Halaman

Khamis, April 01, 2010

TAUHID atau falsafah (bahagian 2)

MASJID di kampung saya ada pengajian tauhid pada setiap Selasa malam akhir bulan. Seperti yang telah saya beri komentar terdahulu, betapa sukarnya ustaz itu mahu menyampaikan pengajarannya, lagilah sukarnya orang yang dikatakan menadah kitab di hadapannya. Sebagai orang biasa dan kerja dalam hal pengajaran dan pemelajaran, saya berpendapat apa-apa kaedah pengajaran wajib disesuaikan dengan penuntut ilmunya.
Seperti sedia maklum, Sifat 20 dalam mempelajari tauhid hanya satu cara atau kaedah mempelajari ilmu tauhid. Sifat 20 ini juga bukan terus diselesaikan oleh Imam Abu Hassan al-Asy’ari (wafat 324H/935M), tetapi dilengkapkan pula oleh Imam Maturidi (wafat 332H). Penulisan dan pembahasan Sifat 20 waktu itu memang berdasarkan pemikiran ahli-ahli kalam (mutakalimin) yang sangat terpengaruh oleh ajaran falsafah Yunani purba. Oleh itu, kaedah yang digunakan 1000 tahun dahulu sangat berbeda dengan kehendak dan kurun ke-21 ini.
Malangnya ahli-ahli agama kita tidak sudi membuat tajdid dalam kaedah belajar. Bagi mereka Sifat 20 dan penjelasan cara berfalsafah sama seperti isi wahyu, tak boleh diubah. Analoginya ialah kalau kaedah mengira zaman dahulu menggunakan batang lidi, sampai zaman ini pun guna batang lidi. Walhal, orang sudah menggunakan mesin kira digital. Biarlah orang lain pening dan tidak faham, kerana semakin orang lain pening dan tidak faham, maka akan lebih kelihatan hanya ustaz itulah yang hebat dan pandai. Lalu dicanangkan belajar tauhid ini susah tapi sangat penting. Bolehlah…, bertahan kuliah-kuliah tauhid pening ini begitu lama dan elaunnya pun berpanjangan….
Saya turunkan cara belajar tauhid yang diajarkan di masjid kampung saya, yang khalayak hadirinnya orang kampung tidak ada asas ilmu mantik, pemikiran logika dan hipotesa! Petikan ini saya ambil daripada web al-ahkam.net. Jangan lupa, selepas membaca ini, makan panadol!
Wajib bagi Allah bersifat dengan wahdaniyah iaitu bersifat dengan sifat Esa (tunggal), iaitu esanya Allah pada zat-Nya, sifat-Nya dan af'al-Nya. Maka bersalahanlah bagi-Nya iaitu Mustahil bagi-Nya bersifat dengan berbilang-bilang. Mustahil bagi Allah bersifat berbilang-bilang pada zatNya, sifat-Nya dan af'al-Nya, mustahil pada "kam muttasil" dan mustahil pada "kam munfasil".......
Wahdaniyah itu terbahagi kepada tiga bahagian.
Pertama wahdaniyah pada zat, dan maknanya ketiadaan bersusun pada zat seperti berjisim yang menerima bahagi dan tiada pula bagi seorang zat seperti zat Allah dan tiada pula jauhar al-fard dan tiada kita ketahui akan hakikat-Nya hingga di akhirat sekalipun….maka iaitu ibarah daripada nafi ‘kam muttasil’ pada zat-Nya ertinya tiada dapat zat-Nya itu dibelah atau dikerat. Dan nafi pula “kam munfasil” pada zat dan iaitu tiada ada zat yang lainnya itu seumpama zat Allah.
Dan kedua wahdaniyah pada sifat dan maknanya tiada berbilang-bilang sifat bagi zat yang suci daripada satu jenis seperti ada baginya dua qudrat atau lebih banyaknya dan dua iradat dan dua ilmu atau lebih banyaknya dan tiada bagi orang yang lainnya sifat seperti sifat-Nya seperti adalah bagi yang lain itu qudrat seperti qudrat Allah Ta’ala dan adapun bahawa ada bagi yang lainnya qudrat seperti qudrat-Nya Ta’ala maka tiada memberi mudarat ia seperti bahawa adalah bagi yang lainnya itu qudrat yang tiada memberi bekas maka iaitu muafakat pada nama (sama dari segi nama sahaja bukan hakikat) qudrat jua, tetapi antara dua qudrat itu bersalahan pada hakikatnya qias olehmu pada segala sifat yang lain yang sah diithlaqkan pada hamba-Nya maka iaitu ibarah daripada nafi “kam muttasil” pada sifat dan iaitu berbilang-bilang sifat bagi zat muqaddasah daripada jenis yang satu spt barang yang telah lalu sebutnya. Dan ibarah daripada menafikan “kam munfasil” pada sifat dan iaitu subut (isbat) sifat bagi yang lain daripada Allah seperti sifat Allah Ta’ala seperti yang telah lalu sebutnya.
Dan ketiga wahdaniyah pada perbuatan. Dan maknanya tiada subut fi’il bagi yang lain daripada Allah Ta’ala dan tiada bersekutu yang lain daripada Allah pada perbuatan maka iaitu ibarah daripada nafi “kam munfasil” pada perbuatan dan iaitu subut perbuatan bagi yang lain daripada Allah Ta’ala seperti bahawa ada bagi api itu memberi bekas pada mempanaskan maka tiada ternafi kam muttasil pada perbuatan dengan wahdaniyah al-af’aal jika ditaswirkan dengan berbilang-bilang af’aal kerana af’aal Allah Ta’ala itu amat banyak dan jika ditaswirkan dengan bahawa tiada berbuat suatu perbuatan melainkan bersekutu akan dia oleh yang lain padanya maka iaitu dinafikan pula dengan wahdaniyah pada perbuatan seperti dijadikan bagi api itu quwwah dan sebab demikian quwwah itu memberi bekas pada barang yang menyertakan dia, seperti adalah bagi hamba itu qudrat yang memberi bekas pada berbuat ta’at dan maksiat maka segala kam ini iaitu kam muttasil dan kam munfasil pada zat, Dan kam muttasil dan kam munfasil pada sifat. Dan kam munfasil pada af’aal demikian lagi kam muttasil pada af’aal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan