Halaman

Selasa, Julai 31, 2012

Al-Quran melawan perasaan manusia


BULAN Ramadan juga bulan orang membanyakkan membaca al-Quran sebagai ibadah khusus kepada Allah.  Telah banyak ditemui bahawa al-Quran merupakan panduan hidup manusia.  Namun gagasan al-Quran rupa-rupanya bukanlah senantiasa menyertai keputusan pemikiran dan perasaan manusia.  Malah para pembaca akan menemui banyak ayat al-Quran yang tidak cocok dengan kebiasaan kita manusia.  Namun itulah gagasan al-Quran untuk manusia.  Ini antaranya….

Kita kikir atau kedekut!  Memang antara sifat manusia ialah kikir untuk menginfakkan sebagian hartanya ke jalan Allah. Sedekahkan wang kepada fakir miskin atau anak-anak yang sedang menuntut ilmu.  Sedekah bermakna akan mengurangkan harta yang dimiliki.  Allah memberi penjelasan bahawa sedekah tidak dirugikan, malah digandakan ganjarannya.  Soal utama ialah kepercayaan bahawa gandaan sedekah itu kalau tidak di dunia adalah pada hari akhirat.  Hari akhirat itulah yang selalu membuat manusia tidak sabar dan mengambil sikap kikir di dunia ini.

Maksud  surah al-Baqarah: 261. “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan  bagi siapa yang Dia kehendaki, Dan Allah Maha luas dan Maha  Mengetahui.”

Dalam dunia yang dikatakan tanpa sempadan, kita kerap diajak untuk bertindak pantas dan saling berlumba-lumba. Tidak sedikit yang merasakan perhitungan di hadapan jauh daripada kehendak Allah.  Jika mahukan sesuatu tuntutan itu ditunaikan oleh seseorang, ada yang mendesak dengan membuat demontrasi dan ugutan.  Walhal Allah mengajarkan kita supaya berhemah dan bertenang.  Sangat berbeda kehendak manusia yang mahukan kepantasan dan hiruk-pikuk sedangkan Allah membimbing manusia supaya memohon dengan aman damai.

Maksud surah al-Baqarah: 153. “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Perasaan marah kita mudah menggelojak.  Kadang-kadang kerna berita kecil yang tidak menyenangkan hati menyebabkan perasaan marah itu membuak-buak terutama apabila ada ‘batu api’ yang mengada-ada berita sejengkal menjadi sehasta.  Selalunya benci terhadap seseorang menyebabkan orang yang dibenci itu menjadi mangsa untuk dimanipulasi dalam banyak hal. Teknologi digital memungkinkan foto seseorang diubah suai untuk tujuan buruk itu.   Al-Quran menahan kita daripada bersikap begitu.

Maksud surah al-Ahzab: 58. “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan  perempuan, tanpa ada kesalahan yang mereka perbuat, maka sungguh, mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

Dalam bulan Ramadan ini tampak banyaknya orang melaksanakan pemindahan pahala kepada seseorang.  Selalunya pahala dipindahkan kepada orang yang sudah mati.  Namun konsep pemindahan pahala sekarang sudah difahami pula sebagai boleh dipindahkan kepada orang yang masih hidup.  Bukan rahsia pula aliran wang beraku dalam proses pemindahan pahala iaitu upah-upah kepada si pembaca al-Quran.  Banyak yang fikir itu betul tetapi tidak kepada Allah.

Maksud surah Fusilat 46. “Siapa yang mengerjakan kebajikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri, dan barang siapa berbuat jahat, maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba (Nya).”

wa

Sabtu, Julai 28, 2012

MENGAPA anak itu tidak berpuasa?


DALAM bualan saya dengan beberapa anak remaja mengenai ibadah puasa, tidak silu sebagian antara mereka mengatakan sudah satu atau dua hari tidak puasa dalam tempoh belum cukup seminggu bulan Ramadan.  Bukan disebabkan oleh malas, tetapi tidak tahan kepenatan kerna bekerja di ladang kelapa sawit.  Orang-orang yang berpendidikan tinggi seberat mana tanggungan kerjanya tidaklah seberat tanggungan fizikal orang yang bekerja secara membanting tulang sebagai buruh paling bawah.  Bayangkan anak remaja usia kira-kira 15 tahun memetik buah sawit, bolehkah bertahan tanpa meminum air?

 foto hiasan

Mungkin cepat timbul persolan bahawa anak semuda itu tidak sewajarnya di ladang sawit.  Bukan semua anak remaja mempunyai nasib baik dengan ibu bapanya punya pendapatan yang tidak memerlukan anak-anak terpaksa bekerja.  Jika antara kita rajin mendampingi anak-anak sekolah yang kemajuan pelajaranya perlahan, kerap ditemui latar belakang yang tidak menggembirakan.  Biasa ditemui ibu bapa mereka sudah bercerai dan terpaksa tinggal dengan nenek atau bapa saudaranya.  Malah kebanyakan yang berada dalam lingkungan itu, hampir pasti daripada keluarga yang ekonominya sekadar  cukup makan.

Sangat berbeda dengan anak-anak yang berada dalam sekolah terbaik seperti sekolah berasrama penuh kerajaan, atau dalam kelas-kelas terbaik keputusan akademiknya.  Kebanyakan latar belakang anak-anak ini daripada keluarga yang ekonominya mantap dan berpendidikan.  Kalaupun keluarganya tidak berpendidikan tinggi, ekonomi mereka cukup baik dan anak-anak tidak perlu bekerja untuk menampung sebagian sara hidup.

Keadaan anak-anak bekerja dan prestasi akademiknya perlahan hampir pasti mempunyai senarai masalah disiplin pula di sekolah.  Sekolah tetap sekolah, yang punya standard sama untuk semua muridnya tanpa diskriminasi level sosial kehidupannya.  Yang kerap ponteng sekolah dan tidak bersemangat belajar adalah daripada anak-anak yang latar belakangnya kurang sempurna sosial dan ekoniminya.

Keadaan ini seperti cerita putaran ganas kemiskinan:  Ibu bapa miskin menghasilkan anak-anak yang tidak terdidik. Anak-anak yang terabai dalam pendidikan cenderung pula melanggar peraturan hidup sama ada dalam atau di luar sekolah.  Akhirnya tahap pendidikan mereka hanya separuh jalan dan generasi seterusnya juga akan terperangkap dalam putaran ini juga!

Orang bertanya pula: Apa peranan sekolah?  Jawabnya: Sekolah tidak punya bidang kuasa untuk mengubah paradigma minda ibu bapa.  Adakah dengan menghadiri sekali ceramah motivasi di sekolah anak-anak mereka, akan berlaku perubahan minda dalam pusingan 200 ke 360 darjah?  Tidak semudah itu, sementelahan pihak sekolah bukan bertanggung jawab mengubah minda dan persepsi ibu bapa.  Malah pihak sekolah menghadapi masalah besar mengubah minda dan persepsi murid-muridnya jika budaka masyarakat tempat murid-murid itu tinggal jauh daripada standard pemikiran di sekolah.  Keadaan ini…, lebih banyak menimpulkan ‘kebingungan’ pula kepada anak-anak. 

Cerita murid-murid sekolah yang terperangkap dalam masalah pelajaran dan tingkahlaku buruk sebenarnya cermin keadaan masyarakat kita.  Susah untuk dirungkai masalah ini sekalipun banyak pihak tahu puncanya.  Ledakan globalisasi iaitu budaya hiburan dan materialisme adalah masalah yang kian memberat. Banyak yang telah terperangkap dan mungkin mewariskan masalah kepada generasi seterusnya dan seterusnya.

Saya percaya, yang berlaku ini bukan tidak disengajakan. Ada ‘grand design’ di balik itu!

Sabtu, Julai 21, 2012

BERJAMAAH tarawih bukan bid'ah


SELAMAT melaksanakan kebaikan-kebaikan amal pada bulan yang mulia Ramadan.  Syukur kepada Allah kerna masih banyak antar umat Muhammad s.a.w. yang mendatangi masjid untuk salat tarawih.  Hal ini kerna mahu merebut tawaran banyaknya ganjaran daripada Allah untuk bekalan pada hari akhirat kelak.


Salat tarawih berjamaah juga telah dijadikan hujah oleh sekian banyak orang bahawa Sahabat Nabi iaitu Umar al-Khattab r.a. seorang yang membuat bid’ah (dalam agama).  Maka dikatakan ini petunjuk sahabat yang terpimpin untuk diikuti. Maka, hal ini difahami menjadi dasar orang agama membuat bid’ah (tentunya dalam agama).  Misalnya diakui bahwa hadis salat hajat itu memang disuruh buat, tapi tidak pula disebut secara berjamaah.  Oleh kerna Umar al-Khattab membuat bid’ah (bid’ah hasanah) dengan menjadikan tarawih berjamaah, maka solat hajat juga bid’ah hasanah jika dibuat berjamaah.  Begitulah adanya.

Adakah Umar al-Kattab itu memang secara sedar membuat panggilan berjamaah tarawih, iaitu amalan yang tidak ada petunjuk daripada baginda nabi s.a.w.?  Tidak sama sekali, sebab solat tarawih berjamaah sudah dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w..  Oleh  kerna baginda nabi s.a.w. bimbang orang menyangka salat tarawih sebagai salat wajib, maka baginda s.a.w. berhenti salat tarawih itu di masjid.  Maka sejak itu, sehingga wafatnya baginda nabi s.a.w. dan masuk zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar tidak ada para sahabat mendirikan salat tarawih secara berjamaah.  Mereka buat secara sendiri-sendiri di masjid atau di rumah.
Apabila Umar al-Kattab menjawat khalifah, beliau ada wewenang. Maka beliau melaksanakan tarawih secara berjamaah sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w. dahulu.  Beliau faham bahawa umat tidak lagi keliru sama ada salat tarawih itu wajib atau sunat. Maka Umar al-Kattab mengembalikan perjalanan salat tarawih seperti pada zaman nabi s.a.w. (sebelum nabi menghentikanya). Adakah Umar al-Kattab melakukan bid’ah (membuat aturan baru dalam ibadah)?  Jawabnya tidak sama sekali.  Maka tindakan Umar al-Kattab di sini tidak bisa dijadikan hujah untuk membuat bid’ah dalam agama.

Di bawah ada dua hadis, pertama berkenaan peristiwa Umar al-Khattab mengumpulkan orang berjamaah tarawih. Hadis kedua mengenai tarawih yang dilaksanakan oleh baginda nabi s.a.w. secara berjamaah di masjid.
Menurut Abdul Rahman bin Abdul Qari (maksudnya): "Pada satu malam pada bulan Ramadan, aku keluar bersama Umar al-Khattab r.a ke masjid. Kami dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersalat dan sekumpulan muslimin datang menjadi makmumnya. Umar berkata: Jika aku himpunkan mereka dengan seorang imam adalah lebih baik. Kemudian beliau melaksanakannya. Maka dihimpunkan mereka dengan diimamkan oleh Ubai bin Ka'ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain dan aku dapati orang ramai  bersalat dengan imam mereka (iaitu Ubai bin Ka'ab). Umar berkata: Ini adalah sebaik-baik bid'ah. Mereka yang tidur untuk bangun bersalat pada akhir malam adalah lebih baik daripada mereka yang bersalat pada awal malam."
(Hadis riwayat al-Bukhari.)


Menurut A’isyah binti Abu Bakr r.a. (maksudnya): "Rasulullah s.a.w keluar pada pertengahan malam (pada bulan Ramadan) untuk bersalat di   Masjid   Nabawi.   Beberapa   orang lalu  datang menjadi makmum kepada baginda. Orang ramai (yang melihat perkara tersebut) mula   bercerita   mengenainya.   Maka lebih ramai orang berkumpul untuk bersalat tarawih keesokan harinya. Pada malam kedua, Rasulullah  keluar bersalat dan beberapa orang turut salat bersama baginda. Orang ramai terus bercerita mengenai salat tarawih tersebut. Maka, bertambah ramai orang yang datang bersolat tarawih  di   masjid.   Pada   malam ketiga, Rasulullah s.a.w. keluar bersalat dan mereka ikut salat bersama. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat untuk jemaah bersalat  menyebabkan Rasulullah tidak keluar bersalat tarawih. Seorang lelaki memanggil Rasulullah untuk bersalat tarawih berjamaah namun baginda tidak keluar sehinggalah masuk waktu salat Subuh. Selesai menunaikan salat Subuh baginda menghadap orang ramai, kemudian baginda mengucap syahadah lalu bersabda: Sesungguhnya aku bukan tidak tahu penantian kamu  semua (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan salat tarawih ke atas kamu lalu kamu tidak mampu."
(Hadis riwayal Muslim.)

Rabu, Julai 18, 2012

SIAPA yang bertakwa pada bulan Ramadan?


RAMADAN yang ditunggu-tunggu oleh orang yang percaya hari akhirat akan muncul seketika lagi.  Kepada golongan ini, Ramadan merupakan bulan melakukan amal ibadah yang terbaik, menepati sunah nabi s.a.w., bukan menepati adat dan budaya masyarakat setempat.  Oleh kerna di negara kita semakin sukar memisahkan antara ibadah dan adat maka sesiapa yang dapat berdiri dalam lingkungan ibadah yang benar, beruntunglah dia.  Kepada yang mencampur aduk antara ibadah dan adat, bimbang pegangan untuk beramal dalam Ramadan tidak kukuh kerana adat itu merupakan amalan biasa masyarakat.  Apabila ‘mood’ masyarakat bagus, maka meriahlah ibadahnya, jika mood orang ramai tidak baik…., sepilah ibadahnya!


Dalil kewajiban berpuasa ada dalam ayat 183-184 surah al-Baqarah (maksudnya): “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.  (Iaitu) beberapa hari tertentu.  Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka wajib (mengganti puasa)  sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa) pada hari-hari yang lain.  Dan bagi yang berat menjalankannya (puasa), wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin.  Tetapi sesiapa yang  dengan rela hati mengerjakan kebajikan, maka itu adalah lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

Allah mewajibkan ibadah puasa supaya kita menjadi manusia yang bertakwa.  Mudah-mudahan puasa itu mendidik peribadi yang selama berbulan-bulan agak longgar kerna tanggungjawab, desakan atau helah keduniaan.  Sekalipun dalam minda dan pemahaman bahawa ‘Allah menjadikan manusia untuk beribadah (melakukan ketaatan)’ namun bukan sedikit antara kita yang terlepas daripada menjadikan kerja-kerja dalam hidup sebagai amanah Allah.  Banyak yang terlepas dan menunaikan kerja kerna si pulan atau kerna ‘malu alah’ dengan orang lain.  Moga-moga puasa yang jujur dapat mengembalikan matlamat hidup muslim kepada tujuan Allah menjadikan manusia.

Orang zaman sekarang ada bertanya, “apakah kesan takwa dalam ekonomi?”  Maklum ini zaman harta membuak-buak. Kalau orang zaman dahulu dengan kehidupan yang ‘mudah’ tidak banyak soal apa habuan dunia terhadap orang yang bertakwa melainkan sabar menunggu hadirnya hari akhirat.

Ketakwaan hamba Allah akan dibalas oleh-Nya dengan kekayaan di dunia!  Inilah maksud firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’raf: “Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, maka Kami akan melimpahkan berkah kepada mereka dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.”

Tawaran kekayaan harta dunia daripada Allah dengan syarat penduduk negeri itu beriman dan bertakwa.  Sebagian ayat itu menjelaskan mereka (manusia) mendustakan (mengingkari) ayat-ayat Allah.  Maksudnya tidak mahu mematuhi perintah-perintah Allah, sebagai bukti mereka tidak bertakwa kepada-Nya.

Allah yang Maha Mengetahui siapakah antara penduduk negeri kita yang bertakwa kepada-Nya dan berapa jumlahnya.   Maka berpuasalah kita, semoga kita antara jumlah orang yang puasanya diterima Allah dan Dia mengiktiraf pula sebagai manusia yang beriman dan bertakwa.

Rabu, Julai 11, 2012

Dr MAZA jawab: Bolehkah memerangi pemerintah Islam?



Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?
Imran, Kuala Terengganu.

Jawapan DR MAZA:

Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut;

1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:

“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).

2. Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama. Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

3. Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:

“kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/40)

4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:

“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.

6. Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.

7. Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):

“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)

Pendapat ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

8. Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (Riwayat Malik).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.

10. Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.

Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.


Ahad, Julai 08, 2012

BANYAKNYA perselisihan pendapat dalam agama


SAYA mulakan dengan mencatat satu hadis daripada baginda Nabi s.a.w. mengenai ramalan pada masa depan berkaitan umatnya. Dalam kalangan umatnya banyak berlaku perselisihan pendapat, namun baginda Nabi s.a.w. telah memberi peringatan bahawa biar pun banyak perselisihan pendapat dalam agama,  umatnya diminta berpegang kepada sunahnya dan  para khulafa yang mendapat petunjuk.


Maksud sabda nabi s.a.w. “Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas daripadaku) dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka untuk dia ada sunahku dan sunah para khulafa yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sunah) dengan geraham dan berhati-hatilah kamu daripada perkara-perkara rekaan, kerna setiap bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, ibn Majah, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Ahmad.)

Lihat misalnya satu hadis berkenaan kesunyian di kubur dan bandingannya di rumah-rumah para muslim.  Baginda s.a.w. bersabda Maksudnya): "jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah" (Dikeluarkan Muslim dalam Sahihnya dari Abu Hurairah)

Semua mengakui maksud hadis itu ialah rumah-rumah muslim tidak boleh disunyikan seperti sunyinya kubur daripada ibadah.  Ini berarti rumah para muslim adalah tempat melakukan ibadah membaca al-Quran.

Oleh kerna hadis ini satu bandingan yang berlawanan antara rumah dan kubur, maka persoalannya ialah adakah jika Baginda Nabi menggesa jangan menjadikan rumah itu sunyi seperti kubur maka tidak boleh beribadah atau membaca al-Quran di atas kuburan?  Ada dua pendapat di sini.  Inilah yang saya maksudkan antara banyak perselisihan pendapat dalam agama.

Pendapat pertama saya kutip daripada institusi agama yang bertanggung jawab dalam bidang dakwah.  Dalam ruangan soal jawab itu antara lain dihamparkan jawaban seperti ini: Maksud tidak membaca al-Quran di kubur itu ialah orang-orang yang mati tidak lagi dapat membaca al-Quran.  Oleh itu kita yang masih hidup jangan menjadi seperti orang mati yang terhenti ibadah membaca al-Quran, tetapi hendaklah memeriahkan rumah dengan bacaan al-Quran.  Ini bermakna orang masih dibenarkan membaca al-Quran di atas kubur kerna yang dimaksudkan hadis ialah orang mati yang tidak membaca al-Quran.

Pendapat kedua saya cuplik terus dariapda satu rencana dalam akhbar Berita Harian (masa lepas) oleh Yaakub Mohd Yunus:  Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibaca al-Quran. Secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk beribadah seperti membaca al-Quran sebagaimana di rumah. Majoriti ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi'i, Imam Ahmad dan imam lain melarang membaca al-Quran di kawasan perkuburan. Sebagai contoh Imam Abu Dawud berkata dalam kitab Masaa'il Imam Ahmad: "Aku mendengar Imam Ahmad ketika beliau ditanya mengenai membaca al-Quran di pemakaman? Beliau menjawab: "Tidak boleh". Menurut Ibnu Taimiyah di dalam Iqtidhaa' Shirathal Mustaqim: "Daripada al-Syafie sendiri tidak terdapat perkataan mengenai masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahawa (baca al-Quran di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah. Imam Malik berkata: "Tidak aku dapati seorang pun daripada sahabat dan tabi'in yang melakukan hal itu."

Maka hadis itu bermaksud bisa atau tidak al-Quran dibacakan di permukaan kubur?  Saya memilih pendapat kedua kerna yakin itulah pendapat yang lebih kuat dari segi hujah, penerimaan akal  dan mendekati petunjuk.

Sabtu, Julai 07, 2012

MENCARI hadangan sebelum solat



PERHATIKAN orang solat di ruang besar, kebanyakannya tidak mempunyai hadangan di depannya.  Hanya sebilangan orang yang mencari-cari hadangan atau sutrah ketika mahu solat sunat.  Mereka yang memahami erti sutrah dalam solat pasti tidak akan solat sunat di lapangan terbuka sebab keadaan ini membuat orang lain ‘mesti’ melintas di hadapannya sekalipun jauh bermeter-meter.  Saya menemukan kajian ahli Facebook mengenai sutrah dan solat.  Selamat membaca dan memahaminya.

HUKUM SUTRAH SOLAT ADALAH WAJIB
By Zainudin Ahmad (facebook)

Bismillah,  Di antara para ulama yang menegaskan kewajibannya adalah seperti Imam Ahmad dalam salah satu pendapat beliau, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar al-Haitami, asy-Syaukani, al-Albani, dan selainnya. 

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, “Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: 
ا تصلوا إلا إلى سترة وقد زجر صلى الله عليه
وسلم أن يصلي المصلي إلا إلى سترة فكيف يفعل ما يزجر عنه صلى الله عليه وسل
“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami) 

Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H) berkata:
السترة واجبة عند جماعة من العلماء
“Sutrah adalah wajib di sisi sebahagian besar ulama.” (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/141– Daar ul-Fikr) Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata: 
قوله فليُصلِ إلى سترة فيه أن اتخاذ السترة واجب
“Perkataan beliau (Rasulullah), “Maka solatlah menghadap sutrah” padanya terdapat petunjuk bahawa mengenakan sutrah (ketika solat) adalah wajib.” (Nail ul-Authar, 3/2 –Daar ul-Hadits)

Syaikh Muqbil b. Hadi al-Wadi’i rahimahullah berkata: 
أما اتخاذ السترة فالصحيح الوجوب لقوله صلى الله عليه وسلم إذا صلى أحدكم فليصل إلى سترة وليدنُ منها
“Adapun persoalan meletakkan sutrah (ketika solat), maka hukumnya yang tepat adalah wajib berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apabila salah seorang di antara kamu solat, maka solatlah menghadap sutrah dan mendekatlah kepadanya.” (Dalam muhadharah beliau, As-ilah al-Ikhwati min Amrika)

Syaikh al-Albani berpendapat di dalam Kitabnya: 
والسترة لا بد منها للإمام والمنفرد؛ ولو في المسجد الكبير. قال ابن هانئ في مسائله عن الإمام أحمد: رآني أبو عبد الله (يعني:
الإمام أحمد) يوماً وأنا أصلي، وليس بين يدي سترة – وكنت معه في المسجد الجامع – ؛ قال لي: استتر بشيء. فاستترت برجل
 ففيه إشارة من الإمام إلى أنه لا فرق في اتخاذ السترة بين المسجد الصغير والكبير، وهو الحق. وهذا مما أخل به جماهير المصلين من أئمة المساجد وغيرهم في كل البلاد التي طفتها؛ ومنها السعودية التي أتيحت لي فرصة التطواف فيها لأول
مرة في رجب هذه السنة 1410 هـ  فعلى العلماء أن ينبهوا الناس إليها، ويحثُّوهم عليها،
ويبيِّنوا لهم أحكامها، وأنها تشمل الحرمين الشريفين أيضاً
(Aku katakan),
“Sutrah dalam solat menjadi kewajiban bagi imam dan orang-orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar. Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il dari Imam Ahmad. Kata Ibnu Hani’, Pada suatu hari aku solat tanpa sutrah di hadapanku yang mana ketika itu aku melaksanakan solat di dalam masjid Jami’. Imam Ahmad melihat hal tersebut, lalu beliau pun berkata kepadaku, “Pasanglah (letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun menjadikan seseorang sebagai sutrah solatku.”

 Peristiwa ini adalah isyarat dari Imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid besar atau masjid kecil tetap berkewajiban mengenakan sutrah di hadapannya. Pendapat inilah yang benar, tetapi kebanyakan orang-orang yang solat telah mengabaikan sunnah ini termasuk para imam-imam masjid besar & kecil, surau, madrasah, tempat lapang dan selainnya di setiap tempat termasuk di masjid Haramain di ‘Arab Saudi .

 Sepatutnya para ulama mengingatkan masyarakat tentang perkara ini, menganjurkan supaya mengamalkan-nya, dan menjelaskan hukum berkaitan dengannya. Kewajiban sutrah ini juga turut berlaku di dua tanah Haram (Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi).” (Ashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/116-117 – al-Maktabah al-Ma’arif) Wallahua'lam.

Isnin, Julai 02, 2012

APABILA Pas dan Umno mahukan Hudud

HARI ini hukum Hudud yang ada dalam syariah Islam untuk membendung jenayah bukan suatu yang merisaukan atau menggerunkan orang Melayu atau Islam.  Ya, dahulu memang Pas senantiasa membicarakannya, malah telah mengkanunkan melalui Dewan Undangan Negeri di Kelantan dan Terengganu.  Kini seorang ahli politik Umno di Johor pula mencadangkan Hudud dilaksanakan di Johor.  Untuk rekod, Johor merupakan kubu Umno sebagaimana Kelantan sebagai kubu Pas.  Syukurlah kepada Allah dengan perkembangan ini.  


Pihak Pas telah mengalu-alukan kenyataan pemimpin Umno di Johor itu.  Pihak ulama muda Umno (ILMU) pula sanggup memberikan idea dan pendapat berkenaan isu ini.  Sekalipun ada dalam Pas yang agak sinis dengan perkembangan ini, namun perkara yang baik tidakwajar disangka buruk.  Tidak perlu sesiapa yang mahu bersuara mengenai Hudud maka mesti memasuki Pas.  Syukurlah jika dalam Umno sudah mudah membicarakan hukum Hudud.  kalau boleh biarlah dalam parti apa pun, Hudud diperjuangkan di sana.  Biar semua parti khasnya yang dianggotai Melayu Islam menyatakan keinginan melaksanakan Hudud.  Jika ini berlaku barulah Hudud menjadi satu satu isu besar sebab orang Melayu Islam adalah majoriti di negara ini.