG kemas dan tubuh wanita adalah perhiasan!


JIKA ditanya kepada setiap muslim, mengenai sama ada mahu mengamalkan al-Quran atau meninggalkannya, pastilah semua menjawab ‘mahu mengamalkannya’.  Ini termasuk dalam Rukun Iman, iaitu mempercayai atau beriman dengan al-Quran.  Hari ini pun al-Quran bukan lagi satu kitab elit yang hanya mampu difahami oleh golongan ustaz dan ustazah, malah murid-murid sekolah rendah dan menengah pun boleh mengetahui makna-makna ayat  dalam kitab berkenaan.

Sekalipun al-Quran sudah dikira merata-rata sehingga dianggap pula setiap muslim mampu mengamalkannya dengan mudah tanpa banyak soal, namun syaitan tetap mempunyai cara-cara terbaru untuk terus menggagalkan muslim daripada mengamalkan ajaran al-Quran secara benar.  Jika diperhatikan penerimaan masyarakat muslim tuntas kepada ayat halal-haram daging haiwan seperti dalam ayat 3 surah al-Ma’idah (Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan haiwan (daging) yang disembelih bukan kerna Allah, yang (mati) tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam haiwan buas, kecuali yang sempat kamu sembelih.  Dan (diharamkan pula) yang disembelih untuk berhala…..). 

Untuk ayat di atas, semua muslim ‘dengar dan taat’, tidak ada yang mahu mentakwil tentang kalimah ‘lahmar khinzir’ sebagai benar-benar daging khinzir/babi, lalu mengatakan boleh pula memakan organ dalaman seperti hati dan jantungnya.  Juga tidak ada yang mahu berhujah boleh juga kulitnya dimakan sebab kulit itu bukanlah daging babi.  Ya, semua akur, bahawa apa saja daripada tubuh khinzir itu hukumnya haram dimakan, secicip pun mesti dihindari.

Lalu perhatikan penerimaan ayat 31 surah an-Nur berkenaan kawajiban menutup aurat wanita dengan melabuhkan tudung kepalanya ke bahagian dada (Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman agar mereka menjaga pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuai yang  (biasa) terlihat.  Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung kepala ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada suami, ayah, datuk atau anak-anak lelakinya, atau anak tiri lelaki, atau saudara lelakinya, atau ponakan (anak saudara) lelakinya, atau ponakan lelaki daripada saudara perempuannya, atau (sesama) perempuan, atau hamba sahaya (lelaki) yang dimiliki, atau pelayan lelaki (tua) yang tidak punya keinginan kepada (seksual) wanita, atau anak-anak lelaki yang belum mengerti perihal aurat wanita.  Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.  Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-oran yang beriman, agar kamu beruntung.)

Wajib juga diketahui asbabun nuzul (sebab turun) ayat diatas supaya lebih difahami maksud ayat bab tutup aurat itu.  Seorang Sahabat, Hadhrami r.a. meriwayatkan bahawa ayat 31 surah an-Nur itu diturunkan berkenaan seorang wanita yang memakai dua gelang kaki.  Ketika berjalan di hadapan sekelompok orang, dia menghentakkan kakinya agar gelang-gelang kakinya berbunyi (diketahui orang lain). (Riwayat Ibnu Jarir).

Mesej ayat 31 itu ialah wanita beriman tidak memberitahu kepada lelaki bukan ahli keluarganya apa-apa perhiasan yang dimiliki.  Perhiasan itu ialah aurat dan juga barang hiasan yang menjadi kesukaan kaum wanita.  Tentulah bersebab bahawa wanita itu sebenarnya sentiasa menjadi objek perhatian kaum lelaki.  Sebab itu pada ayat sebelumnya (ayat 30), Allah telah wewajibkan lelaki beriman supaya menjaga pandangan dan kemaluannya!  Tentu sekali arahan itu terjadi kerna ‘kegilaan’ lelaki terhadap wanita sebagai objek seksual.

Kepada semua wanita muslim, wajib tahu bahawa pemakaian tudung itu bukanlah satu fesyen atau trend semata-mata.  Bertudung kepala yang dilabuhkan ke atas dada merupakan perintah Allah sama seperti perintah Allah mengenai daging haiwan apa yang boleh dimakan atau tidak.  Jika dalam bab daging haiwan yang Allah haramkan, kita tidak lagi membuat tafsir atau takwil lain, nampaknnya dalam bab berpakaian yang menutup aurat kita tidak mudah untuk ‘patuh dan dengar’.  

Masih ada keinginan untuk memberi maksud bahawa ‘asal saja bertudung’  atau ‘asal semua rambut dan kulit sudah tertutup’ maka itu sah mengikuti ayat 31.  Sebab itu banyak wanita muslim bertudung kepala yang tidak dilabuhkan ke dadanya.  Atau bertudung dengan berpakaian menampakkan susuk tubuh terutama bahagian dada dan pinggulnya.  Jika difahami sebab turun ayat ialah untuk ‘mengelak wanita menjadi perhatian lelaki’, maka banyak pakaian wanita yang ‘sendat’ sekalipun bertudung tetap masih mengalakkan perhatian dan pandangan lelaki!  Perhiasan wanita itu masih tidak disembunyikan lagi.

Tidak lupa disebut juga bahawa akhir ayat 31 itu, Allah menyeru bertaubat untuk mendapat keuntungan.  Itu janji atau jaminan Allah, bahawa jika lelaki yang menahan pandangan terhadap tubuh wanita dan wanita yang tidak mempamerkan bentuk tubuhnya kerna menyahut seruan Allah, maka Allah menjamin untung besar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan