Halaman

Rabu, Jun 09, 2010

MELAYU Islam jatuh lubang saja!

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
Dari Nabi saw. baginda bersabda (ertinya): Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang sama. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Secara mudah hadis ini meminta umat Islam sentiasa menekuni sejarah! Orang pandai ada berkata, sejarah adalah guru yang mahal. Sejarah adalah pengalaman yang membawa kenangan dan iktibar. Perhatikan, nabi menyatakan tidak boleh jatuh kali kedua dalam lubang yang sama. Ertinya dahulu ada antara umat yang terjeblos, tersandung, tersungkur, terkena musibah, tertipu dan apa lagi pengalaman buruk. Pengalaman buruk itulah ‘lubang’. Kalau lubang itu bukan pengalaman buruk, Rasulullah tak akan menyatakan jangan jatuh dalam lubang itu lagi.

Hadis ini pun ngetop dalam pengajian di madrasah dan masjis-masjid. Oleh itu, orang-orang agama agaknya sangat berhati-hati agar tidak terjeblos dalam pengalaman buruk yang dahulu. Maka setiap orang, kaum, bangsa atau masyarakat kena mengingat semula sejarah termasuk dalam lubang yang mengerikan. Bangsa Melayu sekarang setelah merdeka lebih separuh abad, pernah atau tidak terjeblos dalam lubang? Ada. Bacalah sejarah bangsa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400) sampai tahun 2010!

Kehilangan hak, maruah dan kuasa bagi bangsa Melayu dalam sejarahnya adalah terjeblos dalam lubang, iaitu antara maksud lubang yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah. Kejatuhan Melaka (1511) sebagai pusat pemerintahan Islam, itulah contoh jatuh dalam lubang. Kedah kehilangan Pulau Pinang (1786) kepada penjajah British, itu pun erti terjeblos dalam lubang. Kehilangan hak ke atas Singapura (1819) oleh Kesultanan Johor, itu juga maksud terjeblos dalam lubang. Dari sini saja sudah tiga kali bangsa Melayu Islam ini masuk lubang yang sama, lebih sekali daripada yang disebut nabi.


Ada contoh yang afdal dipaparkan untuk dinilai kesamaan peristiwanya. Jatuhnya kuasa Melayu Islam di Perak melalui Perjanjian Pangkor (1874) betul-betul sama seperti kejatuhan Singapura kepada British (1819). Kematian Sultan Johor telah menyebabkan pertelingkahan antara dua anak raja berebut takhta. Tengku Hussein yang mahukan kuasa juga dengan rela menjual Singapura kepada British. Habislah keagungan Kesultanan Johor Riau warisan Kesultanan Melayu Melaka. Di Perak, Raja Abdullah bertelingkah dengan Raja Ismail untuk berkuasa. Raja Abdullah seperti menyembah British untuk menjadi Sultan Perak. Dari situ bermulanya kehabisan semua kuasa Raja-raja Melayu Islam kepada British. Itu contoh jatuhnya di lubang British tahun 1819 di Johor, kemudian jatuh lagi di lubang British tahun 1874 di Perak!


Sebenarnya sebelum kejatuhan kuasa pemerintahan Melayu di Perak (1874) ada peristiwanya sendiri. Raja Abdullah telah bergabung dengan kongsi gelap Cina, Ghee Hin untuk mengalahkan Raja Ismail. Raja Ismail pula bergabung dengan kongsi gelap Hai San. Maka dua puak politik Melayu masing-masing bergabung dengan kumpulan Cina untuk saling menjatuh antara satu sama lain. Betul, Raja Abdullah yang menang, tetapi dia sendiri akhirnya tercemar menjadi manusia buangan di Pulau Sychelles dekat Afrika sana.


Hari ini puak politik Melayu: Umno dan Pas masing-masing sedang bergabung dengan parti-parti politik Cina untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Kepuasan kepada Umno ialah jika Pas dan gabungan parti Cinanya dapat dihapuskan. Kepuasan kepada Pas ialah jika Umno dapat dihapuskan bersama gabungan parti Cinanya. Lihat, lubang neraka yang menyebabkan kuasa Melayu di Perak hilang sedang berlaku lagi dalam politik demokrasi moden.


Maka tinggallah sabda Rasulullah sebagai cakap kosong saja. Nafsu untuk berkuasa dan meraih kekayaan menmyebabkan mereka melupakan lubang yang ternganga, yang dahulu pernah menelan mangsanya. Pasti lubang kali ini lebih besar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan