Halaman

Ahad, Jun 12, 2016

40 tahun dahulu kami tunggu hantu malam puasa

Surau Saadah Batu 2 Sepintas
SALAM Ramadan. Inilah desa saya Batu 2 Sepintas Sabak Bernam. Saya berpuasa di desa. Apa bedanya berpuasa di desa saat ini tahun 2016 dibanding dengan tahun 1970-an.  Apa yang telah berubah ialah usia-usia orang desa.  Jika tahun 70-an dahulu saya kanak-kanak sekolah rendah, maka sekarang saya sudah lebih 50 tahun.  Begitulah yang semua dahulu sebagai kanak-kanak, semua sudah memanjat usia. Malah sebagian antara kami sudah meninggal.

Tempat surau tempat kami dahulu bertarawih adalah surau yang sama, lokasi juga sama.  Tentulah sebagian besar orang dewasa tahun 70-an dahulu sudah meningal dunia.

Tahun 70-an dahulu, imam utamanya Haji Abdullah bin Abdul Razak, dan hanya sekali-sekala diganti ayah saya, Haji Siraj Hanan.  Tentulah ayah saya waktu itu usia  40-an.  Hari ini ayah saya pada usia 80-an masih menjadi imam di surau, memimpin jemaah beribadah.

Tidak banyak pertambahan keluarga atau rumah sejak tahun 70-an.  Jika ada keluarga baru yang membuat rumah, telah ada keluarga terdahulu yang sudah tiada.  Misalnya dahulu ada rumah Haji Ismail dengan  10 anak, hari ini semua anak telah membina keluarga sendiri dan rumah itu dijual.  Begitu juga rumah Haji Salihun sudah dijual, tetapi tapaknya diganti oleh ponakannya, Haji Abdullah bin Murkijan.  Rumah haji Surahad sudah suwung, tidak jauh darinya didirikan sebuah rumah anak saudaranya. Manakala keluarga Haji Abas dan Arwah Mokhtar bertukar karyah surau atas faktor lokasi dan kemudahan jalan.  Dua rumah itu kini bukan ahli karyah Surau Saadah kami.

Dahulu hanya jalan tanah liat dan rimbun kiri kanan. Ada hantu lampu!
Kerna tidak tampak pertambahan besar, maka jumlah ahli yang tarawih di surau tidak banyak bedanya, satu saf lelaki kira-kira 20 orang.  Dahulu pun begitu.  Namun pada jaman dahulu bilangan kanak-kanak agak banyak di tambah dengan orang muda.  Bolehlah menyampai dua saf. Namun pada jaman saya kanak-kanak, keseronokan ke surau bukanlah untuk shalat tarawih, tetapi moreh dan bermain dengan teman-teman. Jaman itu, yang sebaya lingkungan usia  ada 10 orang.  Ada kesukaan lain iaitu mencabar ‘medi damar’ atau hantu lampu.  Tidak ada elektrik, seluruh kampung menggunakan pelita minyak tanah. Di surau digunakan lampu gaslin atau gasolin yang dipam. Jalan tepi surau masih sangat langka dilalui orang luar. Oleh itu jalan terus ke pekan Sabak itu sangat semak dan sebagiannya dilingkungi pokok kayu, nipah dan kelapa yang rimbun.  Tidak ada rumah orang di situ, tetapi hari ini ada empat buah rumah.  Entah apa sebenarnya, dahulu mesti kelihatan ada lampu pelita yang seolah-oleh bergerak seperti mendekat dan menjauh pada jalan di kawasan paling sepi.  Itu yang kami suka dan jadi hiburan atau menguji keberanian masing-masing.

Ayah saya yang berkopiah merah
Orang mudanya berpakat membuat meriam batang kelapa yang operasinya di kawasan surau. Maka, habis saja tarawih mereka akan membuatnya. Bermula dengan mengambil betang kepala di kebun-kebun pada waktu malam (berlampukan gaslin), dibelah dan dikorek.  Setelah memasuki hari 25 berpuasa, belahan-belahan batang kelapa yang sudah dikorek berada di bawah surau. Di situlah dikerjakan sehingga menjadi hampir lapan atau 10 batang meriam besar.  Setiap malam selepas tarawih meriah dengan kerja begitu.  Kini tidak ada lagi.  Walaupun saya ada pengetahuan penuh membuat meriam daripada batang kepala, ilmu itu tidak akan diwariskan.Dengan kefahaman agama saya, melakukan ibadah lebih utama ketimbang membuat meriam untuk kemeriahan malam hari raya.

Moreh atau jamuan selepas  tarawih kekal ada. Sistem gilirannya pun kekal sepanjang lebih lima puluh tahun.  Setiap malam ada empat atau lima keluarga membawa pacitan untuk moreh. Air minumnya dimasak d surau.  Pada malam satu likur dan tujuh likur kami membuat jamuan besar.  Oleh kerna desa terbahagi oleh jalan, maka giliran membawa nasi ambeng ke surau di bagi mengikut seberang jalan untuk kedua-dua malam itu.  Sehingga sekarang pun keadaannya sama.


Begitulah, perkara-perkara agama telah kekal puluhan tahun dan untuk menyokong perjalanan ibadah perkara-perkara lain telah menjadi adat resam pula.  Adat bermeriam pupus. Termasuk yang pupus adat memukul kentong secara berirama ketika zikir selepas tarawih. Jika dahulu sahutan selawat dan lafaz ‘amin’ dibuat dengan sekuat-kuatnya, hari ini secara perlahan saja.  Adat menghilang dan ibadah kian lurus kerna ada perubahan ilmu dalam kalangan warga desa.

 
Jadual giliran membawa more

Tiada ulasan:

Catat Ulasan