Halaman

Rabu, Disember 26, 2012

MANDI Safar tidak laku lagi......


DI Sabak Bernam, saya hanya mendengar ada orang melakukan Mandi Safar sewatu saya kecil.  Sekali itu sahaja saya mendengarnya dan selepas itu, yang didengar ialah kritikan oleh ahli agama bahawa amalan Mandi Safar adalah amalan khurafat dan syirik!.


Bukan mahu bersunat, Mandi Safar (2011) di Pulau Lingga

Dalam adat Melayu Nusantara, Mandi Safar ialah acara mandi ritual yang dikaitkan dengan agama Islam, berbaur dengan kepercayaan  Melayu kuno selain satu keseronokan berkarnival!  Ritual Mandi Safar hanya dilakukan pada hari Rabu terakhir bulan Safar tahun Hijriah.  Apa tujuannya?  Pengamalnya percaya bahawa bulan Safar lebih banyak membawa keburukan, maka mereka melakukan Mandi Safar sebagai ikhtiar menolak bala atau bencana keburukan  itu.  Kepercayaannya, dengan melaksanakan Mandi Safar di bilik mandi, parit, sungai atau tepi pantai dengan niat menolak bala bencana, maka Tuhan lebih mengkabulkan!

Ritual Mandi Safar tidak lagi popular di Tanah Melayu, tetapi masih diamalkan di pantai timur Sabah, khasnya dalam kalangan keturunan kaum yang datang dari Mindanao.  Namun di kepulauan Melayu lain wilayah Indonesia, Mandi Safar menjadi satu acara tahunan yang meriah, seperti meriahnya orang Melayu di Malaysia menyambut Maulidur Rasul.

 seorang imam membuat siraman Mandi Safar, membuang sial di Teluk Likas, Sabah.

Orang Melayu di kepulauan Riau Lingga dan Jambi misalnya, menjadikan Mandi Safar satu adat Melayu yang dilibati semua pihak.  Acara itu dimasukkan dalam kalendar sambutan adat tahunan.  Para Penghulu, Ketua  Desa, Imam, guru-guru serta kebanyakan ahli masyarakat akan menjayakannya.  Hari Rabu itu sangat istimewa.  Orang-orang kenamaan dalam majlis rasminya memakai pakaian sut Melayu seperti para kenamaan orang Melayu di sini menyambut Maulidur rasul.  Para kenamaan itu yang memulakan acara dengan menyiram mandi anak-anak atau yang lebih muda. Di pantai ada acara mandi beramai-ramai dengan niat menolak bala.

 Mandi Safar di sungai, salah satu adat di Indonesia

DI Pulau Lombok misalnya Mandi Safar disebut ‘Rebo Bontong’. Pengamalnya percaya mandi pada Rebo Bontong adalah sebagai penyucian, satu persiapan menyambut Maulidur rasul!  Masih dikaitkan dengan agama Islam!

Saya yakin kebanyakan orang Melayu dari Malaysia akan geleng kepala, sebagai tanda tidak setuju Mandi Safar dikaitkan dengan agama Islam, atau sebagai ikhtiar menolak bala bencana.  Tidak kurang pula yang memahaminya bahawa ritual mandi hari Rabu terakhir bulan Safar sebagai kias daripada ajaran Hindu yang melakukan mandi di Sungai Gangga, India, sebagai upacara penyucian jiwa!

Jika ustaz dari Tanah Melayu berdakwah kepada kalangan pengamal tegar Mandi Safar, pasti jawaban yang diterima ialah, “Mandi Safar merupakan adat Melayu turun-tenurun dan sudah diterima dengan baik oleh segenap ahli masyarakat.  Tidak perlu dipersoolkan lagi.”    Jika dihujah bahawa adat itu tidak ada dalam ajaran al-Quran dan sunah nabi, tentu jawab mereka, “Ini amalan baik untuk membersihkan diri.  Niatnya pun baik, satu usaha menghindari keburukan dan membuang sial.”  Atau mungkin jika cuba didakwah kepada imam masjid yang melakukan Mandi Safar, jawabnya boleh jadi begini, “Kamu wahabi, semua khurafat dan bid’ah”.

Begitulah apabila suatu adat yang sudah disulam elemen agama, menjadi satu kepercayaan kuat yang berakar umbi.  Sisi pandangan pengamal Mandi Safar sama dengan sisi pandangan para pengamal kenduri tahlil di Tanah Melayu!  Jika dkatakan tahlilan arwah sebagai unsur hindu yang jelas dalam kitab   Weda Smerti , biasa dijawab sebagai, “ini amalan yang sudah lama diamalkan masyarakat Melayu Islam, tidak perlu dipersoalkan lagi.”  Yang pasti orang agama kerap melabel ‘wahabi’ kepada yang menolak amalan adat kenduri arwah bertahlil.

Begitulah, kita perlu keluar daripada kelompok sendiri untuk melihat suasana dengan adil.  Sukar untuk kita mengadili sesuatu perkara jika kita berada dalam lingkungan sendiri.  Orang-orang yang tegar dengan Mandi Safar dan Kenduri arwah, jika berada dalam adat masyarakat lain yang tidak mengamalkan adat demikian, akan mudah terbuka mindanya melihat di mana benar-salah perkara itu.  

1 ulasan: