Halaman

Sabtu, Februari 20, 2016

61 Fakta siapa sebenar Wahhabi

BENAR, masyarakat Islam sudah sensitif dengan kalimah wahabi.  Kalimah wahabi hanya dikaitkan dengan keagamaan. Maka orang berwaspada, sama ada akan dituduh sebagai wahabi atau mencari peluang memberi gelaran wahabi kepada seseorang yang tidak disukainya.

Tidak ada takrifan yang jelas apa itu wahabi.  Dalam masyarakat Melayu, kalimah wahabi itu muncul daripada perasaan amarah, bukan daripada wacana intelektual yang matang. 

Jadi apa wahabi?  Jawabannya bergantung kepada pemikiran orang yang menuturkannya.  Saya beri contoh, seorang kiyai dengan tegas tidak mahu menjamah makanan dalam kenduri arwah sekalipun beliau sentiasa hadir kenduri berkenaan. Dia dilabel wahabi.  Jika ada orang yang menolak terus amalan kenduri arwah, pastilah dia dibegi gelar wahabi.

Ada orang berwuduk tidak mencuit-cuitkan jari basahnya ke rambut, sebaliknya menyapu kepala dengan kedua-dua tangannya yang basah. Sekalipun dijelaskan perbuatannya bersumber alquran dan sunah, orang seperti ini tetap digelar wahabi. Dalam kes ini wahabi diartikan amalan ibadah sahih bersumberkan dalil tetapi ganjil pada pandangan orang biasa. Maka sesiapa yang berwuduk dengan menyapu atas sarung kakinya, dia pasti wahabi!

Seorang guru yang gigih memperjuangkan sunah nabi berikhtiar mendapatkan 61 fakta yang biasa dijadikan takrif wahabi oleh masyarakat.  Mohd Hairi Nonchi dari Sabah telah menulis buku Menyingkap 61 Fakta mengenai Wahhabi setebal 562 muka surat.  Buku ini diterbitkan oleh Bushra Studio & Publication  tahun 2015.

Penulis  buku telah mengutip dakwaan amalan yang dimaksudkan sebagai wahabi, tetapi beliau telah memberikan pembuktian amalan yang dikatakan wahabi kebanyakannya menjadi pendirian Imam besar Muhammad bin Idris Asy-Syafie atau Imam Syafie (julukan yang popular dalam masyarakat Melayu).

Misalnya dalam fakta keempat, penulis memaparkan sangkaan masyarakat bahawa wahabi menetapkan sifat istawa Allah di atas Arasy di atas langit tanta takwil.  Penulis telah mengeluarkan pendirian Imam Asy Syafie sebagai berikut (dalam kitab Ar Risalah karya Imam Asy Syafie), “Segala puji bagi Allah… Dia adaah seperti yang disifatkan terhadap diri-Nya dan Dia mengatasi apa yang disifatkan makhluk-Nya tentang diri-Nya.”


Buku Menyingkap  61 Fakta  Mengenai Wahahabi mampu memberi kefahaman yang jelas dan adil ketika seseorang memberikan label wahabi kepada orang lain yang disangkanya satu kesalahan beribadah.  Mudah kata, sangat sukar untuk mematikan hujah Mohd Hairi Nonchi bagi setiap pembuktian faktanya.  Kesimpulan awalnya, apa saja yang dikatakan amal wahabi, itu merupakan amal para Sahabat dan Tabi’in yang menuruti amal Junjungan Besar Nabi s.a.w.  Oleh kerna masyarakat melayu kita tidak biasa dengan sunah, dirinya sangat bimbang amal ibadahnya bukan suatu yang sahih menepati sunah Nabi s.a.w., maka dituduhkan wahabi terhadap pendapat yang berbeda daripada apa yang diamalkan selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan