Halaman

Ahad, Ogos 28, 2016

MERDEKA Ke-59: Komunis itu penjajahkah?


HARI-hari menghampiri 31 Ogos 2016, ada yang mendakwa media penyiar kerajaan lebih mempertontonkan kejahatan dan keganasan anggota komunis. Maka timbul pertanyaan, ‘negara kita dahulu dijajah oleh British atau komunis?’

Peristiwa-peristiwa sejarah adalah juga peristiwa-peristiwa politik.  Yang demikian menyebabkan peristiwa sejarah tidak terlepas daripada tafsiran tertentu. Pengamal ideologi politik masa kini pasti melihat sejarah dari sudut kepentingan ideologi partinya.  Mana yang menguntungkan atau menaikkan imej partinya, maka sejarah itu pasti diulang sebut. Ada pula peristiwa sejarah yang boleh diguna untuk menjauhkan rakyat daripada parti lawannya, maka peristiwa itu juga dijadikan bahan sejarah yang mesti diketahui rakyat. Mudahnya, setiap penggiat politik masa kini berminat peristiwa sejarah yang memihak kepada diri dan partainya.

Adakah negara kita dijajah atau sebagai neger-negeri yang dinaungi oleh kuasa asing.  Lihatlah apa yang berlaku sejak tahun 1511 di Melaka. Sejak Portugal menguasai Melaka, adakah Melaka sebuah negeri yang dinaungi Portugal dengan mengekalkan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu? Kita mengenang keagungan tamadun Kesultanan Melayu Melaka, tetapi sejak tahun 1511, tiada apa lagi yang dapat dirujuk atau dibanggakan sebagai khazanah tamadun Kesultanan Melayu Melaka.  Semua habis dan lenyap! Itulah penjajahan Portugal di Melaka sehingga tahun 1841. Pengganti Portugal iaitu Belanda dan seterusnya British (1824) tidak punya agenda memberi hak kepada bangsa Melayu di Melaka sehingga kemerdekaan negara tahun 1957.

Pengambilan Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur British (SHTI) melalui usaha licik Francis Light juga bukan menaungi, tetapi penjajahan. Sultan Kedah kehilangan semua hak di Pulau Pinang dan Seberang Perai, sekalipun dalam hal ehwal agama dan adat resam Melayu. Sejak tahun 1786, Pulau Pinang terus dicorak sesuka hati oleh penjajah British.  Malah Pulau pinang, Melaka dan Singapura pernah diperintah terus oleh Pejabat Tanah Jajahan British di London mulai tahun 1867.  Maksudnya negeri-negeri selat itu merupakan sebagian daripada negara British waktu itu. Mujur perubahan politik memihak kepada kita, maka Pulau Pinang dan Melaka menjadi sebagian Persekutuan Malaysia. Pandang sejarah penjajahan British di Kepulauan Falkland, tidak jauh dari Argentina. Sehingga hari ini Fakland menjadi sebagian wilayah negara British sekalipun jauhnya ribuan kilometer dari London!

Begitu juga pemerintahan dinasti Brooke di Sarawak, orang British itu menguasai sepenuhnya Sarawak seperti bapa kita menguasai tanah seluas empat ekar di kampung. Suka hati bapa kita hendak menanam apa, atau membina rumah apa pun.  Begitulah seluruh Sarawak menjadi hak selama 100 tahun kepada keluarga Brooke.

Bagaimana dengan kedudukan para raja atau sultan yang kekal menjadi pemerintah negeri-negeri Melayu sekalipun ada yang menerima Residen, Penasihat, Pegawai utama, Residen Jeneral dan Pesuruh Jaya Tinggi. Jawatan-jawatan itu diwujudkan di beberapa negeri termasuk sewaktu Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896) dan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Kita boleh merujuk isi utama Perjanjian Pangkor 1874 antara British dengan Raja Abdullah dari Perak.  Perjanjian itu jelas  mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak mulai tahun 1874 tetapi kuasa baginda hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu.  Kuasa mentafsir Perjanjian Pangkor pula  ada pada Residen British dan Gabenor Negeri-negeri Selat waktu itu, Sir Andrew Clarke. Perjanjian Pangkor sangat penting sebagai doktrin duluan campur tangan British di semua negeri yang beraja. Residen Birch kata, hak mengutip cukai adalah kuasa pentadbiran Residen, bukan adat resam Melayu. Apabila Birch terus mengutip cukai dan dibunuh oleh Dato Maharaja Lela  (yang mengarahkan Sepuntum), dan akibatnya Sultan Abdullah dibuang ke pulau Syachelles, Dato Maharaja Lela (dan orang-orangnya) dihukum mati, ini bermakna mengikut Perjanjian Pangkor, mengutip cukai dan memiliki hamba bukan adat resam Melayu.  Sejak itu mudah difahami maksud agama Islam dan adat resam Melayu. Agama Islam hanya merujuk hal ibadah dan perkahwinan sementara adat resam ialah istiadat beraja serta majlis bersifat agama seperti Isra Mikraj dan Maulud Nabi.  Selepas konflik pemahaman batas kuasa Sultan dan Residen (melalui pembunuhan Birch), semua pegawai British dan raja-raja Melayu tahu dan sedar kuasa dan batas-batasnya.

Benar raja Melayu terus bertakhta sebagai Ketua Negeri, tetapi kuasanya hanya bidang ibadah agama dan adat istana dan sedikit dalam kalangan orang Melayu. Sebab itulah British dengan mudah menggubal dasar ekonomi yang menguntungkan mereka (sebaliknya merugikan raja dan bangsa Melayu).  Raja Melayu yang masih disembah di tahkta seperti zaman sebelum Perjanjian Pangkor, tidak boleh menahan penggunaan undang-undang British, perluasan Bahasa Inggeris dan tulisan rumi.  Malah semua raja hanya memerhatikan saja negerinya dibolosi oleh ratusan ribu pekerja asing dalam sektor ekonomi dagang  yang sangat jelas menyudutkan bangsa Melayu.  Semua itu kerja British sebagai pihak berkuasa.

Apabila dibentuk Persekutuan Tanah Melayu (1948), perlembagaan menyebut kuasa tertinggi ialah Pesuruh Jaya British dan Majlis Raja-raja Melayu.  Hakikatnya yang bebas berkuasa dan mengambil keputusan ialah Pesuruh Jaya British. Munasabahkah sembilan orang raja menjadi pemerintah Tanah Melayu sekali gus!  Maknyanya Majlis-Raja-raja hanya dimaklum oleh Pesuruh Jaya British.

Begitulah perjalanan sejarah politik British di Tanah Melayu serta Sarawak dan Sabah. Apabila negara merdeka, semua posisi British dahulu diambil-alih oleh ahli-ahli politik parti yang memerintah. Bolehlah disebut Perikatan dan Barisan Nasional. Kuasa raja-raja Melayu di sembilan negeri atau Yang Dipertian Agong di peringkat Persekutuan, tidak dikembalikan sepenuhnya seperti dinikmati selama 111 tahun zaman Kesultanan Melayu Melaka.  Namun semua rakyat Malaysia reda begitu, teruskanlah.

Komunis itu penjajahkah? Oleh kerna zaman itu orang tidak reda dengan ideologi komunis, maka melawan komunis sama juga melawan penjajah. Sementelahan pula, kebanyakan anggota Partai Komunis Malaya adalah bangsa  asing , iaitu bangsa Cina (British, Belanda, Siam dan Jepun juga bangsa asing), maka penggiat atau pengganas komunis adalah sebagian daripada proses penjajahan.  Maka betullah rakyat melawan PKM atau penggiat komunis sebagai melawan penjajahan. Bangsa asing Cina waktu itu belum diterima sebagai warga negara, maka betullah sentimen kebencian terhadap anasir luar.  Kita kena melihat sejarah daripada perspektif zaman berkenaan, bukan zaman semasa kita hidup ini.


Salam Malaysia merdeka ke-59 dari hujung Sabah ke Sarawak hingga ke hujung Perlis!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan