Halaman

Sabtu, Jun 27, 2015

PUASA untuk bertakwa, ikuti sunah Nabi s.a.w.

foto hiasan

SERUAN yang benar adalah “Bertakwalah kepada Allah”. Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang memebawa kebenaran dalam kehidupannya. Tidak lain yang menjadi contah adalah para Nabi Allah. Maksud ayat 33 surah Az Zumar, “Dan orang yang membawa kebenaran (iaitu Muhammad) dan orang yang membenarkannya, mereka itulah orang yang bertakwa.”

Sebab itulah Allah mempertahankan apa sahaja yang Rasulullah Muhammad s.a.w. ucapkan dan lakukan kerna pada diri Rasulullah s.a.w. itu merupakan sebaik-baik petunjuk atau contoh kebenaran dalam kehidupan.  Agama atau kebenaran-kebenaran  datangnya daripada Allah, lalu Allah memerintahkan kekasihnya iaitu Rasulullah s.a.w. menjelaskan agama atau kebenaran kepada manusia.  Maka Rasulullah tidak bisa diingkari oleh sesiapa pun.

Maksud ayat 65 surah An-Nisa’, “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad s.a.w.) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Oleh itu jelas apa yang dibawa oleh Rasulullah adalah kebenaran dari sisi Tuhan. Dan kebenaran yang ada pada Rasulullah s.a.w. itulah maksud atau contoh takwa.  Orang-orang yang setia mengikuti Rasulullah atau menjayakan sunahnya merupakan pendukung kebenaran Rasulullah. Semoga mereka benar-benar tergolong sebagai orang yang bertakwa.

Apa untungnya bertakwa?  Maksud ayat 34-35 surah Az-Zumar, “Mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di sisi Tuhannya.  Demikianlah balasan bagi orang-orang yang berbuat baik. Agar Allah menghapuskan perbuatan paling buruk (dosa-dosanya) yang pernah mereka lakukan dan memberi pahala kepada mereka dengan lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”

Maknanya dengan bertakwa atau menuruti kebenaran yang dibawa Rasulullah s.a.w., seseorang itu dijamin Allah dengan keampunan sekalipun sebelumnya pernah melakukan dosa yang begitu besar.  Allah juga berjanji akan memberi ganjaran atau pahala yang jauh lebih baik berbanding nikmat kebaikan daripada perbuatan di dunia ini.

Sebagian daripada kaedah yang Allah tunjukkan kepada muslim supaya menjadi orang bertakwa ialah dengan mematuhi perintah berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Maksud ayat 183 surah Al-Baqarah, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Kata sebagian orang pandai, berpuasa itu menahan keserakahan keinginan atau nafsu. Nafsu itu mengajak diri melakukan perkara yang tidak cocok dengan pembawaan Rasulullah s.a.w., maka puasa akan mendidik diri supaya taat hadis sahih atau sunah Rasulullah s.a.w. Moga dengan madrasah Ramadan ini kita berjaya membentuk jiwa yang bertakwa, yang taat sunah Nabi sebab Allah sudah perintah manusia mentaati Nabi s.a.w.


Wallahu ‘aklam

Ahad, Jun 21, 2015

TARAWIH di masjid, witir di rumah?

 
foto hiasan
Mahu Qiamullail di rumah. Perlukah meninggalkan imam ketika solat witir?

Jawapan: (oleh Dr Abu Anas Madani)

Pertama: Sewajarnya solat bersama imam sehingga selesai, jadi tidak perlu balik ketika imam solat witir. Ini kerana nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, ditulis untuknya (ganjaran) menghidupkan keseluruhan malam.”  [Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra, Kitab Qiyamillail Wa Tathowu’ an-Nahar, hadis no : 1281]

Kedua: Perlu diingatkan bahawa witir hanya boleh dilakukan sekali sahaja dalam 1 malam.

Thalaq radiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “ Tiada dua witir dalam satu malam.”
[Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, Abwab al-Witr, hadis no: 432, hasan gharib]

Ketiga: Oleh sebab itu, jika anda mahu mendirikan Qiamullail, ada 2 cara:

A- Solat witir bersama imam di masjid. Ketika bangun Qiamullail tidak perlu lagi solat witir. Tiada masalah mendirikan solat sunat walau sudah mendirikan solat witir.

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: “Baginda Nabi s.a.w. solat sebanyak tiga belas rakaat. Baginda melakukan solat sebanyak lapan rakaat, kemudian melakukan witir (sebanyak lima rakaat), kemudian solat dua rakaat dalam keadaan duduk.”
[Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab Solat al-Lail Wa ‘Adadi Raka’ati, hadis no: 1226]

B- Solat bersama imam, tetapi ketika imam solat witir, kita berniat untuk solat sunat 2 rakaat. Jadi apabila imam memberi salam, kita menambah satu rakaat lagi. Dengan ini, kita dapat melaksanakan witir di hujung malam selepas qiamullail.

‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jadikanlan witir sebagai akhir solat kalian di waktu malam.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, Abwab al-Witr, hadis no: 948]

Wallahua'lam.


Sabtu, Jun 13, 2015

INILAH dalil Al-Qur'an tentang Kenduri Arwah

LUPAKAN  sama ada Kenduri Arwah itu adat resam Melayu atau ibadah dalam agama Islam. Orang pun telah banyak yang menjelaskan keadaan itu. Hakikatnya, Kenduri Arwah merupakan satu perkara mesti dalam masyarakat Islam di Nusantara sebagai ‘acara wajib’ ketika ada kematian atau saat-saat mengenang orang yang telah mati.

Ringkasnya Kenduri arwah merupakan satu ritual ibadah. Kenduri Arwah sebagai satu set modul pemerolehan pahala daripada Allah yang pahalanya dipindahkan kepada para arwah yang dikenang dan dikasihi.  Maksudnya, orang yang membacakan ayat-ayat al-Quran dalam set modul Kenduri Arwah telah berniat bahawa semua pahala itu dengan reda diserahkan kepada arwah-arwah berkenaan. Ini merupakan satu pertolongan orang yang hidup terhadap kepayahan (atau menambah kesenangan) orang dalam kubur. Sebagai ganjaran dunia, orang-orang yang meredakan pahalanya diserah kepada orang mati akan diberi penghargaan: jamuan makan.

dalil kalam ulama bukan kalam Allah dan Nabi

Setakat ini pembela tidak memberikan dalil-dalil khusus mengenai berkesannya pahala-pahala yang diserahkan itu kepada si mati.  Paling habis mereka memberikan kata-kata ulama sebagai dalil sahnya amalan itu sebagai salah satu ibadah di sisi Allah.  Walhal Allah telah merakamkan dalil-dalilnya dalam al-Quran sejak sekian lama.

Ayat 46 surah al-Fusilat, “Sesiapa yang mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang yang berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Ayat 48 surah al-Baqarah, “Dan takutlah kamu pada hari (ketika) tidak ada seorang pun dapat membela orang lain sedikit pun.  Sedangkan syafaat dan tebusan apa pun daripadanya tidak diterima dan mereka tidak akan ditolong.”

Ayat 110 surah al-Baqarah, “Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan mendapatkannya (pahala/ganjaran) di sisi Allah.”

Ayat 54 surah Yaasin, “Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak akan diberi balasan, kecuali sesuai dengan apa yang telah kamu kerjakan.”

Ayat 17 surah Ghafir, “Pada hari ini setiap jiwa diberi balasan sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya.  Tidak ada yang dirugikan pada hari ini.  Sungguh Allah sangat cepat perhitungannya.”

Itulah beberapa ayat Allah yang membawa maksud setiap amal salih seseorang balasannya hanya terhadap dirinya sendiri. Maknanya amal salihnya membaca beberapa ayat al-Quran dalam Kenduri Arwah, pahalanya hanya untuk dirinya dan tidak berguna kepada mana orang sama ada yang masih hidup atau telah mati.


Allahu ‘aklam

Isnin, Jun 08, 2015

MATI apa jika tidak taat pemimpin?

 
foto hanya hiasan
Ada yang punya sifat membangkang pada penguasa atau pemimpin mereka. Bahkan bukan hanya tidak taat, sehingga pemimpin mereka pun dikafirkan. Padahal hidup di bawah pemimpin muslim adalah suatu kebaikan. Enggan taat pada pemimpin yang sah adalah suatu bencana bahkan disifatkan oleh Nabi kita Muhammad - shallallahu 'alaihi wa sallam - sebagai orang yang mati jahiliyah. Apa itu mati jahiliyah?

Ibnu 'Umar berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda (artinya), "Barangsiapa yang melepaskan tangannya dari ketaatan kepada pemimpin, maka ia pasti bertemu Allah pada hari kiamat dengan tanpa hujah yang membelanya. Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak ada baiat di lehernya, maka ia mati dengan cara mati jahiliyah ."  (HR. Muslim no. 1851).

Pengertian Hadits
Yang dimaksud melepaskan tangan dari ketaatan adalah tidak mau taat pada pemimpin padahal ketaatan tersebut bukan dalam perkara maksiat, sehingga ia enggan berbaiat pada pemimpin.  Yang dimaksudkan tanpa hujah yang membelanya adalah tidak ada uzur (alasan) ketika ia membatalkan janjinya untuk taat.

Sedangkan kalimat tidak ada baiat di lehernya adalah tidak mau berbai'at, iaitu mengikat janji setia untuk taat pada pemimpin.  Mati jahiliyah yang dimaksudkan adalah mati dalam keadaan sesat dan salah jalan sebagaimana keadaan orang-orang jahiliyah kerana dahulu mereka tidak mau taat kepada pemimpin walaupun mereka menilai aib jika mesti taat seperti itu. Namun bukanlah yang dimaksud mati jahiliyah adalah mati kafir sebagaimana sangkaan sebahagian golongan yang keliru dan salah paham.

Faedah Hadits
Wajib mentaati jama'ah atau penguasa yang sah dan wajib berbai'at pada mereka. Dan jamaah yang dimaksudkan di sini bukanlah kelompok, golongan, atau kumpulan orang tertentu tetapi yang dimaksudkan adalah yang punya kuasa dan punya wilayah yang sah. Sehingga jika di negara NKRI, taat pada jama'ah bererti taat pada pimpinan negara selama bukan dalam perkara maksiat.

Siapa yang enggan taat pada penguasa dengan membatalkan janji setianya untuk taat (baca: bai'at), maka ia bererti telah terjerumus dalam dosa besar dan telah sama dengan kelakuan orang Jahiliyah.
Hendaknya setiap umat mempunyai pemimpin yang urusan agama diatur oleh mereka.

Mati jahiliyah bukan bererti mati kafir tetapi mati dalam keadaan tidak taat pada pemimpin. Sehingga orang-orang yang enggan taat pada pemimpin atau penguasa yang mengatur maslahat mereka, maka ia pantas menyandang sifat ini.

Semoga Allah menganugerahkan kepada kita pemimpin yang jujur ​​dan adil, yang mampu mensejahterakan rakyat. Moga kita pun dikurniakan oleh Allah sebagai hamba yang taat pada Allah, Rasul-Nya dan ulil amri kaum muslimin.

Hanya Allah yang memberi taufik dan hidayah.

Rujukan :  Bahjatun Nazhirin Syarh Riyadhis Sholihin , Syaikh Abu Usamah Salim bin 'Ied Al Hilali, terbitan Dar Ibnil Jauzi, cetakan pertama, tahun 1430 H, 1: 655.


Sabtu, Jun 06, 2015

HUKUM duduk dan berdiri atas kubur

foto hanya hiasan

Saya hendak memaparkan dua hadis sahih yang tidak ada kalimat ‘haram’, namun pengertiannya sangat mendalam.  Daripada situ ahli ilmu membawakan hadis-hadis ini sebagai hujah terhadap haramnya suatu perbuatan.

Dalam bab larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabiyah, penceramah lelaki atau perempuan kerap membawa hadis ‘diitusuk jarum besi’ sebagai dalil tidak bisa lelaki-perempuan bukan mahram bersalaman.

Daripada Ma’qil bin Yasar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (HSR ath-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 20/211-212, no. 486 & 487)

Kerna itu, banyak muslim dan muslimah menghindari sentuhan antara mereka. Malah di sebagian kaunter bayaran ada petugas perempuan yang memakai sarung tangan untuk menghindari sentuhan kulit antara dia dengan yang diharamkan.

Satu hadis lagi berkenaan ‘duduk di atas bara api’ sebagai pengharaman duduk di atas kubur.  Oleh kerna masyarakat muslim kita kerap berlama-lama di kuburan (ada yang membawa tikar), maka hadis ini jarang sekali dibincangkan. Tampak di sini adat seakan-akan menutupi kebenaran agama.  Entah kapan hadis ‘duduk di atas bara api’ akan popular seperti hadis ditusuk jarum besi’?

Daripada Abu Hurairah r.a., bersabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya), “Lebih baik salah seorang antara kamu duduk di atas bara api sehingga membakar pakaian dan kulitnya daripada duduk di atas kubur. (HSR Muslim. No. 971)

Perlukah lama-lala di atas kuburan?  Jika kita berkuasa fizikal, silakan tetapi bukan duduk-duduk seperti kebanyakan orang sekarang.  Namun daripada firman Allah dalam al-Quran surah At-Taubah ayat 84, ada pengertian aturan di kubur mesti berdiri termasuk masuk waktu berdoa kepada Tuhan.

“Dan janganlah engkau (Muhammad) melaksanakan solat untuk seseorang yang mati antara mereka (kaum munafik), selama-lamanya dan janganlah engkau berdiri (mendoakan) di atas kuburnya. Sesungguhnya mereka  ingkar kepada Allah dan rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”

Daripada ayat itu jelas Nabi kerap berdiri di atas kubur dan berdoa. Untuk kubur orang munafik, Allah larang Nabi s.a.w. berdoa (berdiri dan berdoa).



Isnin, Jun 01, 2015

NISFU Syaaban dan 'perbalahan'!

Semoga Allah mendamaikan mereka

MALAM ini khabarnya bernisfu Syaaban, tidak ada komentar mengenainya. Jika dicatat sunah atau tidak pun bagaikan begitulah keadaannya.  Kata orang, masyarakat muslim kita lagi punya banyak masalah, malah besar-besar.

Ya, perselisihan pendapat, berkelompok tertentu atas nama suku kaum atau partai politik, malah antara individu yang berpengaruh besar. Saban hari mereka saling mengeluarkan perkataan atau kenyataan yang menuduh sebelah sana sebagai salah dan tidak dapat dimaafkan. Selagi ‘lawannya’ belum jatuh, selagi itulah berhari-hari mengumbarkan sindiran, kritikan dan amarahnya.  Maka hari-hari orang awam mengikuti perdebatan dan ‘perkelahian’ sesama muslim.  Dan drama perpecahan di mana-mana diperhatikan oleh kaum bukan muslim sama ada dengan keheranan atau senyuman.

Apa pun punca dan puncaknya, Islam mengharamkan perbalahan, perdebatan terbuka dan perkelahian sekali pun dalam ‘wacana-wacana’ akhbar atau media internet.  Perasaan umat yang memihak saling terbakar dan seperti menunggu masa untuk beradu secara fisikal pula.

Mula-mula berbeda pedapat.  Kemudian berselisih bicara dan menanjak kepada perang mulut. Mereka saling gelar-mengelar untuk memburukkan yang tidak disukainya.  Apa kata Islam hal menggelar orang yang buruk-buruk?

 Maksud firman Allah: “Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk.  Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang. "(QS. Al-Hujurat: 11-12).

Walhal antara sesama muslim adalah bersaudara. Bersaudara umpama punya ikatan darah dalam sebuah keluarga. Menjadi lumrah kasih sayang dalam keluarga itu utuh dan saling rindu antara satu sama lain. Maka begitulah sepatutnya antara sesama muslim yang Allah nyatakan sebagai bersaudara.

Maksud firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (QS.al-Hujurat: 10).

Sungguh, tidak menyertai perkelahian mereka juga sudah termasuk dalam mendamaikan jiwa-jiwa yang berceranggah kerna jika kita menyertai salah satu pihak, pasti api kemarahan menjadi besar.  Dengan mengasingkan diri daripada salah satunya, kita memberi isyarat tidak menyertai perselisihan mereka dalam umah.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w.  " Seorang mukmin terhadap mukmin yang lainnya seperti bangunan yang saling mengokohkan satu dengan yang lain." (HR. Al-Bukhari  dan Muslim).