Halaman

Rabu, Julai 18, 2012

SIAPA yang bertakwa pada bulan Ramadan?


RAMADAN yang ditunggu-tunggu oleh orang yang percaya hari akhirat akan muncul seketika lagi.  Kepada golongan ini, Ramadan merupakan bulan melakukan amal ibadah yang terbaik, menepati sunah nabi s.a.w., bukan menepati adat dan budaya masyarakat setempat.  Oleh kerna di negara kita semakin sukar memisahkan antara ibadah dan adat maka sesiapa yang dapat berdiri dalam lingkungan ibadah yang benar, beruntunglah dia.  Kepada yang mencampur aduk antara ibadah dan adat, bimbang pegangan untuk beramal dalam Ramadan tidak kukuh kerana adat itu merupakan amalan biasa masyarakat.  Apabila ‘mood’ masyarakat bagus, maka meriahlah ibadahnya, jika mood orang ramai tidak baik…., sepilah ibadahnya!


Dalil kewajiban berpuasa ada dalam ayat 183-184 surah al-Baqarah (maksudnya): “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.  (Iaitu) beberapa hari tertentu.  Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka wajib (mengganti puasa)  sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa) pada hari-hari yang lain.  Dan bagi yang berat menjalankannya (puasa), wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin.  Tetapi sesiapa yang  dengan rela hati mengerjakan kebajikan, maka itu adalah lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

Allah mewajibkan ibadah puasa supaya kita menjadi manusia yang bertakwa.  Mudah-mudahan puasa itu mendidik peribadi yang selama berbulan-bulan agak longgar kerna tanggungjawab, desakan atau helah keduniaan.  Sekalipun dalam minda dan pemahaman bahawa ‘Allah menjadikan manusia untuk beribadah (melakukan ketaatan)’ namun bukan sedikit antara kita yang terlepas daripada menjadikan kerja-kerja dalam hidup sebagai amanah Allah.  Banyak yang terlepas dan menunaikan kerja kerna si pulan atau kerna ‘malu alah’ dengan orang lain.  Moga-moga puasa yang jujur dapat mengembalikan matlamat hidup muslim kepada tujuan Allah menjadikan manusia.

Orang zaman sekarang ada bertanya, “apakah kesan takwa dalam ekonomi?”  Maklum ini zaman harta membuak-buak. Kalau orang zaman dahulu dengan kehidupan yang ‘mudah’ tidak banyak soal apa habuan dunia terhadap orang yang bertakwa melainkan sabar menunggu hadirnya hari akhirat.

Ketakwaan hamba Allah akan dibalas oleh-Nya dengan kekayaan di dunia!  Inilah maksud firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’raf: “Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, maka Kami akan melimpahkan berkah kepada mereka dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.”

Tawaran kekayaan harta dunia daripada Allah dengan syarat penduduk negeri itu beriman dan bertakwa.  Sebagian ayat itu menjelaskan mereka (manusia) mendustakan (mengingkari) ayat-ayat Allah.  Maksudnya tidak mahu mematuhi perintah-perintah Allah, sebagai bukti mereka tidak bertakwa kepada-Nya.

Allah yang Maha Mengetahui siapakah antara penduduk negeri kita yang bertakwa kepada-Nya dan berapa jumlahnya.   Maka berpuasalah kita, semoga kita antara jumlah orang yang puasanya diterima Allah dan Dia mengiktiraf pula sebagai manusia yang beriman dan bertakwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan