Halaman

Khamis, Jun 03, 2010

PENCERAMAH perlu jujur

DALAM satu siaran di radio Klasik Nasional baru-baru ini ada ceramah mengenai zikir kepada Allah dan kepentingannya. Penceramah memang dapat menyampaikannya dengan bagus sekali. Sebelum slotnya berakhir penceramah dengan tiba-tiba memberi satu kesimpulan yang membuat saya melongo!

Antara kata-kata penceramah itu ialah bahawa kini wujud golongan yang mengatakan berzikir selepas solat adalah bid’ah. Menurutnya golongan yang berusaha mengatakan berzikir sebagai bid’ah sebenarnya bertopengkan agama untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam kerana telah jelas kepentingan berzikir.

Ahh, rupanya ini bukan ceramah agama, tapi propaganda bertopengkan agama. Propagandanya ialah menanam maklumat salah kemudian membenci satu golongan yang beliau tidak sukainya. Saya katakan propaganda kerana jelas beliau tidak jujur dan sengaja menyembunyikan informasi yang selama ini difahami secara terbuka.
Di manakah ada individu atau satu kumpulan beragama yang mengatakan tiada zikir sebagai anjuran beragama? Zikir telah masyhur sebagai sunah dan sabit dalam hadis-hadis sahih yang baginda Rasullullah berzikir setelah solat. Di mana-mana juga kaum muslimin apabila habis solat pasti akan duduk seketika untuk berzikir dengan membaca tasbih atau ayat-ayat quran tertentu. Tidak ditemui lagi ada kumpulan yang mendirikan solat berjemaah, sehabis memberi salam tanda menamatkan solat, lantas semua yang bersolat tadi terus beredar. Tidak ada!

Mungkin penceramah bermaksud golongan yang tidak menguatkan zikirnya selepas solat sebagai pihak yang tidak berzikir. Mungkin kumpulan inilah yang dituduh sebagai membawa ajaran berzikir sebagai satu kesesatan atau bid’ah! Jika itulah maksudnya, alangkah salahnya dia. Sebab itu saya katakan ceramahnya satu propaganda bertopeng agama.

Beliau mungkin berbeza pendapat dengan mereka yang berzikir secara perlahan tetapi sebagai orang agama wajiblah memberi maklumat sebenar mengenai pemahaman mereka yang tidak mahu berzikir secara kuat dan beramai-ramai. Tidak selayaknya ulama membuat propaganda, memburukkan mereka yang tidak disetujui dengan menyeret satu kesimpulan yang salah.

Suatu yang difahami, ada kumpulan yang tidak mahu berzikir dengan kuat ditambah berirama tertentu kerana tidak menemui contoh dalam sunah Rasulullah. Mereka meneliti perjalanan ibadah nabi dan kaum salaf serta membukukan contoh-contoh zikir yang sahih daripada baginda Rasulullah. Lihat foto buku-buku kecil berkenaan. Mereka mencintai zikir dan tidak pernah mengatakan tiada ibadah zikir atau berzikir itu adalah bid’ah.

Apa yang terjadi adalah sebagian contoh tidak jujurnya segelintir penceramah dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak muslim. Individu ini sengaja memaksa khalayak berpihak kepada pendiriannya tanpa diberikan ilmu yang secukupnya. Jika beliau jujur, tentu diberikan pendapat yang menjadi pegangan kumpulan yang tidak mahu menguatkan zikir sambil dia masih berpihak kepada kebiasaan orang berzikir yang berlagu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan