Halaman

Sabtu, Januari 17, 2015

TUDUNG kepalaku kecil, kamu punya besar

PANDANGAN Sifu Abdul Naser seorang pendakwah keturunan Cina dalam akhbar Sinar harian mengenai wanita tidak bertudung dan kerja dakwah tentu saja dipandang dengan rasa kaget. Beliau sendiri mengakui hal itu. Tanpa disedari, kempen supaya wanita muslim bertudung sebagai mematuhi perintah Allah dalam surah an-Nuur ayat 31 telah membawa pemikiran baru: Wanita muslim tak bertudung tidak sempurna keislamannya!

foto hiasan

Sebaik mana pun wanita muslim jika belum bertudung kepala, dilihat dengan sinis dan mesti ada seruan kepadanya agar bertudung dahulu sebelum bercakap atau melakukan kerja-kerja kebajikan.

Selincah mana dan secelupar mana pun mulut artis wanita muslim, jika dia sudah bertudung kepala dia diterima sebagai artis wanita yang sudah berhijrah di jalan Allah.

Setinggi mana pun jawatan seseorang dalam hirarki kepemimpinan, jika isteri atau anak-anak perempuannya tidak bertudung kepada, dia tetap dianggap seorang yang gagal kerana tidak berjaya memimpin isteri dan anak perempuannya menjadi wanita solihah.

Dalam segmen agama pun, contoh yang sering diberi bagi menggambarkan keingkaran terhadap hukum Allah ialah wanita muslim mendedahkan rambutnya.

Mudahnya, asalkan bertudung kepala seakan-akan semua hal pada wanita muslim itu dikira beres.  Disebabkan premis pandangan begitu, kaum wanita semua golongan dan peringkat usia menjadikan pemakaian tudung kepala satu kemestian. Pakaian pada badan dan bahagian kaki, kemudian. Yang utama dan mesti ialah pemakaian tudung.

Akibatnya, pemakaian tudung kepala sudah menjadi salah adat dan satu seni busana wanita Melayu Islam. Dengan tidak menafikan sebagian mereka memakai tudung kepala menepati syarat ayat 31 surah an-Nur, yang lainnya bertudung kepala kerana adat dan seni.

Yang dikehendaki dalam agama ialah melabuhkan pemakaian tudung kepala sehingga ke bahagian dada.  Ini bererti busana itu bertujuan menyembunyikan subjek-subjek  wanita muslim yang sering menjadi perhatian lelaki. Tentulah warnanya juga yang tidak mengundang perhatian lelaki yang sifat asalnya memang mudah tertarik pada wanita.  Bentuk tubuh wanita, paras wajah, cara pergerakan dan percakapannya sangat mudah menarik perhatian lelaki.  Hal-hal itulah yang mahu dijaga oleh Islam.

Dengan itu busana bertudung yang bersendikan adat dan seni busana moden ialah yang berikut:
  Berwarna terang dan berkerlipan.
   Hanya menutupi bahagian kepala, iaitu tidak melabuh sehingga bawah dadanya.
   Pemakainya memakai pakaian berlengan pendek dan berseluar panjang yang ketat.
  Si pemakai tidak membatasi pergaulan dengan mana-mana lelaki. Maksudnya dia perempuan tetapi bergaul dengan lelaki sebagaimana lelaki bergaul dengan lelaki.

Catatan ini bukan pula meminta wanita muslim yang bertudung kepala disebabkan desakan masyarakat, tuntutan adat atau arus fesyen semasa…… menanggalkan tudung kepalanya. Tidak. Catatan ini untuk pembaca berfikir dan menilai jalan kehidupan masing-masing, sama ada kian menepati perintah Allah dan rasul-Nya atau masih jauh lagi.

Catatan itu tidak juga memberi merit dan memuji wanita muslim yang tidak memakai tudung kepala disebabkan tidak mahu bersifat munafik, iaitu memakai tudung kepala yang bukan memenuhi perintah Allah.  Mungkin ada yang berfikir, ‘lebih tidak bertudung kepala kerna bertudung pun dikritik orang’.

Penulis ini tetap menghargai wanita muslim yang melakukan amal kebajikan oleh mereka yang bertudung labuh, yang bertudung singkat dan tidak bertudung pun.  Penulis ini tidak menolak kebaikan-kebaikan sama ada kata-kata atau hasil kerja oleh mereka yang tidak bertudung. Teruskanlan amal-amal salih yang sedia dilakukan.

Setelah Allah memberi maklumat atau ilmu, muslim memilih untuk hanya percaya, percaya tanpa melakukan dan percaya penuh keyakinan (melaksanakan), akhirnya kita serahkan semua kepada Allah.  Ada ayat al-Quran yang menyatakan ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya’ (ayat 286 surah al-Baqarah).  Oleh itu kita menerima peribadi sahabat dan saudara muslim kita secara zahirnya dan bersangka baik bahawa dia mematuhi juga pilihan yang diberi oleh Allah seperti dalam ayat di atas. Kejujuran dan kata hatinya itulah yang Allah tahu dia sebenarnya hanya mampu sekadar itu atau sebaliknya.


Wallahu ‘aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan