Halaman

Isnin, Mei 12, 2008

BICARALAH hal furu itu


SUATU ketika dalam bicara saya dengan seorang ustaz haraki mengenai kerja-kerja dakwah kepada bukan Islam, saya menyebut mengenai anjing yang sepatutnya mudah saja urusannya. Dia kurang bersetuju dengan saya kerana membangkitkan hal furu. Baginya sebutlah hal akidah, hal yang pokok. Namun saya jelaskan bahawa tidak salah membangkitkan hal furu untuk dibincangkan kerana ada ketikanya hal furu itulah sebagai pintu masuk dalam kerja-kerja dakwah.





Maksud saya kepada ustaz berkenaan ialah pandangan biasa Melayu Muslim mengenai anjing sangat keras sedangkan orang bukan Islam bergelumang dengan anjing. Berdasarkan pengetahuan dan pergaulan dengan bukan Islam ini, perkara anjing ini sudah menjadi budaya dan sukar dihilangkan. Pandangan bukan Islam di negara kita ialah anjing sebagai satu masalah besar kepada Islam. Tentu mereka merujuk kepada cara hidup orang Melayu.

Inilah tujuan saya, sepatutnya apabila ada pendapat lain dalam hukum fikah yang lebih ringan mengenai anjing seperti hujah Imam Malik, patutlah kita condong ke sana. Kalau kita sedia maklum bahawa hal furu tidak mencacatkan akidah, maka sepatutnya perbincangan hal furu digalakkan untuk mencari kesesuaian sesuatu golongan. Bukan semua manusia yang menganut Islam itu akan berbudaya seperti kaum Melayu yang sangat jelik dengan anjing.

Lihat emel yang diterima oleh Dr Mohd Asri daripada bukan Islam mengenai keluwesan fikah Islam yang ditonjolkan oleh Tuan Mufti ini. Perkara yang kecil tetapi sangat ketat iaitu muslim dilarang berkongsi pinggan mangkuk dengan bukan Islam. Apabila hal ini didedahkan bahawa muslim masih dibenarkan berkongsi alatan memasak dan wadah-wadah makanan, nampaklah kekesalan keluarga bukan Islam yang selama ini dalam kesusahan menerima anak dan menantu yang sudah Islam.

Cuba lihat bagaimana susahnya anak-anak mahu mendirikan solat hanya kerana tidak menghafal lafaz niat dalam bahasa Arab dan tidak tahu hendak memasukan niat ketika takbiratul ihram. Nampaknya setiap jenis solat telah ditetapkan lafaz yang berbeda. Dan telah terbukti pula dalam kalangan mereka termasuk yang dewasa berkali-kali melafazkan ‘Allahuakbar’ semata-mata kerana tidak masuk niat solat.

Apabila keadaan kian menyusahkan seperti itu, kenalah pendakwah menyebut juga bahawa lafaz niat bukan daripada sunah Nabi dan diterangkan yang mudah saja. Hal ini bukan sengaja untuk berpecah dan berbeda-beda padangan, namun untuk kemudahan amal ibadah seseorang. Memang itu hal furu yang sesetengah orang mahu ditutup rapat, tidak mahu berbincang langsung. Jika masalah timbul, bukalah perbincangan demi kemudahan sebagai seorang muslim.

Baru-baru ini saya berada dalam perkhemahan pelajar-pelajar sekolah menengah. Nampak sangat pelajar kesuntukan masa untuk solat dan mengejar aktiviti. Antara yang saya bincangkan dengan seseorang ialah galakkan pelajar menjamak solatnya. Pantas dia sinis dengan pandangan saya bahawa dalam satu daerah yang tidak boleh dijamak solat. Setelah saya ajukan cadangan saya kepada sekumpulan pelajar, mereka seperti lebih rela tidak solat daripada menjamak solat.

Mungkin selepas ini saya akan membuat satu modul kecil bagaimana bolehnya solat jamak dalam satu daerah, solat memakai but, mengusap kasut atau stokin ketika wudhu dan bertayamum sekalipun di hadapannya ada air! Tentulah hal ini belum didedahkan kepada remaja, sedangkan mereka senantiasa berhadapan dengan masalah untuk bersolat seperti biasa.

Biarlah, kalau masih dikatakan furu dan mewujudkan perbedaan, asalkan sebagian masalah mendirikan solat ini dapat dijalankan mengikut jadualnya. Saya yakin ada kalanya orang yang yang memintas dialog yang berbeda dengan mengatakan perbincangan furu, sebenarnya dia dalam kebingungan untuk menyelesaikan masalah.

Kesimpulan awalnya ialah sebagai pendakwah kenalah kreatif untuk membuka hal furu sebagai perbincangan. Perbincangan ini sekalipun bertujuan memperkenalkan sunah tetapi mungkin lebih menjurus menyelesaikan masalah kecil-kecil dalam kalangan masyarakat. Akhirnya pendedahan yang dikatakan hal furu atau ranting dapat juga mengubati masalah yang dihadapi. Itu masih jauh lebih baik kepada masyarakat muslim. Dan sebenarnya mereka sedang meniti bimbingan alquran dan sunah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan