Halaman

Selasa, Disember 25, 2012

UMNO dan Pas Pertahankan Perlembagaan negara


POLITIK ialah berkaitan dengan kuasa.  Partai politik ialah organisasi massa yang bercita-cita mendapatkan kuasa tertinggi dalam negara, melaksanakan pemerintahan.  Setiap partai politik mempunyai  dasar yang diperjuangkan seperti kebangsaannya, agama atau juga ideologi demakrasi dan sosialis. Di Malaysia, orang Melayu secara budaya dan undang-undang mesti beragama Islam.  Oleh itu, partai Melayu seperti Umno juga mendakwa memperjuangkan Islam.  Serpihan daripada Umno menjadi sebuah parti Islam (Pas) juga mendakwa memperjuangkan Islam.  Namun kedua-dua partai yang anggotanya Melayu beragama Islam tidak saling mesra, malah saling mengasah senjata perbedaan pendapat serta jurang pemisahan.

Jika dinilai mengikut acuan ajaran demokrasi liberal Barat, kemunculan banyak partai politik sangat diraikan sebagai tanda suburnya demokrasi.  Malah kepada Barat, semakin berbeda pendapat, semakin tulen demokrasi dan hak asasi manusia.  Tidak begitu, jika berdasarkan al-Quran.  Namun dasar al-Quran selama-lamanya sebagai prinsip yang sangat minoriti, berbanding  kehendak akal dan nafsu manusia.

Walaupun Umno pada asalnya ditubuhkan tidak bertujuan mewujudkan sebuah negara seperti yang diperintah oleh Rasulullah di Madinah dahulu, namun mereka yang menubuhkan Pas asalnya adalah mereka yang sama-sama menubuhkan Umno dan mengembangkannya sewaktu penjajahan British! Hanya apabila berlaku perselisihan akibat perebutan jawatan tertinggi dalam Umno, maka yang gagal dalam perebutan itu menubuhkan pula Pas.  Tidak ada rekod pula bahawa perebutan jawatan tertinggi dalam Umno dahulu berdasarkan prinsip mahu mengubah Umno sebagai partai Islam atau kekal sebagai partai Melayu sahaja.

Kecuali Pas dengan tegas memutuskan bahawa Umno sebagai kafir, maka secara hukum Pas wajib wujud untuk menyelamatkan akidah orang Melayu Islam.  Ada orang tidak faham ayat saya itu.  Maksudnya, Pas hanya berhak wujud sebagai organisasi Islam jika, dengan tegas dan yakin bahawa Umno adalah kafir.  Ini bermakna, jika Pas tidak percaya Umno kafir, maka secara hukum Pas tidak ada hak untuk wujud sebab kewujudan Pas ialah memecahkan kesatuan umat Islam yang berbangsa Melayu!  Selagi ahli-ahli Umno diiktiraf sebagai muslim, mereka tetap mendapat hak sebagai muslim daripada para muslim lain (termasuk ahli-ahli Pas). 

Orang kerap menyebut kelemahan umat Islam akibat tidak mahu kembali kepada ajaran al-Quran. Ya, al-Quran jelas mengharamkan perpecahan dan perselisihan sesama muslim.  Lihat ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahlu (zaman jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedang (ketika itu) kamu berada di jurang api neraka. Lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk.”

Perhatikan pula ayat 105 surah Ali Imran “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” 

Memahami ayat-ayat berkenaan bukan hanya ditujukan kepada Pas supaya menghentikan permusuhan terhadap muslim Umno, malah yang utama ialah Umno itu sendiri yang mesti membuktikan kejujurannya berdasarkan al-Quran.  Sebagai organisasi politik Melayu Islam yang paling dasar dan besar, parti itu wajib meletakkan dasar Islam dalam roh perjuangannya supaya menjadi satu pertubuhan orang Islam yang sangat berkesan.  Nama bersifat Melayu atau Inggeris tidak penting, yang utama ialah falsafah dan gerak kerjanya yang sangat hampir kepada al-Quran sekalipun tidak dapat menjadi 100 persen.

Bagi Pas, kajian menunjukkan penentangannya terhadap Umno ialah suatu yang mendasar dalam sebuah negara.  Oleh kerna Umno secara tegas menjaga Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Pas mendakwa pula perlembagaan itulah yang menjadi punca suasana yang tidak Islam dalam pemerintahan.  Maka tidak kaget, orang yang paling berpengaruh dalam Pas menyatakan,

“Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional  bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian, Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Secara prinsip, jika Umno mengubah perlembagaan negara kepada yang diingini oleh Pas maka Pas tidak menentang Umno.  Atau, jika Pas bersedia menerima perlembagaan negara seperti umno menerima dan mahu menjaganya, Pas tidak lagi menentang Umno.  Memang itulah prinsip berkaitan politik, iaitu berkaitan dengan dasar utama negara.  Jika Pas wujud hanya untuk memastikan perempuan muslim menutup aurat, tidak perlu ‘bertegang urat’ bab perlembagaan sebab tidak ada undang-undang yang melarang   perempuan muslim menutup aurat.  Tidak ada juga keputusan mahkamah yang melarang wanita menutup auratnya.  (Keputusan mahkamah berkaitan wanita berpurdah, tidak boleh disamakan dengan larangan menutup aurat berdasarkan pemahaman umum mengikut al-Quran dan Sunah).

Perubahan telah berlaku dalam Pas.  Sejak tahun 2008 secara rasmi pula Pas menerima Perlembagaan Persekutuan dan bersedia mempertahankannya bersama partai sekutunya iaitu PKR dan DAP.  Hal ini bermakna secara dasar, kerja mempertahankan Perlembagaan  Persekutuan  yang dilakukan Umno turut dilaksanakan juga oleh Pas.  Keputusan ini sepatutnya kian mendekatkan Pas terhadap Umno kerana secara prinsip bernegara, kedua-dua partai politik Melayu Islam ini menuju persamaan. 

Bagi saya, kecenderungan Pas yang begitu patut diraikan supaya ahli-ahli Pas yang selama ini menganggap ahli-ahli Umno sebagai tidak Islam tulen kerna menjaga ‘perlembagaan British kafir’, kian luntur dan lenyap.  Sekarang pun penceramah Pas tidak lagi membacakan ayat-ayat al-Quran yang bertema ‘mereka yang tidak melaksanakan hukum Allah sebagai kafir’.

Persahabatan Pas dengan PKR dan DAP juga kian mengendurkan kehendak Pas terhadap pelaksanaan sistem atau norma Islam.  Jika sebelum tahun 2008, Kelantan dan Terengganu di tangan Pas, telah mengkanunkan ‘hukum Hudud’, tetapi tidak di Kedah sekalipun Menteri Besarnya ulama Pas.  Di Kedah juga masih tidak diharamkan kedai judi ekor yang telah diharamkan di Kelantan sejak  1990.  Malah yang terbaru, Kelantan bersedia menggantung peraturan yang melarang wujudnya salun unisex.  Ini untuk memenuhi semangat kerjasama dengan PKR dan DAP.

Ternyata semangat kerjasama dengan partai bukan Islam menyebabkan Pas semakin menyamai Umno.  Walaupun benar tetap wujud pebedaan antara Umno dan Pas, tetapi perbedaan itu bukan pada perkara dasar seperti yang saya nyatakan di atas.  Soal isi perlembagaan partai, kewujudan Dewan Ulama dengan amalan tarbiyah seperti usrah, tamrin, muqayam, daurah serta istilah seperti muktamar, tahaluf siyasi dan sebagainya, itu semua memang sebagai tanda perbedaan dengan Umno.  Namun itu bukan dasar utama, dan NGO Islam lain juga biasa mempunyai konsep dan istilah sedemikian.

Kesimpulannya, dengan perubahan dasar penentangan Pas terhadap Umno akan membawa kepada kian kurangnya perselisihan antara umat dalam negara.  Mengurangkan perselisihan dan menuju kesatuan umah merupakan dasar mulia yang menepati dasar al-Quran.  Masalahnya, adakah para pemimpin kedua-dua parti bersedia untuk menjayakan titik temu sama ada secara sembunyi atau terang-terang.  Bimbang akal dan nafsu juga yang di hadapan, perpecahan yang haram tetap dijayakan di mana-mana!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan