Halaman

Isnin, Oktober 24, 2016

AUDIT total ala-ala di Padang Mahsyar....


SMK Kota Masai 2 di Pasir Gudang sebuah sekolah besar, punya murid melebihi 3000 orang. Namun sekolah ini menjadi pilihan dikunjungi oleh warga pendidik untuk melihat dan memahami bagaimana sekolah harian biasa dapat diurus dengan berkesan dalam semua aspek.

Penulis berkesempatan berkunjung ke sana dan mendengar penerengan oleh Pengetuanya, Haji Rosland Mohd Yusuf anak kelahiran Kuala Kangsar. Idea dan kesungguhan pentadbiran (boleh baca juga kesungguhan politik) beliau berjaya meletakkan institusi pendidikan di bawahnya berada setaraf sekolah biasa yang ternama di Nusantara.

Perkongsian yang paling bagus ialan pelaksanaan ‘audit total’ yang boleh dianggap mengambil konsep pengadilan di Padang Mahsyar pada hari kiamat kelak.   Dalam audit total, kegagalan seseorang murid dalam satu jenis peperiksaan atau suatu mata pelajaran dibedah siasat secara terperinci.  Majlis audit total dipengerusikan oleh Pengetua sendiri, tentunya berfokus kepada seorang murid yang akan disiasat perihal kegagalannya dalam satu subjek pelajaran.

Katakan murid  A Tingkatan Lima gagal dalam Bahasa Melayu. Dalam majlis audit total, murid A akan disoal siasat oleh Pengetua di hadapan Guru Kelas, Guru Mata Pelajaran, Ketua Panitia dan Guru Bidang Bahasa. Semua jawaban daripada murid A akan dirujuk pula kepada guru-guru yang berada dalam majlsi berkenaan.  Ini bermakna, Guru Bahasa Melayunya akan memberi penerangan tanggung jawabnya selama mengajar murid A, atau tanggung jawab Ketua Panitia itu akan menjelaskan pelaksanaan program panitia kelas berkenaan.

Menurut Haji Roslan, audit total telah membongkar rahsia-rahsia yang mungkin tersembunyi, yang menyebabkan murid A mengalami kegagalan dalam Bahasa Melayu.  Daripada soal siasat terhadap murid A, secara tidak langsung kekuatan dan kelemahan guru-guru yang terlibat termasuk hal-hal di luar kawasan sekolah.

Dengan pelaksanaan audit total, semua pihak berkaitan termasuk ibu bapa murid sekolah sentiasa bersedia untuk menjawab soalan di hadapan Pengetua. Oleh kerna majlis audit total satu perbincangan telus, dan kegagalan bekerja mungkin memalukan diri yang berkenaan, maka individu berkenaan pasti akan bekerja sebaik mungkin.  Hal ini menjadikan murid yang asalnya gagal dalam suatu mata pelajaran juga bersungguh-sungguh di samping guru juga mempersiap kerja dengan baik.


Begitulah perbicaraan dalam audit total yang telus pun menggerunkan murid, guru  dan ibu bapa. Sungguh ini juga satu pengajaran kelak adanya perbicaraan di akhirat  yang lebih telus terhadap semua aspek kehidupan.  Moga kita berfikir daripada perihal kehidupan di dunia lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan