Halaman

Ahad, Januari 31, 2016

BERAPA lama Nuraisyah kekal ngetop 1Malaysia?

Cikgu Sa Farid bersama Nuraisyah
SELIBRITI murid sekolah Nuraisyah binti Syahrin, 13 tahun, orang Sabak Bernam.  Ada beberapa sebab dia ngetop satu Malaysia. Pertama dia cedera parah akibat kecelakaan jalan raya ketika pulang dari sekolah. Kedua, dia insan kecil tergilis oleh lori tanah yang agam.  Ketiga, dia baru minggu keempat bersekolah menengah Tingkatan Satu.  Tapi yang menyebabkan seluruh orang merasa hiba terhadapnya ialah dia cacat seumur hidup, tanpa kedua-dua kaki.

Lalu semua pihak meladeninya. Syukur kepada Tuhan.

Saya juga menggunakan jalan yang dilalui Nuraisyah. Sejak jalan itu dirajai lori-lori tanah, minda saya berfikir ‘siapakah yang bakal menjadi mangsa lori-lori ini’.  Dan yang saya fikirkan sudah berlaku. Pastinya Nuraisyah bukan lagi satu nama murid sekolah yang ditimpa malang. Nuraisyah menjadi satu tanda nama kajian dan tindakan pelbagai pihak.  Pihak yang terkesan dan mahu mengatasinya adalah Jabatan Pengangkutan Jalan. Kes ini merembet ke situasi lain pula. Pastinya menjadi rumit dan mungkin akan hilang begitu saja. Sebabnya Nuraisyah hanya muncul di Parit 17 Sungai Panjang Sabak Bernam, bukan Subang Jaya atau Putrajaya!

Nuraisyah dan kakaknya berusia 13 dan 15 tahun menunggang motorsikal ke sekolah, tanpa lesen memandu. Mengapa?  Khidmat bas sekolah sudah lama ditutup kerna tiada pelanggan. Kos bayaran bulanan yang tinggi menyebabkan ibu bapa mencarikan sebuah motorsikal untuk diguna dua anaknya, sehingga mereka tamat bersekolah.  Motorsikal tentu kenderaan lain ketika tidak bersekolah.

Mengapa bapanya tidak menghantar anak ke sekolah? Ini masalah ekonomi pula. Orang desa menjana pendapatan sesuai dengan masa kerjanya. Jarak antara rumah Nuraisyah ke sekolahnya ialah 20 kilometer dengan masa 30 minit. Ini bermakna sehari selama dua jam diguna bapa untuk menguruskan persekolahan anak. Tidak bekerja selama dua jam sehari bermakna pengurangan pendapatan.

Pihak sekolah tidak memberi kesedaran keselamatan di jalan raya?  Perlu diketahui hal-hal di luar pagar sekolah tidak menjadi tanggung jawab pihak sekolah.  Namun Jawatan Kuasa Keselamatan di sekolah memberi maklumat dari masa ke semasa termasuk membawa pihak polis memberikan maklumat berkenaan. Ini standard keselamatan semua sekolah.

Apakah selepas Nuraisyah, keadaan telah berubah. Lori tanah tidak laju-laju mengejar trip, bapa menghantar anak-anaknya ke sekolah, murid memilih basikal sebagai ganti motorsikal dan jalan raya sentiasa dipantau kerosakannya? Jangan terlalu ideal dalam harapan, apatah lagi Nuraisyah hanya di Sungai Panjang bukannya Subang Jaya atau Purtajaya!

Kita tidak berapa sedar, gerakan membangunkan ekonomi desa supaya tidak jauh dengan ekonomi kota membentuk pula budaya hidup baru di desa. Kawasan rumah Nuraisyah asalnya kawasan paling sunyi di negeri Selangor. Dengan pembangunan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan sistem komunikasi, masyarakat membina perkampungan di sana. Tidak ada kenderaan awam, maka motorsikal menjadi pilihan. Selain faktor risiko tinggi berbasikal, tidak mampu mengejar masa, sebuah keluarga bisa mampu memiliki dua atau tiga buah motorsikal. Bermotorsikal budaya. Maka terjadilah Nuraisyah.


Jika pihak polis mahu kempen keselamatan diperhebat, kita juga wajib mengubah suasana dan sistem yang mewujudkan tragedi Nuraisyah. Jika sistem itu kekal, tidak ada apa yang boleh diubah. Siapa yang mahu mengundur sistem ekonomi yang menggerakkan wang ke dalam poket?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan