Halaman

Khamis, Mei 08, 2008

DR MAZA beralih tempat?

KHABARnya Dr Asri Zainul Abidin Mufti Perlis akan tamat kontraknya sebagai mufti tdak lama lagi. Banyak pihak mula mencongak setelah Dr Asri tidak menduduki kerusi Mufti Perlis. Bukanlah sangat soal siapa penggantinya, tetapi adakah kedudukan baru Dr Asri selepas ini akan lebih berkesan berbanding sekarang atau auranya semakin kabur dan diluput.

Tidak dinafikan bahawa kedudukan Dr Asri di Jabatan Mufti Perlis telah memberi nafas baru mengenai pemahaman Islam berlandaskan alquran dan sunah. Memang selama ini di Perlis pun senantiasa mempunyai mufti tetapi imejnya tidak dapat disamakan dengan Dr Asri. Dahulu imej Mufti Perlis sama sahaja seperti para muft dari negeri lain. Misalnya, tolak dahulu kedudukan Dr Asri sekarang dan pandang 13 orang Mufti lain dalam negara. Media mana yang akan mengambil pandangan antara Mufti-mufti berkenaan untuk mengulas perihal pilihan raya, pencemaran alam sekitar, dunia hiburan dan sebagainya.

Kenaikan Dr Asri ke jawatan Mufti seakan kemunculan yang dinanti-nanti umat Islam di Malaysia ketika sekian lama pemikiran umat Islam dikuasai oleh aliran tradisional yang sangat menjemukan. Fikrah dan tajdid yang dibawa oleh Dr Asri bukan sahaja menggembirakan mereka yang rindukan Islam dapat dibawa ke tengah medan, malah diterima dengan senang hati oleh pihak bukan Islam. Bayangkan saja apabila bukan Islam mengetahui bahawa sebenarnya anjing bukanlah satu penghalang menghampiri Islam dan umatnya, ini telah memecah satu tembok keras antara umat Islam Melayu dengan bukan Islam.

Pendirian Dr Asri memilih dibolehkan umat Islam memberi ucapan salam kepada bukan Islam sekalipun dikritik oleh aliran tradisional, tetapi berjaya membuka mata umat Islam mengenai pendapat lain yang juga boleh diterima. Antara pendirian Dr Asri yang dilihat terbuka dan dapat mengharmonikan antara umat Islam dan bukan Islam ialah soal penggunaan pinggan mangkuk bersama orang Islam dan bukan Islam, pengedaran daging kurban kepada bukan Islam, penggunaan bin Abdullah kepada saudara baru dan penerimaannya terhadap kitab Bible dalam bahasa Melayu.

Lihat pandangannya mengenai pilihan raya yang menggesa para pengundi memilih calon supaya suara rakyat dapat disampaikan kepada pihak berkuasa. Ini bermakna beliau menolak pendirian pengundi memilih parti yang tidak jelas siapakah wakilnya nanti. Sudah 50 tahun merdeka, rasanya inilah kali pertama seorang Mufti memberi garis panduan kepada pengundi menentukan pendirian.

Asalnya apabila Dr Asri menjawat Mufti maka para pengkritiknya segera meletakkan namanya sebaris dengan ulama yang telah dibeli untuk mengipas dasar-dasar kerajaan saja. Ertinya kepada pihak pembangkang, asalnya Dr Asri adalah musuh barunya. Sebab itu ada seorang penceramah politik bertaraf ustaz di pentas pembangkang memberikan gelaran ‘Bapak Setan’ kepada Dr Asri!

Tidak cukup di situ, ada aliran yang sangat keras terhadap Dr Asri tidak silu menuduhnya sebagai sesat. Di balik tuduhan terhadapnya yang tidak pernah dibuktikan, Dr Asri juga tetap mengkritik dasar yang dibawa oleh kerajaan, iaitu majikannya sendiri. Terbaru Mufti paling muda ini mengkritik penggunaan istilah Hadhari dalam gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sejak 2004.

Menyeronokkan kerana media senantiasa mencari Mufti Perlis ini untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu-isu semasa khasnya yang melibatkan umat Islam. Tulisannya yang panjang dan ilmiah dalam akhbar hujung minggu dibaca oleh ratusan ribu manusia. Sesawang miliknya juga punya terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Begitu citra Dr Asri sebagai Mufti Perlis di utara sana, ke mana langkahnya selepas ini? Secara peribadi saya sangat suka jika Dr Asri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau salah seorang Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Sangat rugi kepada negara apabila satu permata yang sedang bersinar dibiarkan tenggelam begitu saja.

Dahulu Dr Asri mengakui bahawa berkedudukan sebagai Mufti akan lebih memudahkan kerjanya untuk menyampaikan dakwah. Inilah yang sedang berlaku. Dan jika turun dari jawatan itu kemudian suara pembaharuan Islam kian pudar, tentulah masyarakat yang dahagakan reformasi pemikiran Islam akan keciwa. Jika begitu keadaannya, Dr Asri punya pilihan untuk kekal sebagai Mufti atau melangkah jauh ke Jakim atau Ikim.

Tinggal lagi anak kelahiran Pulau Pinang ini sebenarnya bukan mudah diterima oleh majoriti ulama dan ahli agama dalam negara. Pengalaman ulama-ulama yang dilabel sebagai Kaum Muda awal abad ke-20 dahulu seperti Syed Syeikh al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin sedang dirasai oleh Dr Asri, sahabat-sahabat dan mereka yang berfikrah sepertinya.

Jika pada zaman Syed Syeikh al Hadi dahulu gerakan Islah masih mampu melebarkan pengaruhnya ke Asia Tenggara dengan jaringan majalah al Imam dan akhbar Neraca, maka pada zaman dunia tanpa sempadan ini pengaruh Islah atau tajdid yang dibawa oleh Dr Asri dan sahabat-sahabatnya mudah saja menerobos tembok batu dan besi di mana-mana pun.

Perkara ini bukan soal pengaruh Dr Asri, tetapi ialah keluwesan fikrah sebenar Islam yang disandarkan kepada alquran dan sunah. Dr Asri dan sesiapa pun boleh pergi, tetapi gerakan Islah ini akan mudah saja diterima oleh masyarakat berpendidikan kerana mereka dengan mudah mengerti bahawa berdasarkan alquran dan sunah, Islam sebenarnya mudah dibawa dalam kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan