MUDAH untuk menyebut ayat: Katakanlah yang benar sekalipun pahit. Bagi orang politik memang yang digeruni ialah musuh yang mengancam kedudukannya. Bagi orang berjawatan agama juga gerun adanya ancaman sekalipun sudah membentuk tembok kukuh melalui institusi agama. Mereka tahu suara kebenaran, tetapi mahu menyembunyikannya kerana ada hal lain.
Itulah yang berlaku terhadap pemikiran Dr Mohd Asri (foto), mantan Mufti Perlis. Memang telah diduga bahawa kolumnya di Mingguan Malaysia tidak akan bertahan lama, sekalipun beliau tokoh popular yang mampu menaikkan jualan akhbar berkenaan. Baru sekali tulisannya dalam web Malaysiakini, satu kritikan pedih kepada penguasa agama.
Mahu dikatakan apa? Inilah pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan. Tajuk KUASA POLITIK DAN KUASA AGAMA ternyata sangat pahit ditelan oleh pihak yang berkepentingan. Tulisan sepenuhnya ada dalam web Dr Asri, namun diturunkan bahagian akhir untuk renungan bersama.
"Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!
Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!
Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!
Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..
Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan