Halaman

Ahad, Julai 08, 2012

BANYAKNYA perselisihan pendapat dalam agama


SAYA mulakan dengan mencatat satu hadis daripada baginda Nabi s.a.w. mengenai ramalan pada masa depan berkaitan umatnya. Dalam kalangan umatnya banyak berlaku perselisihan pendapat, namun baginda Nabi s.a.w. telah memberi peringatan bahawa biar pun banyak perselisihan pendapat dalam agama,  umatnya diminta berpegang kepada sunahnya dan  para khulafa yang mendapat petunjuk.


Maksud sabda nabi s.a.w. “Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas daripadaku) dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka untuk dia ada sunahku dan sunah para khulafa yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sunah) dengan geraham dan berhati-hatilah kamu daripada perkara-perkara rekaan, kerna setiap bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, ibn Majah, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Ahmad.)

Lihat misalnya satu hadis berkenaan kesunyian di kubur dan bandingannya di rumah-rumah para muslim.  Baginda s.a.w. bersabda Maksudnya): "jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah" (Dikeluarkan Muslim dalam Sahihnya dari Abu Hurairah)

Semua mengakui maksud hadis itu ialah rumah-rumah muslim tidak boleh disunyikan seperti sunyinya kubur daripada ibadah.  Ini berarti rumah para muslim adalah tempat melakukan ibadah membaca al-Quran.

Oleh kerna hadis ini satu bandingan yang berlawanan antara rumah dan kubur, maka persoalannya ialah adakah jika Baginda Nabi menggesa jangan menjadikan rumah itu sunyi seperti kubur maka tidak boleh beribadah atau membaca al-Quran di atas kuburan?  Ada dua pendapat di sini.  Inilah yang saya maksudkan antara banyak perselisihan pendapat dalam agama.

Pendapat pertama saya kutip daripada institusi agama yang bertanggung jawab dalam bidang dakwah.  Dalam ruangan soal jawab itu antara lain dihamparkan jawaban seperti ini: Maksud tidak membaca al-Quran di kubur itu ialah orang-orang yang mati tidak lagi dapat membaca al-Quran.  Oleh itu kita yang masih hidup jangan menjadi seperti orang mati yang terhenti ibadah membaca al-Quran, tetapi hendaklah memeriahkan rumah dengan bacaan al-Quran.  Ini bermakna orang masih dibenarkan membaca al-Quran di atas kubur kerna yang dimaksudkan hadis ialah orang mati yang tidak membaca al-Quran.

Pendapat kedua saya cuplik terus dariapda satu rencana dalam akhbar Berita Harian (masa lepas) oleh Yaakub Mohd Yunus:  Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibaca al-Quran. Secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk beribadah seperti membaca al-Quran sebagaimana di rumah. Majoriti ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi'i, Imam Ahmad dan imam lain melarang membaca al-Quran di kawasan perkuburan. Sebagai contoh Imam Abu Dawud berkata dalam kitab Masaa'il Imam Ahmad: "Aku mendengar Imam Ahmad ketika beliau ditanya mengenai membaca al-Quran di pemakaman? Beliau menjawab: "Tidak boleh". Menurut Ibnu Taimiyah di dalam Iqtidhaa' Shirathal Mustaqim: "Daripada al-Syafie sendiri tidak terdapat perkataan mengenai masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahawa (baca al-Quran di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah. Imam Malik berkata: "Tidak aku dapati seorang pun daripada sahabat dan tabi'in yang melakukan hal itu."

Maka hadis itu bermaksud bisa atau tidak al-Quran dibacakan di permukaan kubur?  Saya memilih pendapat kedua kerna yakin itulah pendapat yang lebih kuat dari segi hujah, penerimaan akal  dan mendekati petunjuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan