Halaman

Jumaat, Mei 09, 2008

YANG buta erti alquran

DI MASJID dan surau banyak surah Yasin dan naskhah alquran. Di rumah-rumah juga mesti ada alquran. Memang orang kita membaca alquran dan tentunya surah Yasin paling banyak dibaca, khasnya pada malam Jumaat. Itulah pengisian tradisi beragama sekian lama.

Kebanyakan kita membaca alquran untuk mendapat manfaat selepas mati, kurang untuk semasa hidup. Baca untuk dapat pahala yang difahami sebagai amal salih, amal yang akan memberatkan timbangan pahala mengalahkan dosa. Kerana fahaman kita sangat kuat bahawa membaca alquran salah satu grand amal salih dan pahalanya besar, kebanyakan kita melupakan tujuan sebenar alquran diturunkan kepada manusia. Memanglah berdasarkan hadis nabi membaca alquran akan mendapat pahala berdasarkan huruf.

Pada pembukaan surah albaqarah Allah menjelaskan alquran ini sebagai petunjuk jalan hidup manusia. Oh, banyak sekali ditemukan bahawa manusia diseru membaca dan memahami alquran, kemudian yang penting melaksanakan arahan-arahan Allah serta menerima tegahan-tegahan-Nya.



Dalam keadaan yang membaca alquran hanya tahu membaca tetapi tidak memahami ertinya, masih payah ditemukan alquran dan terjemahannya di rumah-rumah. Eloklah masjid dijadikan kayu ukur sebagai pusat keilmuan Islam. Namun masjid yang menjadi tumpuan majlis ilmu juga kering daripada hidangan alquran dan terjemahan. Terus terang saya telah membuat tinjauan untuk mencari terjemahan alquran di sebuah masjid bertaraf negeri, hampa!

Kemudian, banyak pusat fardu ain dibuka tetapi belum nampak mana satu yang menawarkan program kaedah menterjemah alquran. Bagi masyarakat kita, sebagian erti fardu ain ialah pelajaran iqra, kaedah membaca alquran. Sudah menjadi budaya, kalaulah anak-anak berjaya membaca alquran dan tamat 30 juzuk, maka dikira khatam dan dibuat pulut kuning. Belum ada dalam minda agar memahami maksud ayat-ayat alquran sebagian fardu ain.

Pelajaran menterjemah alquran secara harfiah adalah asas memahami alquran dan secara tidak langsung mengenali bahasa Arab. Anehnya, banyak juga iklan menawarkan kursus bahasa Arab. Baguslah ada pengetahuan bahasa Arab, tetapi saya belum pernah melihat satu komuniti orang Melayu saling berbahasa Arab di negara kita. Saya percaya banyak ustaz dan orang pendidikan agama tahu berbahasa Arab, tetapi mereka tidak membudayakan bahasa itu.

Oleh kerana para ustaz dan mereka yang terdidik dalam agama faham bahasa Arab sukar saya faham mengapa pelajaran menterjemah alquran ke dalam bahasa ibunda (Melayu) tidak ditawarkan kepada masyarakat. Saya ada pengalaman belajar menterjemah alquran secara harfiah di Maahad Ittiba as Sunnah (MIS) Kuala Pilah daripada pelopor utamanya almarhum Ustaz Hasyim Ghani. Pada saya kaedah ini paling senang dan praktikal. Dalam sekolah pendidikan ahli-ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM) tahun 1990-an juga buku Terjamahan Harfiah oleh Ustaz Hashim Ghani menjadi salah satu buku yang terpilih untuk meningkatkan kualiti ahli jemaah.

Program ‘iqra, tajwid dan taranum di TV sebenarnya cermin budaya masyarakat Islam meladeni alquran. Membaca alquran saja tanpa faham ertinya, itulah budaya yang diterima pakai dan dianggap cukup sempurna. Pada masa depan mungkin ada slot membaca tahlil dan yasin di kaca TV kerana itu sebagian erti pemahaman manusia beragama kepada muslim kita.

Demikianlah budaya beragama dan kaedah berinteraksi masyarakat kita dengan alquran. Pengagungan terhadap kitab Allah ini cukup unik dan membanggakan, tetapi kering daripada pengertian. Sampai-sampai bacaan dalam solat dan doa juga kebanyakan kita tidak mengerti apa yang dibaca. Hampir dalam semua hal, kita mahu tahu erti yang diucap dan dibaca, tetapi yang dianggap pasak hidup (agama) kita menerima secara bodoh: baca tapi tidak tahu ertinya. Tidakkah kita terasa malu dan bersalah, mendakwa Islam agama proilmu tetapi menerima perlakuan ibadah secara kosong. Berdoa kepada Allah seperti burung kakak tua berdoa, tidak tahu apa ertinya!

Lantaran itulah apabila sesuatu amal perbuatan yang sudah sebati apabila dikritik kerana menyalahi ajaran alquran, kebanyakan yang kuat membaca alquran itu melenting dan marah-marah. Maaf, saya ambil contoh bahawa perbuatan membaca alquran dalam kenduri arwah untuk dihadiahkan kepada arwah itu berlawanan dengan banyak ayat alquran. Para pengamal perbuatan itu pasti marah, mereka mengatakan itu cara Islam. Ya mereka hanya berani mengatakan mengirim pahala kepada orang mati sebagai cara Islam tetapi tidak berani mengatakan itu cara alquran!

Pilihan yang praktikal ialah setiap muslim wajib memiliki senaskhah alquran dan terjemahannya. Kalau pada bulan Ramadan kita bertadarus membaca dalam bahasa asalnya (Arab), pada hari-hari lain biarlah kita membaca terjemahannya dalam bahasa yang kita faham. Baca berulang-ulang, sekurang-kurangnya kita akan faham tema sesuatu surah. Dan lagi, sekurang-kurangnya kita faham tema erti sesuatu bacaan dalam solat dan doa yang dibaca.

1 ulasan:

  1. Saya sangat suka penulisan ini. Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah menjadi sumber ilmu yang mengangkat ketamadunan jika benar2 dihayati.

    InsyaAllah, bangsa melayunesia semakin maju dalam penterjemahan, pemahaman dan pengamalan kitab Allah ini.

    -aliuddin AFN-

    BalasPadam