KARTIKA Sari Dewi Shukarno (foto) lagi, tetapi inilah akhirnya, selesai dan aman! Hari ini 1 April 2010, dan bukan April Fool lagi, benar-benar, hukuman sebatan enam kali yang sepatutnya dikenakan kepada wanita ini telah digantikan dengan kerja-kerja komuniti selama tiga minggu. Penggantian hukuman ini atas kuasa Baginda Tuanku Sultan Pahang selaku Ketua Agama Negeri Pahang yang mendapa kuasa melalui Seksyen 133 enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002. Kita berharap Kartika tidak lagi mengalami apa-apa tekanan kerana akhirnya dapat menjalani ‘hukuman’ itu.
Dengan tidak ada niat mempertikai apa-apa keputusan Tuanku Sultan Pahang (tentulah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang), yang saya masih tidak faham ialah:
Pertama: Mengapa hukuman sekadar enam sebatan yang tidak mencederakan tubuh itu tidak dapat dijalankan sekalipun itu keputusan mahkamah. Dalam pada itu bukan rahsia lagi bahawa hukuman sebat atas kesalahan jenayah (keputusan Mahkamah Sivil) sangat mengerikan dan jelas berpuluh-puluh kagi ganda dahsyat berbanding sebatan syariah itu.
Kedua: Seingat saya ada dua lagi keputusan Mahkamah Syariah di Kuantan yang menjatuhi hukuman sebat. Sekalipun Kartika tidak memohon rayuan keampunan, tetapi akhirnya tidak dikenakan hukuman sebat. Dalam kaedah perundang-undangan, kes Kartika ini akan disebut Doktrin Duluan Kehakiman iaitu jika wujud kes-kes kemudian yang menyamai kes Kartika, maka kes Kartika akan menjadi panduan dan rujukan. Oleh itu dapatah dijangka, setiap hukuman sebat yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah dan pesalah yang merayu mesti diterima rayuannya (?).
Ketiga: Oleh kerana undang-undang Islam di bawah kuasa negeri, maka setiap negeri berhak melaksanakan undang-undang ini berdasarkan kepentingan negeri masing-masing. Oleh kerana sebelum ini TPM telah mendedahkan tiga wanita pesalah syariah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dihukum sebat, maka jelas berlaku perbedaan ketara pelaksanaan undang-undang Islam antara negeri-negeri. Apa yang berlaku ini mengingat pada sambutan Hari Raya yang berbeda hari antara negeri Perak dan Selangor pada tahun 1981.
Dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan rakyatnya diberi pendidikan yang sebanyak mungkin, rakyat akan terus meneliti setiap perkara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan