Halaman

Isnin, Disember 24, 2012

AES kelas Dunia Pertama, rakyat Dunia Ketiga


KITA sudah terlalu banyak mendengar kritikan ‘undang-undang yang tidak dikuatkuasakan tidak berguna apa-apa’.  Lihat saja undang-undang larangan merokok yang membawa denda penjara dan wang, siapakah yang istiqamah melaksanakannya?  Larangan remaja di bawah umur 18 tahun membeli rokok, siapakan pekedai dan remaja yang dikompaun atau didakwa di mahkamah?  Jika ada dua orang untuk tempoh setahun, senang cakap, tidak ada! 


Apa gunanya undang-undang jalan raya, kalau bukan untuk mensejahterakan semua pengguna jalan raya?  Tujuan undang-undang berkenaan, jika tidak dilaksanakan tidak akan mencapai tujuannya.  Maka, jalan raya terus menjadi ancaman maut untuk ahli keluarga kita, dan kemungkinan besar kita sendiri.  Masalahnya ialah sikap dan pemikiran rakyat yang masih tidak mampu menerima pendidikan perundang-undangan.  Rakyat hanya mahu senang dan selamat tetapi tidak mahu mematuhi peraturan untuk selamat.  Pemikiran yang pelik!

Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) telah bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan AES.  Tidak ada kritikan di mana kelemahan pelaksanaan AES sebagai pengawal pengguna jalan raya selama 24 jam sehari.  Saya tetap dengan pendirian bahawa antara ciri orang yang beriman (muslim) ialah patuh undang-undang jalan raya.  Tidak patuh undang-undang berkenaan, bermakna mengurangkan status keimanan kepada Allah.  Maka usaha membuat rakyat patuh undang-undang jalan raya adalah usaha mendidik rakyat dan menjadikan muslim kuat imannya.

Mengapa kerajaan ‘menangguhkan’ pelaksanaan AES?  Jawabannya ialah seperti yang pernah disebut oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, ‘Rakyat Negara kita pemikirannya kelas Dunia Ketiga walaupun prasarana negara kelas Dunia Pertama’. Rakyat mahu kemajuan, tetapi tidak mahu maju dalam pemikiran.  AES ternyata menyentak pemikiran ‘kelas Dunia Ketiga’ yang tidak mahu dikawal oleh undang-undang.  Kebanyakan rakyat mahu menggunakan kenderaan sesuka hati di jalan raya yang selesa.  Jika ada jalan yang rosak, pantas mereka mengkritik kerajaan sebagai lembab dalam bertindak!

Apa pun inilah kehendak sebagian besar rakyat untuk memansuhkan terus kawalan automatik di jalan raya.  Jika ada Menteri Besar negeri yang melarang AES dipasang di negerinya, maka tentulah rakyat yang mahu bebas undang-undang segera menyokongnya.  Kemudian ada pula pegawai tingg negeri bertegas akan merobohkan kamera AES, betul-betul mahu merobohkannya seperti orang menebang pokok pisang!  Maka tentulah anak muda yang berdarah panas bersorak!  Yang pasti sistem demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat menentukan apa yang sepatutnya pemerintah lakukan benar-benar diamalkan.  Mudah saja mesej rakyat, ‘kalau teruskan juga AES, kerajaan yang ada di Putrajaya akan turun selepas pilihan raya’. 

Begitulah, sebaik mana idea dan kerja pemimpin atau pemerintah, maka mereka mesti akur dengan kehendak rakyat sekalipun rakyatnya semua berfikiran ‘kelas Dunia Ketiga’.  Rakyat hanya tahu meminta yang terbaik untuknya  dan sangat mudah menyalahkan pihak yang memerintah jika berlaku apa-apa masalah dalam kehidupan.  Terus terang, ini bukanlah masyarakat madani yang selalu diwarwarkan sebagai masyarakat yang bertamadun tinggi! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan