SAYA tidak ingat apakah istilah yang digunakan oleh
mantan Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid mengenai kecenderungan orang
Melayu yang sukakan perkara bermusim.
Beliau memberi contoh kecenderungan orang Melayu menjadi nelayan atau
petani disebabkan kerja-kerja yang bermusim.
Musim menanam kemudian berehat sementara menunggu padi masak. Begitu juga kepada nelayan di pantai Timur
yang ada masa berehat kerna musim tengkujuh.
Di Pantai Barat Semenanjung tidak ada musim tengkujuh, maka orang Melayu
tidak berapa banyak menjadi nelayan. Hal
ini ada kaitan dengan keupayaan bekerja dan meraih keuntungan ekonomi
berbanding mana-mana kaum yang sanggup bekerja tanpa musim.
foto hiasan
Hemat saya, bukan sahaja dalam ekonomi ada
kecenderungan bermusim malah dalam bidang sosial juga ketara kecenderungan
bermusim, malah bersifat ‘suka-suka dan beramai-ramai’. Mungkin itu dianggap lumrah kehidupan
manusia, tetapi dalam beragama juga jelas kecenderungan bermusim yang ada
‘suka-suka dan beramai-ramai’.
Berbuihlah mulut orang-orang alim kita mengajak berubah supaya agama
jangan dijadikan musiman yang ‘suka-suka dan beramai-ramai’ kerana agama ada
faktanya yang sedia ada dalam al-Quran dan hadis sahih nabi s.a.w., bukan
senang minda masyarakat Melayu hendak melepaskan ‘suka-suka dan beramai-ramai’.
Contoh terbaik ialah semasa dalam bulan Ramadan
ini. Berapa banyak orang alim memberi
maklumat atau ilmu dan menerangkan mengenai solat tarawih yang sepatutnya
berpanjangan sepanjang malam Ramadan, bukan hanya ‘suka-suka dan beramai-ramai’
dalam tempoh 10 malam pertama Ramadan.
Setiap kali pertengahan Ramadan pastilah orang-orang alim agama kita
mula mengingatkan agar tidak seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya, iaitu
orang kita lebih banyak memenuhi pasar raya, bazaar atau ekspo berbanding
masjid dan surau. Maksudnya ialah orang
Melayu semacam terbalik dalam mengimarahkan bulan Ramadan: sepatutnya semakin
menghampiri akhir Ramadan semakin banyak melakukan amal ibadah, tetapi
sebaliknya berlaku. Inilah contoh amal
ibadah orang Melayu yang cenderung kepada ‘suka-suka dan beramai-ramai’.
Contoh lain pun ada juga. Lihat budaya kenduri arwah orang Melayu mesti
ada unsur ‘suka-suka dan beramai-ramai’ walaupun tujuan kenduri itu mengingati
si mati. Si mati itu adalah orang yang
dikasihi dan kehilangannya sepatutnya dirasakan hiba. Sangguplah adik-beradik yang jauh pulang ke
kampung untuk memeriahkan kenduri arwah, walhal orang-orang alim kita
mengajarkan bahawa di mana-mana saja boleh mendoakan arwah orang yang dikasihi
itu supaya sejahtera dan diampuni Allah. Seperti tidak yakin seorang anak boleh
mendoakan kesejahteraan roh ibu bapanya, maka dibuat juga kenduri dan
makan-makan. Seperti tidak sempurna doa
kepada Allah jika tidak ada hal-hal yang meriah.
Begitu juga doa murid yang akan menduduki
peperiksaan. Walaupun diajarkan supaya
murid-murid dan ibu bapanya berdoa setiap selesai solat sejak awal lagi, namun
mesti hendak diadakan juga majlis solat hajat: Solat sebagai permohonan kepada
Allah agar murid-murid menjawab soalan dengan tenang dan betul!
Begitulah sebagian daripada hidup beragama orang
Melayu pun perlukan musim. Solat
berjamaah pun ikut musim: Hari Jumaat atau malam Jumaat, itulah yang
meriah. Hari-hari lain, hanya orang yang
benar-benar berpegang kepada ilmu bahawa tuntutan beragama bukan bersandarkan
‘suka-suka dan beramai-ramai’.
Jangan marah……..
saya sgt setuju,kerap saya nasihat anak murid saya supaya solat hajat dirumah dan lakukan sendiri kerana itu lebih afdhal dan baik kerana kita yg meminta apa yang kita hendak,tapi malangnya solat itu dilakukan di sekolah,di rmh tak.pulak bermusim bila nak exam.....pastu tak buat dah....
BalasPadam