DALAM bualan saya dengan beberapa anak remaja mengenai
ibadah puasa, tidak silu sebagian antara mereka mengatakan sudah satu atau dua
hari tidak puasa dalam tempoh belum cukup seminggu bulan Ramadan. Bukan disebabkan oleh malas, tetapi tidak
tahan kepenatan kerna bekerja di ladang kelapa sawit. Orang-orang yang berpendidikan tinggi seberat
mana tanggungan kerjanya tidaklah seberat tanggungan fizikal orang yang bekerja
secara membanting tulang sebagai buruh paling bawah. Bayangkan anak remaja usia kira-kira 15 tahun
memetik buah sawit, bolehkah bertahan tanpa meminum air?
foto hiasan
Mungkin cepat timbul persolan bahawa anak semuda itu
tidak sewajarnya di ladang sawit. Bukan
semua anak remaja mempunyai nasib baik dengan ibu bapanya punya pendapatan yang
tidak memerlukan anak-anak terpaksa bekerja.
Jika antara kita rajin mendampingi anak-anak sekolah yang kemajuan
pelajaranya perlahan, kerap ditemui latar belakang yang tidak
menggembirakan. Biasa ditemui ibu bapa
mereka sudah bercerai dan terpaksa tinggal dengan nenek atau bapa saudaranya. Malah kebanyakan yang berada dalam lingkungan
itu, hampir pasti daripada keluarga yang ekonominya sekadar cukup makan.
Sangat berbeda dengan anak-anak yang berada dalam
sekolah terbaik seperti sekolah berasrama penuh kerajaan, atau dalam
kelas-kelas terbaik keputusan akademiknya.
Kebanyakan latar belakang anak-anak ini daripada keluarga yang
ekonominya mantap dan berpendidikan.
Kalaupun keluarganya tidak berpendidikan tinggi, ekonomi mereka cukup
baik dan anak-anak tidak perlu bekerja untuk menampung sebagian sara hidup.
Keadaan anak-anak bekerja dan prestasi akademiknya
perlahan hampir pasti mempunyai senarai masalah disiplin pula di sekolah. Sekolah tetap sekolah, yang punya standard sama
untuk semua muridnya tanpa diskriminasi level sosial kehidupannya. Yang kerap ponteng sekolah dan tidak
bersemangat belajar adalah daripada anak-anak yang latar belakangnya kurang
sempurna sosial dan ekoniminya.
Keadaan ini seperti cerita putaran ganas
kemiskinan: Ibu bapa miskin menghasilkan
anak-anak yang tidak terdidik. Anak-anak yang terabai dalam pendidikan
cenderung pula melanggar peraturan hidup sama ada dalam atau di luar
sekolah. Akhirnya tahap pendidikan
mereka hanya separuh jalan dan generasi seterusnya juga akan terperangkap dalam
putaran ini juga!
Orang bertanya pula: Apa peranan sekolah? Jawabnya: Sekolah tidak punya bidang kuasa
untuk mengubah paradigma minda ibu bapa.
Adakah dengan menghadiri sekali ceramah motivasi di sekolah anak-anak
mereka, akan berlaku perubahan minda dalam pusingan 200 ke 360 darjah? Tidak semudah itu, sementelahan pihak sekolah
bukan bertanggung jawab mengubah minda dan persepsi ibu bapa. Malah pihak sekolah menghadapi masalah besar
mengubah minda dan persepsi murid-muridnya jika budaka masyarakat tempat
murid-murid itu tinggal jauh daripada standard pemikiran di sekolah. Keadaan ini…, lebih banyak menimpulkan ‘kebingungan’
pula kepada anak-anak.
Cerita murid-murid sekolah yang terperangkap dalam
masalah pelajaran dan tingkahlaku buruk sebenarnya cermin keadaan masyarakat
kita. Susah untuk dirungkai masalah ini
sekalipun banyak pihak tahu puncanya.
Ledakan globalisasi iaitu budaya hiburan dan materialisme adalah masalah
yang kian memberat. Banyak yang telah terperangkap dan mungkin mewariskan
masalah kepada generasi seterusnya dan seterusnya.
Saya percaya, yang berlaku ini bukan tidak
disengajakan. Ada ‘grand design’ di balik itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan