Halaman

Isnin, Jun 07, 2010

MENGAPA 40 orang berjumaat?

PADA tahun 1998, saya dan beberapa rakan pergi ke kampung Talang di Pulau Tioman. Hari kedua di sana ialah Jumaat. Oleh itu, kami ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Jemaah dalam memang banyak, hampir penuh. Setelah muazin melaungkan azan dan orang selesai solat sunat, segala-galanya diam. Saya pun rasa mengantuk juga dan beberapa ketika, dibacakan iqamat! Saya pun tertanya-tanya, hendak solat apa? Imam memimpin kami semua solat empat rakaat, solat zuhur!

Tanpa diberitahu oleh mana-mana orang tempatan di masjid, tahulah kami yang masjid itu memang tidak mendiirikan Solat Jumaat sebab tidak cukup kuorum penduduk tetapnya 40 orang! Yang banyak dalam masjid adalah musafir atau pelancong seperti saya. Oleh kerana masjid itu di tepi laut semasa kami keluar dari masjid pun dengan jelas melihat bot-bot kecil bergerak di pantai. Mungkin juga itu ialah pelancong atau orang tempatan yang sedia tahu tidak akan ada Solat Jumaat, maka mereka tak perlu tergesa-gesa naik ke darat!

Dalam akhbar (lihat foto) ada kampung yang orang lelakinya dikenakan ‘perintah berkurung’ pada setiap Jumaat semata-mata untuk mencukupkan kuota atau kuorum 40 orang. Menurut orang di sana, jumlah lelaki akil baligh dan penduduk tetapnya ngam-ngam untuk mendirikan Solat Jumaat, 40 oranglah tu.

Solat Jumaat ini wajib, telah disebut dalam surah al-Jumu’ah ayat 9, dan masanya pun hanya dalam waktu Zuhur hari Jumaat. Nampaknya ada dilema kepada penduduk di pulau berkenaan. Dilemanya ialah jika mahu menunaikan Solat Jumaat maka orang lelakinya tidak boleh keluar daerah pada hari berkenaan.

Selain itu apa? Kalau pemuda pulau berkenaan melanjutkan pelajaran di luar, maka masjidnya tidak boleh mendirikan Solat Jumaat. Jadi kalau nak Solat Jumaat, janganlah belajar di luar. Cukuplah sekolah di kampung itu saja.

Kedua, pemuda pulau itu juga tidak boleh mencari jodoh di luar sebab mungkin dia akan tinggal di luar daerahnya. Hal ini menyebabkan Solat Jumaat di kampungnya tergendala. Kahwin sajalah sama sepupu dalam kampung. Tidak kisahlah sama ada cinta atau tidak!

Demikianlah antara kesan pemahaman kuorum 40 orang untuk mendirikan Solat Jumaat yang kuat difahami oleh masyarakat. Kepada mereka biarlah tidak solat Jumaat dan membuat solat Zuhur saja kerana masalah kuorum. Kerana itu, mereka tidak ada ‘muktamar’ mingguan, tidak ada perjumpaan dan kemesraan wajib mingguan pada setiap Jumaat. Kalau kawasan yang ada 500 lelaki pun solat maghribnya hanya sekitar 15 orang, maka boleh percayakah kawasan berpenduduk lelakinya hanya 40 dapat didirikan juga maghrib berjemaah lebih 10 orang? Belum pasti solat jemaah waktu lain terjaga. Subuh, teruskanlah mimpi….

Adakah al-Quran dan as-Sunnah dmenetapkan 40 orang baru sah didirikan Solat Jumaat? Prof. Dr TM Hasbi Ash Shiddieqy (1950) dalam buku Pedoman Solat memetik kata-kata Imam Besar al-Hafiz Al-Asybily seperti ini: Tidak ada hadis yang sahih yang menentukan bilangan jamaah Solat Jumaat.

Terdapat hadis menceritakan hal Sahabat Nabi di Madinah seperti berikut.`
Abdul Rahman bin Kaab bin Malik menceritakan: “bahawa ayahnya (iaitu Kaab bin Malik) selalu membaca rahmatul Lahi ala Sa’din ibn Zarrah setiap kali mendengar azan hari Jumaat. Maka aku bertanya ayahku mengenai ucapannya itu. Ayahku menjawab bahawa dialah (iaitu Sa’din bin Zarrah) merupakan orang yang mula-mula mendirikan Solat Jumaat di tempat bernama Naqi’ul Khasmat, dalam desa Bani Bayadlah. Aku bertanya pula: Berapa banyaknya orang yang hadir melaksanakan Solat Jumaat itu? Ayahku menjawab: 40 orang.

Dalam hadis sahabat ini pun tidak ditegaskan wajibnya 40 orang, hanya apabila dikira cukup 40 orang, iaitu kebetulan 40 orang! Dengan hanya kebetulan atau tidak disengajakan itulah hukum dipegang berzaman-zaman sehingga apabila syarat itu tidak ditemui susah pula jadinya.

Jika diteliti dalam mazhab Syafie, azan pada hari Jumaat itu pun sebenarnya hanya sekali, tetapi ulama kita tidak mengikutnya dan memilih dua kali azan. Dalam bab pembayaran zakat fitrah pula mazhab Syafie menetapkan mestilah dengan beras. Namun ulama kita boleh memutuskan bayar zakat fitrah dengan duit menggantikan beras kerana mengikut perubahan zaman. Entah mengapa ulama kita belum dapat berfikir dan mengubah pandangan wajib 40 orang berjumaat yang diasas daripada peristiwa secara kebetulan atau hal yang tidak disengajakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan