Halaman

Sabtu, Ogos 04, 2012

CATATAN di Masjid al-Abrar desa kami


SAYA ingin mencatatkan perihal besar atau tingginya pengaruh para ustaz atau ulama dalam masyarakat.  Ini merupakan pengalaman biasa saya sebagai ahli masyarakat yang diasuh memandang mulia para ulama, mendengar nasihatnya serta menerima apa sarannya dalam agama. Seperti masjid lain, di Masjid al-Abrar Kampung Sepintas banyaklah ustaz atau ulama mengajarkan agama sama ada yang rutin mingguan atau yang bersempena sesuatu majlis khas.


Saya ambil contoh kami menerima tanpa soal ajaran antara ustaz yang megajar di sini mengenai tidak perlu mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh khatib pada khutbahnya.  Apa yang disampaikan kepada kami cukup mudah, iaitu “tidak ada seruan untuk mengaminkan doa yang dibaca khatib, maka diamkan saja”.  Walhal kalau antara kami bersolat Jumaat di tempat lain, kebanyakan ahli Jumaat mengaminkan doa khatib. Dan kerna itu, jika dalam sidang Jumaat di masjid kami ada yang mengaminkan doa khatib pastinya dia merupakan orang luar atau anak kariah desa yang pulang dari perantauan.

Begitu juga dengan pembinaan kubur.  Selama berpuluh-puluh tahun tanah perkuburan yang bersebelahan dengan masjid desa kami tidak ada binaan batu kecuali nisan-nisan kecil.  Semua ini kerna kepatuhan kepada ajaran ustaz atau ulama yang membawakan hadis nabi s.a.w. bahawa baginda nabi melarang membuat binaan di atas kuburan.  Dahulu pernah ada satu keluarga membina pondok khas untuk beberapa kubur satu keluarga, namun setelah hancur dimamah usia, tidak berani lagi ahli warisnya mendirikan pondok baru.  Namun sekarang jika orang melihat tanah kuburan yang dinamakan ‘Darul Barzah’ sudah mula ada beberapa kubur yang ditinggikan dengan batu simen.  Seorang ahli jawatan kuasa masjid mengeluh mengenai waris si arwah yang pulang sekali-sekala itulah yang membinakan batu-batu simen untuk kubur keluarganya.

Dalam bab kenduri walimatul urus, dahulu orang akan hadir ke kenduri tanpa memerlukan kartu undangan sebagaimana sekarang.  Cukup dengan mendengar khabar di simpang jalan dan menunggu harinya maka orang pun datang ke majlis berkenaan.  Kecuali jika yang mengadakan kenduri kahwin itu secara besar-besaran barulah diadakan undangan kepada orang-orang yang dikehendakinya.  Orang yang berilmu agama mula mentajdid pemikiran ahli desa dengan membawakan hadis nabi bab kewajiban menghadiri kenduri walinah jika diundang.  Perkataan ‘jika diundang’ itu diperjelaskan.  Maka orang pun mematuhinya. Dan sekarang tidak lagi orang akan ‘main serbu datang’ jika tidak mendapat undangan daripada tuan rumah.

Demikianlah.  Moral catatan saya ini ialah masyarakat desa sangat memuliakan ustaz atau ulama dengan menerima pengajarannya.  Maka sangat diharap untuk seterusnya  dan seterusnya lagi ulama dan ustaz lebih mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu semasa kerana desa juga sudah menerima maklumat seperti di kota.  Pemikiran anak desa tidak jauh bedanya dengan anak kota. Malah anak desa kian banyak belajar di pusat pengajian tinggi, memiliki sekurang-kurangnya diploma sebagai tanda disiplin ilmu.  Jika ulama dan ustaz berjaya mensetarakan kedudukan ilmunya dengan puluhan anak desa dan kota (si perantau itu), maka dengan izin Allah penghormatan dan pengajarannya tetap diterima dengan mudah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan