SABAN tahun umat Islam mengingati hari pertama
turunnya wahyu (al-Quran) kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Turunnya wahyu kepada manusia pada kurun
ketujuh Masehi dahulu merupakan satu titik tolak penting tamadun manusia. Bahasa
mudahnya, setelah turunnya wahyu manusia menjadi manusia yang menepati
fitrahnya iaitu menyerahkan diri kepada yang menciptanya. Itu hanya kepada sesiapa yang mengakui ‘Tidak
ada tuhan melainkan Allah’. Yang
terus menafikan Allah sebagai Tuhan atau mengakui juga Allah sebagai Tuhan
tetapi percaya juga hal-hal lain punya kuasa seperti Tuhan, mereka tidak
termasuk manusia yang menepati fitrah kejadiannya.
Sebab itulah wahyu sangat penting dan utama dalam
kehidupan orang yang percayakan Allah.
Al-Quran sebagai wahyu telah mengubah pemikiran dan cara hidup
manusia. Al-Quran mengajar bahawa
kebenaran bukan diukur dengan keputusan-keputusan secara majoriti, melainkan
benar kerana ada faktanya! Maksud ayat
116 surah al-An’am: “Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini
nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanyalah sangkaan belaka
dan mereka hanya membuat kebohongan.”
Ayat ini benar-benar satu seruan untuk manusia mencari agama daripada
sumbernya yang sah, bukan menjadi pembonceng kepada orang yang disangka benar
agamanya. Ayat itu bukan sahaja
ditujukan kepada manusia yang terang-terang menolak jalan Islam sebagai agama
dan sistem hidup, malah yang memilih Islam pun tetap dipertanggungjawabkan
mencari maklumat agama yang sah. Beragama bukan dengan cara mengikuti secara
borong atau beramai-ramai seperti satu pesta suka-sukaan.
Memang dalam beragama banyak perselisihan dan debat,
yang masing-masing mendakwa agamanya yang benar. Yang tidak dipegang itu adalah salah. Jadi Allah menjelaskan tujuan al-Quran juga
untuk menjelaskan mana yang betul dan salah. Lihat maksud ayat 64 surah
an-Nahl: “Dan Kami tidak menurunkan kitab (al-Quran) ini kepadamu (Muhammad)
melainkan agar engkau menjelaskan kepada mereka apa yang diperselisihkan itu,
menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Orang beragama selalunya disandarkan kepada agama
nenek-moyangnya. Begitulah kebanyakan
orang di mana-mana juga, sehingga para muslim juga tidak malu mengakui dirinya
menjadi muslim kerna mengikuti nenek-moyangnya.
Sekalipun begitu, al-Quran mengajarkan manusia supaya beragama
berdasarkan petunjuk Allah. Lihat penjelasan
Allah pada ayat 104 surah al-Ma’idah: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘marilah
(mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan (mengikuti) rasul’. Mereka menjawab, ‘cukuplah
bagi kami dapati daripada nenek-moyang kami’.
Apakah (mereka akan mengikuti) juga nenek-moyang mereka walaupun
nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?” Maka sebagai muslim beragama dengan alasan
nenek-moyang bukan juga caranya, melainkan beragama kerna petunjuk al-Quran dan
mengikuti penjelasannya oleh rasul, Muhammad s.a.w.
Ada amaran lain daripada Allah mengenai pembohongan
manusia atas nama Allah yang disandarkan kepada kitab wahyu! Hal ini terjadi disebabkan orang beriman
percayakan kitab Allah (al-Quran). Untuk memesongkan agama para muslim, si
pendusta juga berkata-kata bagaikan sumbernya wahyu atau kitab Allah. Maksud
ayat 78 surah Ali Imran: “Dan sungguh di antara mereka nescaya ada segolongan
yang memutarbelit lidahnya membaca kitab, agar kamu menyangka (yang mereka baca)
itu sebagian daripada kitab, padahal itu bukan daripada kitab. Dan mereka berkata ‘itu daripada Allah’
padahal itu bukan daripada Allah. Mereka
mengatakan hal yang dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui.”
Oleh itu para muslim atau yang beriman kepada Allah
tidak ada pilihan lain, mestilah merujuk sepenuhnya al-Quran dan sunah nabi
s.a.w. sebagai jalan menetapkan benarnya agama yang dilalui. Teliti dan waspadalah kepada orang yang berkata
hal-hal agama tetapi tidak menyandarkan ajarannya kepada wahyu sedangkan agama
yang diketahui itu bermula daripada wahyu Allah. Kelak apabila kita mengetahui apa yang
diajarkan itu berlawanan pula dengan wahyu Allah, maka tinggalkanlah. Itulah jalan yang benar. Tidak ada persekutuan antara agama yang benar
dengan yang direka-reka oleh si pendusta, yang berkata atas nama Allah.
Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan