Halaman

Selasa, November 29, 2016

PESAKIT yang derita dan bahagia


PENGALAMAN menziarahi orang sakit. Ada pengajaran besar untuk yang masih muda dan sihat, agar dapat merancang masa depan, atau masa yang mungkin tidak sihat kelak.

Pesakit satu.
Dia seorang lelaki berusia 52 tahun, masih bujang dan tinggal berdua dengan seorang adik lelakinya yang juga masih bujang.  Mereka empat beradik sudah tidak punya ibu bapa. Seorang adik perempuannya telah berkahwin dan mengikuti suaminya.  Saya menziarahinya bersama beberapa orang mantan teman sekolah pesakit.  Daripada perbualan mereka dapatlah maklumat-maklumat berkenaan diri pesakit.

Apa yang berlaku? Pesakit ini terlantar saja di kasur seorang diri di rumah.  Adiknya hanya menguruskan si abang yang sakit pada waktu pagi sebelum keluar bekerja yang sore hari atau malam baru pulang.  Maka setiap pagi, diurus yang wajib saja seperti memberi sarapan yang boleh dimakan abangnya dan menggantikan lampin dewasanya.  Keadaan rumah agak tidak terurus dengan ada bau kurang enak. Lalat pula banyak di ruang tempat pesakit terbaring.

Saya mendengar mantan teman-teman sekolahnya dahulu mencadangkan agar dia berbincang dengan adiknya untuk mencari seorang pembantu peribadi, meladeni dirinya yang terlantar sakit dan mengemas rumah.  Maklumatnya, pesakit punya wang simpanan puluhan ribu ringgit. Rupa-rupanya si pesakit dan adiknya ada masalah komunikasi, yang menyukarkan sebarang keputusan penting.  Jadinya, begitulah dia terlantar, sampai kapan?

Pesakit dua.
Dia lelaki berusia 55 tahun menderita sakit kanser. Telah berbulan-bulan terlantar. Yang terakhir ini deritanya semakin kuat. Dia sudah tidak berupaya menyedut air minumnya sendiri. Isteri atau anaknya membuat semburan air ke dalam mulut untuk menghilangkan dahaganya. Tidak ada suara apa, hanya bahasa isyarat tangan kiri.

Mudah bicara, pesakit ini ekonominya cukup makan. Hidup menyewa rumah kecil sederhana yang di bagian depan rumahnya dijadikan bengkel membaiki motorsikal.  Isteri dan anak lelaki remajanya menjadikan bengkel itu sebagai sumber sara hidup.  Jangan tanya berapa puluh ribu ringgit dalam akaun peribadinya.

Begitu kehidupan keluarga ini, si pesakit dilayan sangat baik dan sempurna oleh isteri dan anak-anaknya. Isteri tetap memanggilnya “Ada apa Yang.., Yang nak apa?”  panggilan yang manja tentunya semenjak mereka bergelar suami isteri dahulu.  Meskipun rumahnya kecil tidak ada perabot bagus-bagus, tetapi seekor lalat pun tidak ada berterbangan di sisi pesakit.  Tidak ada bau kurang enak walaupun ada luka pesakit di kedua-dua kakinya.



Begitulah kisah keluarga orang sakit.  Daripada dua kisah itu, kehidupan masa senyum dan tawa akan membawa kesan pada jaman hidup meratap hiba.  Beruntunglah kehidupan pesakit kedua yang sederhana hidup tetapi kekal bahagia dan tabah pada saat orang memerhati hidupnya dengan air mata.

Kepada Allah dipanjatkan doa untuk kedua-duanya. Semoga kekal beriman dan bersabar dengan ujian Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan