Halaman

Khamis, Mei 12, 2016

BERHALA zaman Nabi Ibrahim, Dr Zakir dan budaya Malaysia


TIBA-tiba saya membuka blog Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam.  Zam tidak setuju banget kedatangan Dr Zakir berceramah dan membanding antara Islam dan agama lain. Itu dasar tulisannya.  Bagi Zam, membanding antara Islam dan agama lain bukan cara dakwah di Malaysia yang masyarakatnya berbilang agama.  Pada tafsiran saya, tentulah mendedahkan ‘kesalahan’ agama lain suatu yang sensitif dan menimbulkan lagi rasa syak atau curiga antara kaum yang berlainan agama.

Tulisan Zam disambut oleh banyak orang yang sama pendirian.

Saya tidak menghakimi pemikiran Zam itu liberal atau sekular.  Cuma saya suka kita kembali kepada metod alquran yang merupakan rakaman sejarah dakwah para nabi. Tidak ada cerita nabi siapa pun yang dakwahnya disambut permaidani merah dan bunga-bungaan oleh masyarakat sekitarnya.  Jika dikata Nabi Muhammad diraikan tatkala tiba di Madinah, ingat selama 13 tahun di Makkah baginda dimangsakan oleh masyarakatnya sendiri disebabkan mengajarkan agama yang sangat berlawanan dengan agama masyarakatnya.

Semua nabi mengajarkan tauhid, mendedahkan kesyirikan dan kebejatan hidup masyarakat jahiliyah atas nama agama yang mereka yakini.  Sebab itu Allah ceritakan kisah Nabi Ibrahim memusnahkan berhala-berhala dalam kuil.  Tentunya, tindakan itu setelah baginda berdakwah secara lisan agar masyarakatnya menyembah Allah, bukan batu berhala yang bisu dan pekak.  Perhatikan sebenarnya kisah pembantaian berhala itu satu ledakan bom minda apabila nabi Ibrahim meminta masyarakatnya bertanya kepada si berhala yg masih utuh, supaya berhala itu memberitahu siapa yang memusnahkan  berhala-berhala lain.

Kita membaca kisah-kisah dakwah dan responnya dalam alquran  yang tidak pun dibuat di Malaysia.  Siapa berani memecah berhala kuil di Malaysia seperti yang dilakukan Nabi Ibrahim?  Siapa kaum ateis di unversiti yang berani pula menabur satu lori rangka-rangka manusia dan mencabar Allah, bagaimana tulang-tulang manusia ini mahu dihidupkan semula? Helo… ini berlaku dalam dakwah para nabi yang tercatat dalam alquran.

Memang kita tidak mahu konflik terbuka akibat dakwah seperti kisah Bilal yang disiksa secara terbuka.  Ini tidak bisa berlaku dalam dunia modern yang kuat anutan demokrasinya.  Namun dakwah dengan menerangkan suatu yang benar  dan salah merupakan prinsip alquran.  Jika alquran menerangkan keindahan dan nikmat syurga Allah, kitab itu juga menerangkan keterukan dan sengsara neraka Allah. Kenapa kaum liberal dan sekular panas dengan dakwah yang memaparkan antara yang benar dan salah, sedangkan mereka lebih dahsyat mendedahkan ‘kejahatan’ parti atau orang yang tidak disukainya dalam persaingan politik?  Oh sebab politik kalian kata ‘hantam saja…’ jika agama kalian bilang tidak boleh.


Tidak suka dengan metod Dr Zakir Naik tak mengapa, tetapi kedatangan beliau membuka satu babak baru dalam dakwah.  Dakwah kepada kaum bukan Islam dilakukan secara terbuka.  Ini sudah biasa di negara jiran.  Di Malaysia, yang liberal dan sekular mahu menjadi jumud dalam hal bandingan agama. Mereka takut apa sih?

1 ulasan:

  1. Tuan.

    sekadar pandangan.

    Jika perbazaan yang kita lihat, makan perbezaanlah yang kita nampak. Kesemua kuliah Dr Zakir Naik dalam menjawab soalan perbandingan agama akan berakhir dengan persamaan. Dan memang itulah sepatutnya yang berlaku kerana ia datang dari 1 Tuhan. Dalam persamaan itu dapat dilihat secara tidak langsung bahawa syumulnya Islam berbandingan agama samawi yang lain. Rasanya itu bukan Salah Dr Zakir. Tapi kebenaran yang tidak dapat didustakan oleh sesiapa.

    Dakwah kepada bukan muslim adalah kewajiban kita semua. namun sekiranya ditolak... Islam bukan hadir dengan paksaan. bagi mu agama mu dan bagi ku agama ku. Inilah yang membuktikan Islam mampu hidup bermasyarakat dengan mana-mana agama mahu pun berbilang agama sekalipun.

    Bagi sebahagian besar dari kita yang kurang ilmu agama sepertimana saya, dakwah halus melalui tingkah laku dan pergaulan yang mencerminkan keperibadian Islam wajar dibudayakan.

    Wassalam.

    BalasPadam