Halaman

Khamis, Februari 19, 2015

APA jawab murid sekolah yang tidak solat Subuh?

APA hujah anak-anak sekolah ketika ditanya, “mengapa kamu tidak solat subuh?” Berdasarkan pengalaman saya bertahun-tahun menyelidik punca tidak solat subuh, hampir semua menjawab “lambat bangun tidur.”  Dan bertahun-tahun juga (dari generasi ke generasi anak-anak sekolah) mereka tidak dapat menjawab siapa yang mengajarkan ‘hujah’ begitu.  Maksudnya, saya tanya semula, “ustaz mana yang mengajarkan begitu atau kitab agama apa yang kamu jadikan panduan?”  Mereka terdiam saja.

Anak-anak yang memberi alasan ‘lewat bangun tidur’ untuk tidak solat subuh sebenarnya bersikap membela diri.  Mereka tahu tidak solat subuh adalah satu kesalahan sebagai muslim.  Namun untuk mereka memberi jawaban ‘sengaja tidak solat’ atau ‘tidak tahu solat’ sangat memalukan diri.  Bagi mereka menjawab begitu bererti jatuhkah maruah dirinya. Nampak sangat bodoh atau jahilnya diri.  Dengan jawaban ‘lambat bangun tidur’ juga menggambarkan perbuatan meninggalkan solat subuh suatu yang bersebab, bukan atas kehendaknya meninggalkan solat. Ada halangan sangat besar, lambat bangun tidur. Lambat bangun tidur itu bukan kehendaknya, suatu yang tidak dapat diurus sebab tidur tidak dalam kawalan minda!

Saya tidak pernah membuat pertanyaan bab agama kepada orang dewasa. Maklum balas mereka terhadap suatu perkara agama boleh dijadikan satu kesimpulan. Telah berlaku dalam perbualan atau pertukaran pendapat dalam tulisan. Saya telah meninggalkan beberapa amalan yang biasa dianggap ibadah oleh orang Melayu atas alasan tidak menurut sunah atau tidak ada petunjuk daripada Nabi s.a.w.  Maka maklum balas yang saya terima ialah, “Apa yang Nabi s.a.w. tidak buat, bukanlah bermakna kita dilarang membuatnya” atau “perkara agama (maksudnya amalan agama zaman kini) yang tidak ada pada zaman Nabi s.a.w. jika nyata baik dan niatnya ikhlas kerna Allah boleh diamalkan”.

Sebenarnya mereka yang berpegang kepada jawaban begitu tidak dapat menyatakan sumber pengajarannya. Tidak ada ulama atau kitab yang boleh dipertanggungjawabkan untuk prinsip pengajaran begitu.  Sama seperti jawab anak-anak sekolah yang tidak solat subuh, jawaban si orang dewasa dalam hal ini juga hanya sebagai bela diri.

Moral ceritanya ialah antara kita sukar hendak mengakui ‘tidak tahu’ atau ‘ya saya silap’ kerana sikap begitu akan menyebabkan ‘maruahnya’ jatuh.  Maka dicarilah apa saja ayat sebagai hujah untuk ‘melapik’ dirinya agar tidak jatuh. Bagitulah, dari kanak-kanak sampai ke dewasa.


Inilah perangkap masyarakat yang tidak terasuh dengan kebenaran, sebaliknya diasuh berbangga diri dengan cara apa sekalipun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan