Penulis, Dr. Muhammad bin Abdullah al Wahibiy
Penterjemah, Abdul Wahab bin Bustami al-Banjari
Penerbit, Perniagaan Jahabesra, Johor Bahru.
Tahun, 2011
Muka surat, 126
Harga RM 8.90
SAHABAT satu gelaran istimewa kepada orang-orang yang bersama Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam . Sahabat bukanlah kawan atau teman. Sahabat Rasulullah diertikan sebagai muslim yang hidup pada zaman Rasulullah seperti berjumpa, mendengar suara baginda walau hanya seketika. Keistimewaan orang yang digelar Sahabat Rasulullah ini diberikan oleh Allah subhanallahu taala dan dijamin syurga, selain tidak boleh diperlekehkan. Malah jika sejarah merakam para Sahabat terlibat dalam perselisihan sesama mereka, umat Islam dilarang mempersoalkan atau membicarakannya kerana mereka adalah sebaik-baik manusia selepas Rasulullah, Allah telah mengatur perjalanan hidup para sahabat sesuai dengan jaminan dan keredaan-Nya.
Buku Para Sahabat Menurut Akidah Ahli Sunah wal Jamaah, membicarakan hak keistimewaan, jaminan Allah dan apa sikap setiap muslim terhadap para Sahabat. Istimewanya para Sahabat ini Allah rakamkan dalam al-Quran surah al-Fath ayat 48, bahawa Allah reda terhadap orang-orang mukmin yang berjanji setia kepada Rasulullah di bawah pohon. Ini merujuk Perjanjian Ridhwan di Hudaibiah untuk berperang bersama Rasulullah walau pun tidak berkelengkapan perang. Rasulullah menyebut dalam hadis riwayat Imam Muslim, bahawa Sahabat yang berjanji di bawah pohon itu tidak akan masuk neraka.
Terdapat juga taraf kekananan para Sahabat Rasulullah, misalnya yang utama ialah mereka yang awal memeluk Islam di Makkah. Ini dibuktikan daripada hadis al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah melarang Khalid al-Walid mencela Abdul Rahman bin Auf, walhal kedua-duanya adalah sahabat Rasulullah. Diketahui bahawa Khalid al-Walid memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah, malah Khalid pernah menjadi pemimpin kaum kafir menyerang umat Islam di Madinah.
Allah dan rasul-Nya juga memberi keistimewaan kepada para Sahabat yang pada zaman Madinah. Dalam hadis al-Bukhari, Rasulullah menyatakan salah satu tanda keimanan muslim ialah mencintai golongan Ansar dan munafiklah sesiapa yang membenci Ansar. Golongan Ansar merupakan pembantu Rasulullah dan muslim dari Makkah, yang mereka tidak mengharap apa-apa keuntungan duniawi daripada pengorbanannya.
Menurut kajian ulama Ahli Sunah wal Jamaah, termasuk dalam akidah yang sahih memuliakan para Sahabat Rasulullah disebabkan Allah dan rasul-Nya telah memberi keredaan kepada golongan Sahabat. Apabila Allah subhanallahu taala telah mengiktiraf kemuliaan Sahabat, maka sesiapa yang ingkar bermakna mengingkari Allah.
Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah mengatakan, mereka yang mengatakan sebahagian besar Sahabat telah murtad, maka mereka yang berkata demikian nyata telah kufur sebab berlawanan dengan jaminan Allah terhadap para Sahabat Rasulullah.
Berdasarkan surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud, "Muhammad ialah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya," Imam Malik menetapkan sebagai kufur orang yang membenci para Sahabat Rasulullah.
Telah berlaku perang antara Sahabat pada zaman Khalifah Ali, seperti Perang Siffin dan Perang Jamal. Rasulullah telah membayangkan awal berlakunya perselisihan antara para Sahabat baginda, malah antara Sahabat yang dijamin syurga. Dalam hadis riwayat ath-Tabrani, Rasulullah meminta umat menahan lidah daripada mempersoalkan Sahabat-sahabat baginda, sama seperti baginda melarang persoalkan qada dan qadar.
Penulis mengutip catatan daripada kitab Minhajus Sunnah (6/254) supaya umat Islam memohonkan keampunan kepada para Sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan